ANDAI Sarawak memperoleh Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), bermakna ‘hasil mahsul’ Bumi Kenyalang akan berlipat ganda, mungkin menyamai jika tidak melebihi punggutan melalui Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas produk petroleum dan gas.
Sarawak sudah mula ‘menuai’ hasilnya apabila empat tuntutan dalam MA63 berjaya diselesaikan dengan Kerajaan Pusat sebelum ini – tiga daripadanya berkaitan minyak dan gas.
Sejak 1 Januari 2019 hingga akhir tahun lalu, Sarawak sudah meraih pendapatan hasil kutipan SST ke atas produk petroleum dan gas iaitu sebanyak RM8.52 bilion, sesuatu yang tidak diimpikan selama ini.
Apa yang menjadi keluh kesah selama ini cuma runggutan iaitu Sarawak dan Sabah kaya hasil bumi tetapi tuaiannya ‘dimakan’ orang lain, namun tiada usaha untuk melakukan sesuatu seperti SST.
Tiga perkara dalam MA63 yang sudah berjaya diselesaikan, berkaitan sumber minyak dan gas adalah seperti berikut:
1. Persetujuan rundingan di antara Kerajaan Sarawak dan Petronas melalui Perjanjian Penyelesaian Secara Komersial (CSA)
2. Pengiktirafan hak Sarawak untuk mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum;
3. Pengiktirafan hak Sarawak untuk mengawal selia pengagihan gas di Sarawak.
Satu lagi yang berjaya diselesaikan seperti termaktub dalam MA63 ialah pindaan kepada Perkara 1(2), 160(2) dan 161A (6) dan (7) kepada Perlembagaan Persekutuan, yang berkuatkuasa mulai 11 Februari 2022.
Berikutan penyelesaian bab ini, meletakkan Sarawak sebagai salah satu daripada tiga wilayah dan dianggap tidak mempunyai status yang sama dengan negeri komponen lain dalam Persekutuan Tanah Melayu.
Agihan pendapatan secara adil
Berdasarkan hakikat inilah, Sarawak mahu hasil pendapatan negara diagih secara adil kepada tiga wilayah iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak, seperti dijanjikan dalam MA63 dahulu.
Contoh, jika pendapatan tahunan Malaysia RM600 bilion, maka setiap wilayah diagihkan sama rata RM200 bilion. Bagaimanapun, Putrajaya mungkin berat hati untuk memberi pertimbangan itu tetapi Sarawak sudah tampil dengan formulanya sendiri, cara membuat perkiraan tetapi butiran lanjut belum diumum.
Seperti kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg Sarawak telah mengemukakan formulanya kepada Kerajaan Persekutuan berhubung pemberian geran khas tahunan kepada negeri ini di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan. Katanya, formula yang dikemukakan oleh Sarawak itu dilihat lebih adil buat kedua-dua pihak, dan kini ia dalam pertimbangan Kerajaan Persekutuan.
“Saya difahamkan Kerajaan Persekutuan ada formula mereka sendiri, tetapi kita berpegang teguh dengan formula kita kerana ia lebih adil. Harapan saya adalah agar mereka dapat memahami formula kita, yang saya nampak lebih adil kepada Kerajaan Persekutuan dan kita (Sarawak) berlandaskan kepada hasil kutipan yang diperoleh Kerajaan Pusat dari Sarawak.
“Sebagai contoh, duti setem yang dipungut Kerajaan Pusat walaupun ia hasilnya daripada transaksi yang berasaskan tanah kita dan tanah adalah aset kita,” katanya.
Formula itu merupakan antara perkara berkaitan MA63 yang disampaikan Sarawak kepada Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof untuk dipertimbangkan.
Baru-baru ini, Fadillah berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan beberapa perkara dipersetujui berkaitan MA63 pada 4 Januari depan. Fadillah dilaporkan berkata buat masa ini jawatankuasa teknikal MA63 sedang meneliti dan memuktamadkan beberapa perkara termasuk penurunan kuasa kepada agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Berikut antara perkara dalam MA63 yang belum selesai:
BELUM SELESAI
1. Perbincangan mengenai formula semakan Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
2. Wakil Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).
(Kabinet persekutuan pada mesyuarat 30 September 2022 meluluskan cadangan untuk meminda Akta LHDN 1995 bagi membolehkan wakil Kerajaan Sarawak dan Sabah menduduki keanggotaan lembaga pengarahnya. Kerajaan Sarawak pula sudah mengemukakan cadangan calon ahli untuk mewakilinya. Setakat ini belum diumum penerimaannya secara rasmi
JKR ambil alih
Perkara ini berbalik kepada fakta pertama di atas berkaitan geran khas tahunan. Bila Sarawak dan Sabah ada wakil dalam LHDN, maka kedua-dua wilayah ini akan tahu berapa hasil pendapatan sebenar negara bagi memudahkan agihan hasil itu kepada tiga wilayah.
3. Cadangan pengiktirafan JKR Sarawak, Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak (JPSS) dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) sebagai Jabatan Teknikal di bawah Arahan Perbendaharaan 182.
(Sarawak mahu projek persekutuan yang dilaksanakan di negeri ini diselia oleh jabatan teknikal yang disebut di atas).
4. Isu pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak.
(Sebelum ini, ada Mahkamah Borneo dan Mahkamah Malaya di mana peguam dari luar Sarawak termasuk dari Semenanjung tidak dibenarkan menjalankan amalan guaman di negeri ini. Sarawak mahu mengekalkan peraturan itu dan juga dari aspek mengiktiraf Mahkamah Borneo.
Sarawak juga mahu pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman dirujuk kepada Yang Dipertua Negeri (TYT) terlebih dahulu kerana itu adalah hak TYT Sarawak. Ia bagi menyimpan kuasa tertentu untuk menimbang calon yang dilantik menjadi Pesuruhjaya Kehakiman).
5. Cadangan pertambahan bilangan satu pertiga atau 35 peratus daripada 222 Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak di Parlimen.
(Selepas pembentukan Malaysia pada 1963, Sabah mempunyai 16 kerusi, Sarawak 24 kerusi dan Singapura 15 iaitu kesemuanya mewakili 35 peratus dari keseluruhan 159 kerusi Parlimen, manakala baki 65 peratus atau 104 kerusi adalah untuk Tanah Melayu. Tanah Melayu atau kini Semenanjung Malaysia tidak mempunyai majoriti dua pertiga ketika itu.
Apabila Singapura meninggalkan Malaysia pada 1965, kerusi yang dimiliki Singapura seharusnya diberi kepada Sabah dan Sarawak bagi mengekalkan perwakilan 35 peratus itu, sekali gus mengekalkan kuota satu pertiga seperti dalam MA63.
Sarawak dan Sabah kini mempunyai jumlah 56 Ahli Parlimen (31 di Sarawak dan 25 di Sabah) iaitu merangkumi 25 peratus daripada jumlah 222 kerusi Parlimen di seluruh negara.
Jika satu pertiga atau 35 peratus daripada 222 kerusi Parlimen yang ada, bermakna 78 kerusi sepatutnya dari Sarawak dan Sabah. Ini bermakna, perlu ditambah 22 kerusi Parlimen lagi untuk memenuhi keperluan 35 peratus.
Kita sama-sama tunggu pengumuman Perdana Menteri pada 4 Januari 2023 nanti, bab mana yang diluluskan.
Apapun, diharap perkara-perkara yang belum selesai itu tidak terheret hingga lima tahun akan datang atau terheret hingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak