Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Hapus stigma, tingkat kesedaran HIV dalam masyarakat
  • TEMPATAN

Hapus stigma, tingkat kesedaran HIV dalam masyarakat

Utusan Sarawak 8 hours ago
RAKAM KENANGAN… Dato Wee Hong Seng bergambar kenangan bersama yang lain pada program Pertemuan Komuniti Media sempena Sambutan Hari AIDS Sedunia hari ini.

PETRA JAYA: Penularan HIV dan AIDS di Kuching yang mencatatkan jumlah kes tertinggi di Sarawak selama lima tahun berturut-turut memerlukan pendekatan lebih menyeluruh serta kerjasama erat antara media, komuniti dan agensi berkaitan bagi membendung penularan serta menghapuskan stigma dalam masyarakat.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, berdasarkan data kebangsaan, lebih 3,000 jangkitan baharu HIV direkodkan pada 2024, dengan 90 peratus melibatkan golongan lelaki dan kira-kira 75 peratus terdiri daripada belia berusia antara 20 hingga 39 tahun.

DATO Wee Hong Seng ketika berucap pada program Pertemuan Komuniti Media sempena Hari AIDS Sedunia.

Menurut beliau, statistik tersebut menunjukkan keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran awam, khususnya dalam kalangan golongan muda, agar langkah pencegahan, saringan awal dan rawatan berterusan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Beliau berkata, masih ramai dalam masyarakat yang mempunyai salah faham terhadap HIV termasuk konsep tidak dapat dikesan sama dengan tidak dapat dihantar (U=U), iaitu individu yang hidup dengan HIV dan mematuhi rawatan sehingga tahap virus tidak dapat dikesan tidak akan menyebarkan jangkitan kepada orang lain.

DATO Wee Hong Seng pada program Pertemuan Komuniti Media hari ini.

Tambahnya, kefahaman yang rendah serta stigma berterusan menyebabkan sesetengah individu takut menjalani ujian dan mendapatkan rawatan, sekali gus meningkatkan risiko penularan HIV secara senyap dalam komuniti.

Dato Wee berkata demikian ketika berucap pada program Pertemuan Komuniti Media anjuran Persatuan Prihatin AIDS Sarawak (SACS) dengan kerjasama Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) sempena Sambutan Hari AIDS Sedunia, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada SACS yang disifatkan telah bekerja secara konsisten dan berterusan dalam meningkatkan kesedaran serta melaksanakan program pencegahan HIV di Kuching dan seluruh Sarawak.

PRESIDEN Persatuan Prihatin AIDS Sarawak (SACS), Stevie Astly Robbart pada program Pertemuan Komuniti Media sempena Sambutan Hari AIDS Sedunia hari ini.

Menurutnya, penglibatan pengamal media amat penting dalam membentuk persepsi masyarakat serta menyampaikan maklumat tepat dan berfakta berkaitan HIV dan AIDS, selari dengan tema Hari AIDS Sedunia tahun ini, “Akhiri AIDS: Mengatasi Gangguan, Mengubah Tindak Balas AIDS.”

Beliau turut menegaskan bahawa usaha menamatkan AIDS memerlukan tanggungjawab bersama serta kerjasama semua sektor termasuk komuniti penghidap HIV, badan bukan kerajaan dan agensi kesihatan.

Usaha tersebut, katanya, selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Majlis Bandaraya Kuching Selatan, khususnya SDG 11 yang menekankan pembinaan bandar dan komuniti yang mampan, sihat serta inklusif untuk kesejahteraan rakyat.

Oleh Shikin Mahmud

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Pendekatan strategik galak kesedaran kelestarian alam
Next: SCPA lancar jelajah Aerodance komuniti peringkat negeri 2026

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.