
KUCHING: Masyarakat digesa menghapuskan stigma dan persepsi negatif terhadap individu yang hidup dengan HIV kerana penyakit itu kini boleh dirawat serta dikawal dengan rawatan yang betul.
Pengerusi Teratak Kasih Tok Nan, Dr Ruziana Miss berkata, stigma seperti memandang rendah, menjauhkan diri atau enggan bekerjasama dengan individu yang hidup dengan HIV masih berlaku dalam masyarakat.
Menurutnya, tanggapan bahawa penghidap HIV adalah ‘jijik’ atau tidak selamat untuk didekati perlu dihentikan kerana ia tidak menggambarkan keadaan sebenar penyakit tersebut.

“Antara stigma yang kita mahu hapuskan ialah pandangan serong terhadap orang yang ada HIV. Ramai menganggap penghidap HIV ini jijik, tidak mahu duduk bersama, makan bersama atau bekerja bersama mereka.
“Persepsi ini berkait dengan latar belakang mereka dan penyakit HIV itu sendiri. Sedangkan HIV adalah penyakit yang boleh dirawat walaupun ia tidak sembuh sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program ‘Satu Juadah, Seribu Keberkatan’ yang dianjurkan oleh Yayasan Aids Malaysia(MAF) dengan kerjasama Teratak Kasih Tok Nan di sini, hari ini.

Dr Ruziana menjelaskan bahawa dengan rawatan dan sokongan yang berterusan, individu yang hidup dengan HIV masih mampu menjalani kehidupan normal seperti orang lain.
“HIV boleh dikawal seperti kita mengawal penyakit kencing manis. Dengan rawatan dan sokongan yang ada, mereka masih boleh bekerja dan menjalani kehidupan seperti biasa.
“Selagi mereka mendapatkan rawatan dan mengambil ubat seperti yang ditetapkan, virus HIV dalam darah boleh dikawal dan mereka boleh hidup normal,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Yayasan AIDS Malaysia dan Majlis AIDS Malaysia, Jasmin Jalil, berkata program Teratak Kasih Tok Nan memberi tumpuan memastikan golongan yang kurang berkemampuan terus mendapat akses kepada rawatan.
Katanya, kesinambungan program yang bermula sejak 2017 itu membantu memperbaiki kualiti hidup individu yang hidup dengan HIV, khususnya mereka yang berdepan kekangan kewangan dan sosial.
“Program Teratak Kasih Tok Nan ini memastikan mereka yang tidak berkemampuan terus mendapatkan rawatan kerana rawatan itulah yang boleh memperbaiki kehidupan mereka.
“Program ini bermula sejak 2017 dan kesinambungannya diteruskan dengan sokongan Tan Sri Jeffrey Cheah pada 2023, dengan visi bahawa tiada siapa harus ditinggalkan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa akses kepada rawatan HIV merupakan hak yang perlu diberikan kepada semua individu tanpa mengira stigma masyarakat.
Program ‘Satu Juadah, Seribu Keberkatan’ dilaksanakan sempena Ramadan melalui lawatan ke rumah penerima manfaat serta pengagihan bakul makanan dan juadah berbuka puasa kepada keluarga yang terkesan dengan HIV di Kuching.
Selain itu, juadah berbuka puasa turut diagihkan kepada hospital, klinik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan sebagai tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan dan rakan komuniti yang membantu golongan rentan.
Program tersebut turut dihadiri Penaung MAF Borneo, Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu serta rakan kerjasama komuniti yang menyokong usaha meningkatkan kesedaran dan sokongan kepada individu yang hidup dengan HIV.
Antara bantuan yang diberikan adalah bantuan pek dan bakul makanan, wang tunai dari Majlis Agama Islam Sarawak dan sumbangan peribadi daripada Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu.
Oleh Shahrul Qaizat