Oleh Benedict Anak Samling
KICAUAN burung ciak rumah dan hembusan angin pagi yang dingin tidak mampu meredakan gelojak di dalam dadanya. Dia menarik nafas dengan panjang dan dalam kemudian dihembus dengan berat. Dia memicit-micit tapak tangannya sambil pandangannya dilontar ke kiri dan ke kanan. Dia sudah pun terpacak di lorong pejalan kaki itu sejak menjejakkan kaki ke Bandaraya Kuching, Sarawak seawal jam 4:38 pagi. Ketika berada di dalam bot ekspres syarikat Luncur Laju dari jeti rumah panjang Karangan Ara, Ulu Kapit dia nekad untuk melepaskan segala-galanya yang telah lama membuku di lubuk hatinya. Bukit di tengah Bandaraya Kuching yang menjadi buah mulut warga rumah panjang Karangan Ara harus ditakluk atau sekurang-kurangnya dapat ditatap pada hari itu.
Angin sendalu menyapu kulitnya, lalu membawa bau lumpur dari Sungai Sarawak masuk ke dalam rongga hidung Igat. Di sepanjang lorong pejalan kaki itu ada lampu limpah yang masih bernyala. Di bahu lorong pejalan kaki yang ditumbuhi lumut kelihatan tong sampah berwarna hijau dipenuhi sampah sarap. Tidak jauh daripada tong sampah berwarna hijau itu, ada dua ekor kucing saling bercakar-cakaran, kemudian menggesekkan kepala pada badan pasangannya. Sungguh manja. Mereka seperti sedang hangat bercinta, seperti sedang hanyut dibuai asmaraloka dalam dunia ciptaan mereka dan juga seperti dirinya yang sedang hanyut antara imaginasi dan realiti. Igat duduk termangu di atas sebuah bangku besi yang sudah berkarat tidak jauh daripada adegan dua makhluk berbulu itu.
Dia sudah bersedia dan tidak sabar untuk menakluk bukit yang digambarkan oleh Dom begitu indah dan tiada tempat di dunia ini seindah bukit itu. Benarkah begitu? Igat tiada jawapannya. Dikatakan oleh Dom juga, bukit itu dipenuhi oleh Phalaenopsis bellina dan Phaelaenopsis violacea serta ratusan Trogonoptera brookiana dari kaki bukit sehingga ke puncaknya. Namun, dalam keghairahan Igat menakluki bukit itu, dia terkulai seperti kain perca yang kebasahan sebelum menjumpai bukit di tengah Bandaraya Kuching yang dikhabarkan sering dikunjungi oleh mereka yang mendambakan sebuah nikmat kehidupan yang serba mewah, megah serta gah. Kehidupan yang dicari-cari tanpa henti.
Dadanya berat berdongkol, nafasnya sendat, lamunannya hanyut bersama angin pagi yang dingin, sedingin jiwanya yang bergetar resah. Dia cuba untuk bangkit dan terus mencari bukit itu, tetapi bahunya seperti telah dihempap oleh bukit misteri itu dan rongga pernafasannya seperti disumbatpadat oleh tanah hitam berpasir di ladang halianya. Pada ketika itu, untuk dia berpatah balik bukan mudah. Dia harus menemui bukit itu untuk menikmati segala yang terhidang di puncaknya seperti yang didendangkan oleh sahabatnya, Dom.
Ketika sedang bergelut untuk mengumpul segala tenaga dan nafas, terlintas di fikirannya bagaimana perkhabaran tentang keindahan bukit itu begitu cepat tersebar luas lalu singgah ke dalam rongga pendengaran, mengetuk gegendang telinga dan menjentik lekuk hatinya. Igat, seorang pemuda berambut hitam berkilat dan berbadan tegap, matanya terkebil-kebil ketika cerita mengenai bukit itu begitu rancak meniti dari bibir ke bibir masyarakat di rumah panjang Karangan Ara. Mata Igat tidak berkedip walau sedetik apabila keajaiban bukit di tengah kota itu diceritakan oleh Dom, sahabatnya yang baru sahaja memperolehi apa yang dihajat. Dia seakan hanyut dalam alunan cerita Dom.
“Apa yang kau perlukan di dunia ini ada di situ,” ujar Dom setiap kali mengunjungi bilik Igat di rumah panjang Karangan Ara yang mempunyai 30 pintu, bertiangkan kayu belian, berdindingkan kepingan buluh betong serta beratapkan daun rumbia. Semenjak pulang dari Bandaraya Kuching, Dom sering mengunjungi rumah panjang klasik dan eksotik itu.
“Saya perlukan ini,” tegas Igat sambil kedua-dua tangannya dibentanglebarkan ke arah ladang halianya. Ladang halia itu telah menghangatkan dapur keluarganya sejak sepuluh tahun yang lalu.
‘Ah! Cerita rekaan sahaja! Di mana logiknya ada bukit di tengah kota?’ desis hatinya setiap kali Dom bercerita akan kehebatan bukit itu. Dia tidak pernah dan tidak akan hanyut dengan cerita yang disampaikan oleh Dom. Begitu pun, dia pasti cerita rekaan seperti itu, banyak yang terperangkap. Cerita rekaan yang diulang-ulang hanya untuk menjentik pangkal hati manusia yang amat rapuh, serapuh batang buluh betong yang tidak cukup matang. Tetapi, adakah manusia sedar akan hakikat itu? Pada ketika itu, Igat amat yakin dengan pendiriannya, tidak mudah terpengaruh.
Selintas itu, gambaran bukit itu kembali menerjah. Ingatannya bercelaru, terganggu dan keliru dengan cerita yang dibawa oleh Dom. Hatinya tertanya-tanya; jika benar seperti apa yang dituturkan oleh Dom, kenapa sahabat lamanya itu tiba-tiba memunculkan diri di tengah kekotoran tanah itu? Mengapa tidak dia terus merahsiakan kehebatan bukit itu pada dirinya sendiri sahaja? Namun, dalam kekeliruannya, dia tertarik dengan penampilan Dom yang mirip pelakon dalam cerita The Wolf of Wall Street atau paling tidak seperti seorang pelakon lelaki dalam drama bersiri Pujaan Hati Kanda. Tidak semena-mena, nama Dom meledak dan menjadi sebutan penghuni rumah panjang Karangan Ara. Dia yang memandu kereta mewah berlogo bintang berbucu tiga serta mendiami rumah agam yang dibina di tepi rumah panjang Karangan Ara tanpa gagal menganjurkan pesta, bersuka-ria dan menjemput penduduk di sekitar pada setiap hujung minggu. Sesiapa yang lalu pasti dijemput untuk singgah. Ya, Sesiapa sahaja.
Terlintas di fikirannya, sampai bila dia perlu mengotorkan tapak tangannya dengan tanah hitam di cerun bukit yang tidak seindah bukit yang diceritakan oleh Dom? Terlintas juga di fikirannya, apakah benar ada bukit yang menjanjikan nikmat kehidupan yang dicari gali oleh setiap manusia? Jika benar, kenapa tidak dibawa seluruh umat manusia yang kurang bernasib baik untuk mengubah hidup mereka? Sekurang-kurangnya ada tempat untuk mereka menabur kasih yang sudah lama ditandus keperitan hidup. Bertubi-tubi persoalan menerpa ke dalam hati Igat, persoalan yang dia sendiri kurang pasti akan jawapannya.
Sesekali dia memanjangkan lehernya, melihat ke kiri dan ke kanan lorong pejalan kaki. Angin bergulung dibiarkan menyelubungi badannya. Tekaknya kering, pedih dan perit. Dia memejamkan matanya. Membiarkan dirinya dihanyutkan oleh persoalan-persoalan tanpa jawapan.
“Igat, tanpa bukit itu, saya tiada apa-apa,” ujar Dom suatu ketika dahulu sambil dileret bibir menguntum senyuman penuh makna tersirat menampakkan barisan giginya yang putih bersih tersusun rapi. Perwatakan Dom, sesungguhnya amat menarik perhatian Igat. Tutur kata Dom yang tersusun rapi seperti susunan giginya mencairkan hati Igat yang sekeras batu kapur di Gua Niah.
‘Tidak mungkin Dom membohongi saya,’ getus hatinya, pada suatu petang ketika dia menuai ratusan kilogram halia kampung. Dengan mata yang bersinar-sinar dia sudah mula membayangkan akan kehebatan bukit itu. Dia mula mempercayai cerita Dom, sahabatnya sejak sekolah rendah sehinggalah ke peringkat menengah. Sebaik tamat persekolahan menengah, Dom berhijrah ke bandar. Dia pula sebaliknya. Dia mengerjakan pekerjaan kampung bersama kedua orang tuanya yang pada ketika itu sudah uzur dimamah usia.
Dia berjaya menjadi karyawan lokal walau tidak sehebat Dom yang menjadikan pusat bandar sebagai gelanggang mempertaruhkan rezeki. Dengan usaha yang teramat gigih, dia telah mencorakkan permukaan bumi yang ditumbuhi lalang lalu menjadikan ia lapangan wang. Bersama isterinya, dia mengusahakan tanaman halia kampung. Berpuluh tan halia dituai dan dijual ke serata daerah di Sarawak, dari Ulu Kapit sehinggalah ke Ulu Padawan. Namun, kegigihan Igat tercabar apabila cerita mengenai sebuah bukit di tengah Bandaraya Kuching yang berkali-kali didendangkan oleh Dom mula mengetuk dan menjentik lubuk hati nuraninya.
“Tidak mungkin selama-lamanya kau buat kerja kotor ini,” ujar Dom, sinis penghujung suaranya. Disertakan dengan senyum sumbingnya. Anak mata Dom dileret ke arah Igat, dari atas ke bawah.
“Kotor pada kau, tidak pada aku,” tingkah Igat. Hatinya panas membara di kala mendengar kata-kata Dom. “Huh!” Igat menghembus nafas dengan kasar. Mukanya dipaling ke arah ribuan tanaman halianya yang menghijau berusia enam bulan. Dia tidak senang hati apabila usahanya diperlekeh atau dipandang rendah kerana setiap apa yang diusahakannya, adalah juga dari hasil titik peluh isterinya. Bukan mudah untuk dia mendengar usaha keras mereka suami isteri diperlekeh sewenang-wenangnya.
“Kaban, aku tidak menghina, cuma ingin membantu,” ujar Dom pada suatu pagi yang cerah dan panas, sepanas hati Igat setiap kali Dom membuka cerita mengenai bukit pujaan hatinya itu. Pada ketika itu Igat sedang menuai halianya untuk dijual kepada peraih.
Dom memegang bahu Igat. Memandang tepat ke dalam matanya, kemudian dia berkata, “Percayalah. Lihat apa yang aku dapat.” Dom memandang jauh ke dalam mata Igat seakan dapat menembusi mata kepala igat.
“Ini lebih dari cukup,” balas Igat, suaranya perlahan antara dengar atau tidak. Tangannya yang dipenuhi tanah hitam dan berbau halia itu menolak perlahan tangan Dom dari terus menggenggam bahunya.
Masih jelas dalam ingatannya, Dom pernah membawa sebuah beg dipenuhi dengan kertas berwarna ungu yang diikat berketul-ketul ke ladang halia Igat. Kertas itu dikatakan hasil dari atas bukit di tengah Kota Kuching. Dan katanya juga, hanya beberapa jam pada waktu malam, ribuan wang kertas berwarna ungu diperoleh. Mata Igat terkebil-kebil melihat isi beg itu. Panas matahari yang menyengat lapisan kulitnya pada ketika itu sudah tidak lagi terasa bahangnya. Liang-liang roma pada kulit seluruh tubuhnya seperti terbuka luas menyedut segala udara yang ada di ladang yang terbentang luas dipenuhi ribuan rumpun halia dari spesis Zingiber officinale atau halia kampung.
Seingat Igat, tanaman halia itu sudah cukup untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga. Malah, ada ketikanya hasil halia dikongsi bersama warga rumah panjang Karangan Ara, serta rumah panjang berdekatan. Tidak dilupa juga saudara-maranya yang berada di Negeri Bawah Bayu sehinggalah ke negeri yang terkenal dengan pasu labu sayong. Setiap tahun pula dia menganjurkan aktiviti komuniti membantu golongan yang kurang bernasib baik. Ada ketika juga, dia dikunjungi untuk meminta ihsan. Dia memberi tanpa alasan dan tidak mengharapkan balasan. Begitu pun, dia dan isterinya tidak gemar untuk mempertontonkan aktiviti seumpama itu kepada media atau laman-laman sosial. Pada mereka, pemberian itu terlalu kecil dibanding dengan apa dikurniakan kepada mereka. Cukup sahaja ia terhenti di situ.
Setelah berhari-hari dan berminggu-minggu dipujuk rayu, akhirnya Igat bersetuju mengunjungi bukit itu. Girang bukan kepalang Dom apabila Igat menyampaikan hajatnya itu. Dom melompat-lompat seakan punggungnya dicucuh bara api, lalu ditepuk-tepuknya bahu Igat. Pujiannya pada Igat menggebu-gebu, segebu kapas dari pokok kapas yang tumbuh di Padang Merdeka, Kuching Sarawak.
“Inilah lelaki sejati, lelaki yang berani!” jerkah Dom, ketawanya hampir berderai. Tangannya cepat-cepat menutup mulut untuk menahan tawanya dari terhambur keluar.
Tidak semena-mena, badai kerinduan menerpa dirinya yang terpinga-pinga di lorong sepi di tengah Bandaraya Kuching itu. Nafasnya tersekat. Dadanya memberat. Hatinya panas seperti direndam dalam ratusan liter air halia. Igat dikerumuni rasa kesal, marah, geram, benci dan sayu yang teramat. Perasaan yang bercampur-baur itu sungguh memualkan anak tekaknya.
“Sepuluh ribu ringgit untuk mendaki bukit?” desis Igat, seolah-olah baru tersedar dari khayalan. “Cis! Ini teramat gila! Barangkali orang gila pun tidak buat kerja seperti ini!”
Sedetik itu, dia teringat akan kata-kata isterinya, “Sulu, tiada jalan singkat untuk berjaya. Lupakan cerita bukit itu.”
Hatinya semakin pedih seperti dihiris dengan kepingan buluh dan disirami racun berbisa membayangkan impian untuk menakluki bukit itu berkecai, malah semakin pedih apabila duit hasil dari butir-butir keringatnya hilang entah ke mana.
‘Pendusta!’ bentak hati Igat. Dia merasakan dirinya dihambat di satu ruang yang teramat asing, jauh dari pandangan manusiawi, jauh dari dakapan isteri tercintanya dan begitu hampir dengan kegelapan. Kegelapan yang dia cari, kegelapan yang akan menghanyutkan dirinya tidak lama lagi.
Tidak semena-mena, dalam kegelapan itu dia ternampak bukit yang dicari-cari sejak menjejak kaki di Bandaraya Kuching. Seakan dia mendapat tenaga yang amat luar biasa, dia bangun dan terus melompat sehingga sampai ke kaki bukit itu. Tanpa diduga, dalam kegelapan itu juga dia dapat melihat keindahan bukit itu. Keindahan seperti yang diperkatakan oleh Dom. Mana tidaknya, jutaan bunga yang berwarna-warni dan dihinggapi oleh Trogonoptera brookiana sudah cukup untuk menonjolkan kecantikan bukit itu. Mata Igat terbuka luas, mulutnya melopong melihat anak tangga berwarna kuning keemasan menuju ke puncak bukit. Pertama kali dalam hidupnya dia melihat sesuatu yang amat luar biasa indahnya.
‘Emaskah ini?’ soal hati Igat. Senyumannya meleret. Hatinya berbunga-bunga seperti kuntum Phalaenopsis bellina yang sedang mekar memenuhi bukit itu. Segera, dia mengatur langkahnya untuk memulakan pendakian. Ketika kakinya memijak anak tangga itu, angin berpusar-pusar dan menderu dengan kuat. Bunyi dentuman yang bingit menusuk gegendang telinga Igat. Bukit itu bergegar dan bergoncang dengan kuat. Anak tangga itu mulai retak lalu pecah menjadi ketulan batu. Ketulan-ketulan batu itu bergolek dengan laju dari puncak bukit itu. Ada ketulan batu mengenai badan Igat. Igat cuba melarikan diri tetapi kakinya tersekat pada rekahan anak tangga itu. Matanya terbuka besar mulutnya melongo apabila melihat seketul batu sebesar sepemeluk orang dewasa bergolek dengan laju menuju ke arahnya. Dia cuba menarik kakinya tetapi masih tersekat.
“Tolong!” Igat meraung sekuat hati. Suara perut dan suara tekaknya bergabung lalu keluar serentak dari mulutnya yang melongo. Dia merasakan kegelapan kali ini benar-benar akan membenamkan dirinya bersama ketulan batu bukit itu. Dia menyesal membiarkan jiwanya hanyut dalam kegelapan. Dalam keadaannya yang terdesak seperti itu, siapa yang akan menghulurkan tangan untuk membantu? Di mana manusia yang bernama Dom?
Tanpa memikirkan betapa pekatnya kegelapan yang terhidang di depan matanya, dia menendang batu-batu yang mula menutupi kakinya. Entah dari mana datang sumber tenaganya, dia menumbuk longgokan batu di hadapannya sehingga berkecai. Badannya bergoncang dengan kuat setiap kali melepaskan tumbukan yang teramat padu ke arah longgokan batu itu.
“Sulu…” panggil seseorang dengan suara yang lembut. Suara itu acap kali membelai gegendang telinganya ketika dia hanyut dalam dimensi imaginasi dan fantasi ciptaannya sendiri.
Dadanya turun naik dengan kencang. Dia yang termengah-mengah serta merta membuka matanya. Pandangan mereka bertembung dan mata Igat terus merayapi muka seorang insan di hadapannya. Insan hebat yang menjadi tulang belakangnya selama dia bergelumang dengan tanah-tanah hitam yang menjanjikan sebuah kehidupan.
“Halia kita habis dibeli. 20 tan semuanya,” bisik isterinya, lembut. Seperti biasa, senyuman yang teramat indah terukir pada wajah insan kesayangannya itu.
Kegelapan yang hampir menghanyutkan dirinya itu hilang dalam sekelip mata dengan kemunculan satu cahaya yang teramat terang. Sungguh dia sedar, kehidupan megah, mewah dan gah cuma khayalan, seperti bukit yang diceritakan, hanya khayalan semata-mata! Khayalan yang menghanyutkan.
Glosari
kaban Istilah dalam bahasa Iban yang bermaksud kawan.
sulu Panggilan mesra dalam bahasa Iban yang bermaksud sayang.