Hanya selangkah lagi Argentina buru sejarah pertahan gelaran Piala Dunia

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

PARIS: Argentina hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk mengukir nama dalam sejarah sebagai pasukan ketiga yang berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Dunia, namun juara Eropah, Sepanyol, menjadi penghalang terakhir mereka.

Berikut sorotan AFP Sport mengenai pencapaian juara bertahan yang berjaya mara ke final edisi berikutnya.

Itali, 1938

Itali muncul pasukan pertama dalam sejarah Piala Dunia yang berjaya mempertahankan gelaran apabila menewaskan Hungary 4-2 pada final Piala Dunia 1938 di Perancis.

Empat tahun sebelumnya, mereka menewaskan Czechoslovakia pada final di Rom.

Sebelum sepak mula di pinggir Paris, pemain Itali memakai jersi hitam dan memberi tabik hormat fasis.

Sehari sebelum perlawanan akhir, pemain Itali dilaporkan menerima telegram daripada pemimpin mereka, Benito Mussolini, yang berbunyi ringkas: “Menang atau mati.”

Penjaga gol Hungary, Antal Szabo, kemudian bergurau: “Saya mungkin melepaskan empat gol, tetapi saya menyelamatkan nyawa mereka.”

Brazil, 1962

Brazil menjulang trofi Piala Dunia 1958 selepas membelasah Sweden 5-2 di final, dengan Pele yang ketika itu masih remaja meledak dua gol.

Namun, kecederaan pada peringkat kumpulan empat tahun kemudian menyebabkan Pele terlepas baki kejohanan.

Garrincha pula tetap diturunkan pada final walaupun dilayangkan kad merah di separuh akhir selepas penyokong tuan rumah Chile melancarkan petisyen supaya beliau dibenarkan bermain.

Brazil akhirnya menewaskan Czechoslovakia 3-1 menerusi jaringan Amarildo, Zito dan Vava.

Argentina, 1990

Diego Maradona hampir bersendirian mengemudi Argentina muncul juara di Mexico pada 1986 dan kembali mengetuai pasukan mempertahankan gelaran di Itali empat tahun kemudian.

Argentina sekali lagi bertemu Jerman Barat di final, namun kali ini tewas.

Perlawanan yang hambar itu ditentukan menerusi sepakan penalti lewat permainan yang disempurnakan Andreas Brehme.

Argentina menamatkan perlawanan dengan hanya sembilan pemain.

Brazil, 1998

Skuad kendalian Mario Zagallo mara ke final di Perancis empat tahun selepas muncul juara di Amerika Syarikat.

Brazil dibarisi bintang ternama seperti Roberto Carlos, Dunga, Rivaldo dan Ronaldo.

Bagaimanapun, mereka gagal menandingi aksi cemerlang Perancis.

Zinedine Zidane menjaringkan dua gol ketika Perancis menang bergaya 3-0 di Stade de France untuk meraih gelaran dunia pertama mereka di hadapan penyokong sendiri.

Perancis, 2022

Perancis hampir berjaya mempertahankan gelaran yang dimenangi di Rusia pada 2018.

Kylian Mbappe menjaringkan hatrik ketika skuad kendalian Didier Deschamps dua kali bangkit menyamakan kedudukan sebelum keputusan terikat 3-3 di Stadium Lusail, Doha.

Namun, Randal Kolo Muani mensia-siakan peluang keemasan pada penghujung masa tambahan sebelum Argentina muncul juara menerusi penentuan sepakan penalti, sekali gus menyaksikan Lionel Messi akhirnya menjulang trofi Piala Dunia buat kali pertama. — AFP