Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Hanya kupon parkir 2025 layak untuk bayaran balik – Dato Wee
  • TEMPATAN

Hanya kupon parkir 2025 layak untuk bayaran balik – Dato Wee

Utusan Sarawak 12 hours ago
DATUK Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Sambutan Deepavali 2025 anjuran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), hari ini. Foto Adele Rissa 

KUCHING: Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng menjelaskan bahawa hanya kupon parkir yang dijual dalam tahun 2025 layak untuk bayaran balik di bawah sistem Parking Pintar Bandar Kuching (KCPS), susulan aduan orang ramai berhubung penolakan kupon lama.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas pihak KCPS menilai semula mekanisme pengurusan kupon bagi memastikan proses peralihan sistem parkir berjalan secara teratur dan telus.

“Kami telah mengumumkan beberapa bulan lalu agar orang ramai menggunakan kupon sedia ada sebelum tarikh tamat pada 30 Oktober. 

“Namun, masih ramai yang menyimpan atau membeli dalam jumlah besar sejak beberapa tahun lalu tanpa digunakan,” katanya ketika ditemui media selepas majlis sambutan Deepavali 2025 anjuran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), hari ini.

Dato Wee berkata, KCPS telah bersetuju untuk menerima semula kupon yang dijual dalam tahun ini sebagai langkah pertimbangan, namun sukar untuk meneliti jumlah kupon lama yang masih beredar di pasaran.

“Bukan mudah untuk menjejak berapa banyak kupon yang masih digunakan kerana ada yang sudah bertahun disimpan. Kami faham ketidakpuasan hati orang ramai, tetapi pada masa sama kita perlu berlaku adil dan berpegang pada garis masa yang telah dipersetujui,” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat pembelian berlebihan bagi mengelak kesukaran menuntut bayaran balik pada masa hadapan.

Dato Wee menegaskan tempoh dua bulan ini merupakan fasa percubaan bagi menilai keberkesanan sistem baharu serta mengenal pasti isu-isu yang timbul sepanjang proses peralihan.

“Tempoh ini penting untuk kita menambah baik sistem dan meneliti segala kelemahan agar apabila dilaksanakan sepenuhnya tahun depan, ia berjalan lancar dan memudahkan pengguna,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menggesa masyarakat agar membantu ibu bapa atau warga emas mendaftar aplikasi KCPS bagi memudahkan peralihan digital tersebut.

“Pendaftaran sangat mudah, tidak sampai lima minit pun. Saya harap anak-anak boleh bantu ibu bapa log masuk ke dalam aplikasi supaya mereka tidak perlu bersusah payah datang ke pejabat kami,” katanya sambil menambah bahawa MBKS turut menghantar sukarelawan membantu proses pendaftaran di lapangan.

Mengulas mengenai pondok parkir lama yang sebelum ini digunakan untuk urusan jual beli kupon, Dato Wee menjelaskan bahawa kemudahan itu tidak akan dibiarkan terbengkalai dan sedang dikaji semula untuk kegunaan baharu.

“Pondok asalnya aset majlis yang dijadikan sebahagian daripada modal syarikat KCPS. Kita sedang menilai cara terbaik untuk menggunakannya semula mungkin untuk transaksi tambah nilai atau kemudahan lain kepada orang ramai,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa MBKS tidak mempunyai akses kepada sistem kewangan KCPS atau aplikasi Borneo Apps, justeru semua urusan bayaran balik hanya boleh dibuat terus melalui pihak berkenaan.

“MBKS tidak boleh membayar bagi pihak KCPS kerana dana dan rekod transaksi berada di bawah kawalan mereka. Kami hanya membantu memastikan peralihan berjalan lancar,” jelasnya.

Dato Wee menegaskan bahawa perubahan sistem parkir ini perlu dilihat sebagai langkah ke hadapan demi keselesaan dan kemudahan jangka panjang kepada pengguna.

“Perubahan seperti ini pasti ada cabarannya, namun ia penting untuk kemajuan masa depan. Kami terbuka menerima maklum balas membina daripada orang ramai dan akan terus menambah baik dari semasa ke semasa,” katanya.

Oleh Adele Rissa

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Deepavali lambang kemenangan cahaya dan kebaikan
Next: Sarawak terima pengiktirafan Jepun, bakal terajui ekonomi hijau global

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.