MIRI: Tiada siapa yang lebih faham tentang sentimen, budaya dan tradisi masyarakat Sarawak selain daripada anak Sarawak sendiri, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Katanya, walaupun Sarawak dihuni oleh rakyat pelbagai kaum dan pegangan agama, negeri ini mampu mengekalkan keutuhan perpaduan rakyatnya atas usaha dan kebijaksanaan pemimpin seperti Yang di Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
“Tun merupakan Anak Sarawak yang bukan sahaja telah melihat semua ini berlaku tetapi merupakan antara pemimpin yang telah memainkan peranan utama dalam perjalanan sejarah Sarawak sejak 22 Julai 1963, iaitu tarikh keramat apabila Sarawak telah diberikan untuk pemerintahan sendiri oleh koloni British.
“Bagi pihak rakyat sekalian, kola merakamkan setinggi-tinggi pengharga kepada Tun dan pemimpin-pemimpin lain yang telah menyumbang khidmat bakti untuk memastikan Sarawak bebas daripada belenggu penjajahan dan menjadi sebuah negeri yang mampu melakar dan menentukan masa hadapannya sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena sambutan Hari Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini , semalam yang dihadiri Tun Pehin Sri Taib serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib.
Hadir sama, isteri Ketua Menteri, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang dan menteri-menteri kabinet.
Tun Taib menjadi Ketua Menteri selama 33 tahun dari 1981 hingga 2014 sebelum dilantik ke jawatan sekarang.
Abang Jo berkata, Tun Pehin Sri Taib adalah lambang payung perpaduan rakyat Sarawak.
“Sebagai TYT Sarawak, Tun telah menjalankan tanggungjawab ini di luar daripada pengaruh politik di samping memberi kepercayaan penuh kepada Kerajaan Negeri sedia ada untuk mentadbir negeri ini,” ujarnya.
Bertemakan Sarawak Cemerlang, sambutan Hari Sarawak pada kali ini dimeriahkan dengan pelbagai persembahan termasuk dokumentari khas Marek, Kinek Tok dan Kelak, alunan kotemporari lagu tudung periuk, sitkom Kampung Selepar Putus serta segmen Kebanggaan Kamek.
Sementara itu, Abang Jo berkata, dengan perancangan yang kukuh dan berpandangan jauh, beliau bersama rakan kabinetnya yakin Sarawak sedang menuju ke era kegemilangan, menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Dengan peruntukan anggaran keseluruhan sebanyak RM20 bilion dalam dua tahun ini, ekonomi tempatan kita akan disuntik dengan dana besar untuk perbelanjaan awam, ini tentunya akan meningkatkan penggunaan ekonomi yang akan memberi kesan menopang pertumbuhan ekonomi.
“Selain itu, jika mengambil kira pelaburan asing ke dalam ekonomi tempatan kita, akan ada suntikan RM61 bilion lagi dalam 5 hingga 10 tahun akan datang.
“Saya yakin bahawa dengan gabungan suntikan modal dalam ekonomi tempatan kita, Sarawak mampu mencapai hasrat pertumbuhan tahunan sebanyak enam hingga lapan peratus menjelang 2030 walaupun cabaran pasca Covid-19 akan menjadikannya lebih mencabar bagi kita,” katanya.
Namun demikian, beliau berkata, jika melihat kepada kesan lebih positif, cabaran yang timbul disebabkan wabak tersebut telah membuka peluang perniagaan baru kepada ramai orang selain mempercepat perkembangan ekonomi digital.
“Saya juga telah membentuk Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (SEAC) untuk meneliti dasar, strategi dan rancangan tindakan untuk Sarawak melakukan reformasi ekonomi yang agresif selama 5 hingga 10 tahun akan datang.
“Inilah harapan kami dan merupakan jalan ke hadapan menuju Sarawak Cemerlang,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling