Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Hanya 28.94 peratus CCTV berfungsi, Kesatuan Guru Bumiputera anggap keselamatan sekolah dalam keadaan membimbangkan
  • TEMPATAN

Hanya 28.94 peratus CCTV berfungsi, Kesatuan Guru Bumiputera anggap keselamatan sekolah dalam keadaan membimbangkan

Utusan Sarawak 18 hours ago
ZULKIFLEE Sebli

KUCHING: Tahap keselamatan sekolah di negara ini disifatkan berada pada paras membimbangkan apabila didedahkan bahawa hanya 28.94 peratus sekolah mempunyai sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang berfungsi sepenuhnya, sekali gus menimbulkan persoalan serius tentang perlindungan murid dan warga pendidik.

Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS), Zulkiflee Sebli berkata, pendedahan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia menyentuh soal keselamatan asas di institusi pendidikan.

Menurut beliau, situasi tersebut merupakan satu isyarat jelas bahawa aspek keselamatan fizikal di sekolah memerlukan perhatian dan tindakan segera secara menyeluruh, bukannya penyelesaian bersifat sementara.

“KGBS mengalu-alukan langkah pantas KPM melaksanakan intervensi ‘quick win’ termasuk pemasangan CCTV di ratusan sekolah yang dikenal pasti, khususnya di kawasan berisiko tinggi dan sekolah berasrama,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini.

Bagaimanapun, Zulkiflee menegaskan bahawa pemasangan CCTV semata-mata tidak mencukupi sekiranya aspek penyelenggaraan, pemantauan dan kefungsian jangka panjang tidak diberi keutamaan.

“CCTV yang rosak atau tidak dipantau secara berkala langsung tidak memberi nilai tambah kepada keselamatan sekolah, malah berpotensi mewujudkan rasa selesa palsu dalam kalangan murid dan warga sekolah,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar KPM menyediakan pelan jangka panjang yang lebih sistematik, termasuk peruntukan khas dan berterusan bagi penyelenggaraan peralatan keselamatan, latihan kakitangan serta mekanisme pemantauan yang jelas di peringkat sekolah dan jabatan pendidikan.

Dalam pada itu, Zulkiflee menegaskan bahawa keselamatan sekolah perlu dilihat secara holistik dan tidak hanya bergantung kepada infrastruktur fizikal.

“Ia mesti merangkumi pengukuhan disiplin berhemah, bimbingan dan kaunseling murid, kerjasama aktif dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), serta penglibatan komuniti setempat dan agensi keselamatan,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan menyeluruh itu lebih berkesan dalam mewujudkan persekitaran sekolah yang benar-benar selamat dan kondusif.

“KGBS percaya keselamatan murid adalah tanggungjawab bersama. Semua pihak termasuk kerajaan, sekolah, ibubapa dan masyarakat perlu berganding bahu supaya sekolah kekal sebagai tempat yang selamat untuk mendidik dan membentuk generasi masa hadapan,” katanya.

Pagi tadi, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan langkah segera bagi menangani isu keselamatan di sekolah susulan dapatan audit yang mendedahkan hanya 28.94 peratus sekolah mempunyai sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang berfungsi sepenuhnya.

Katanya, dapatan itu hasil Audit Keselamatan Murid dan Asrama yang dilaksanakan oleh Jemaah Nazir pada tahun lepas melibatkan 850 sekolah di seluruh negara.

Beliau berkata dalam usaha meningkatkan kawalan keselamatan fizikal, sistem CCTV akan dipasang di lebih 300 sekolah pada tahun ini sebagai sebahagian daripada inisiatif segera (Quick Win) Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2026 hingga 2035.

“Keselamatan sekolah ialah soal keyakinan ibubapa dan masyarakat daripada kami (institusi KPM).

“Jadi saya nak semua Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Negeri dan sekolah memastikan semua CCTV dalam keadaan berfungsi dan KPM ada penyelenggaraan untuk pastikan ia terus berfungsi,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat tahun baharu kepada warga KPM di sini hari ini.

Oleh Shahrul Qaizat

Continue Reading

Previous: Hujan berterusan cetus banjir di Simunjan dan Kuching, PPS dibuka
Next: ‘Muslim-Friendly’ bukan jaminan halal, tegas Majlis Islam Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.