Oleh Abang Median Abang Said
KARYA sastera tidak lahir dalam ruang yang kosong, sebaliknya diadun dengan elemen didaktik dan kritikan sosial daripada pengetahuan, pengalaman (sama ada pengalaman diri sendiri atau pengalaman orang lain) yang dibangunkan naratifnya daripada imaginasi serta harapan seseorang pengarang. Tidak dapat dinafikan bahawa karya kreatif mempunyai kaitan yang sangat akrab dengan konflik realiti kehidupan yang dicerna menjadi realiti kreatif. Menurut Sapardi Djoko Damono, karya sastera tidak jatuh dari langit, tetapi diciptakan oleh penulis untuk dinikmati, dihayati, difahami dan dimanfaatkan oleh masyarakat. Sastera adalah lembaga sosial yang menggunakan bahasa sebagai medium yang menampilkan gambaran kehidupan yang merupakan suatu kenyataan sosial. Dalam pengertian ini, kehidupan itu mencakupi hubungan antara masyarakat termasuk melibatkan persoalan batin dalam diri seseorang. Peristiwa-peristiwa yang terjadi dalam batin seseorang yang sering menjadi bahan sastera adalah pantulan hubungan seseorang dengan orang lain atau dengan masyarakat. Tema dan persoalan inilah yang cuba diketengahkan oleh Intan Zubaidah – seorang penulis yang menjanjikan dalam penulisan kreatif di Sarawak – menerusi cerpennya “Hantu Tahajud”.
Cerpen ini bertemakan keinsafan insan atas dosa-dosa lalu yang digambarkan melalui watak Wawa – atau nama sebenarnya, Azwan. Sememangnya, cerpen bertemakan tentang keinsafan dan kesedaran sudah banyak dihasilkan dalam penulisan karya kreatif. Namun, menerusi cerpen “Hantu Tahajud”, pengarang mengolahnya dengan bahasa yang segar dan pemaparan isu yang berbeza sehingga menjadikan pembacaan pembaca mengalir lancar sehingga ke peleraian cerpen.
Cerpen ini banyak memaparkan tentang persoalan batin watak Wawa yang ingin kembali ke pangkal jalan menuju landasan keimanan. Namun perubahannya tetap dipandang dingin oleh masyarakat kampung. Menurut Walleck dan Warren (1988), sastera merupakan realiti sosial dalam mendepani subjektiviti individu dan perkara tersebut dijelaskan melalui cerpen ini daripada sikap masyarakat yang melihat kejahatan pada sisi kejahatan semata-mata, tanpa memberi ruang untuk seseorang itu berubah.
Wawa telah pergi ke surau (latar masa tidak dinyatakan secara jelas oleh pengarang) untuk mengerjakan sembahyang tahajud. Dinyatakan dalam cerpen ini bahawa Wawa menanti kehadiran jemaah yang lain untuk melakukan sembahyang tahajud secara berjemaah. Dalam amalan kebiasaan, sembahyang tahajud tidak dijalankan secara berjemaah. Dalam Kitab al-Majmuk karya Imam Nawawi menjelaskan bahawa tidak disunatkan berjemaah untuk solat sunat seperti solat tahajud tetapi jikalau dilakukan secara berjemaah, solat tersebut masih sah. Namun jikalau dilakukan untuk mendapat pujian manusia maka hukumnya haram kerana jatuh kepada riak. Akan tetapi jikalau bertujuan untuk mengajar orang lain dan menggalakkan mereka melakukan amal seperti kepada watak Wawa yang baharu ingin berubah, maka hukumnya ialah harus dan dapat berbahagi pahala. Dalam cerpen berkenaan pun dijelaskan bahawa Wawa pergi ke surau untuk bersembahyang kerana dia tidak pernah bersembahyang sendiri sama ada solat wajib atau solat sunat yakni setelah dia insaf daripada kesesatannya. Dia masih tidak yakin melakukannya secara sendirian.
Watak Wawa sering bermonolog dalaman tentang dosa-dosa lalu yang dilakukannya, terutama sekali apabila dia berada di kota. Kerlipan lampu dan bunyi muzik yang bising adalah merujuk kepada kelab malam, persis kerlipan dosa yang menyinari kehidupan Wawa suatu ketika dahulu. Dosa-dosa itu jugalah yang menjadi alunan muzik yang terngiang-ngiang di telinga dan pemikirannya. Pengarang tidak menyatakan secara jelas atau secara langsung tentang dosa-dosa yang dilakukan oleh Wawa. Gambaran yang dilakukan hanyalah secara umum untuk pembaca mengaitkan apa-apa sahaja dosa yang sering dikaitkan dengan kebebasan hidup di kota raya. Pengarang hanya menjelaskan bahawa Wawa ditangkap dalam satu serbuan di salah sebuah kelab malam yang sering dia kunjungi. Walau bagaimanapun, Wawa tidak dijatuhkan dengan hukuman berat dan hanya ditempatkan di pusat pemulihan akhlak.
Cuma dalam cerpen ini, pengarang menggambarkan dengan jelas tentang dosa Wawa yang menyerupai wanita. Pada mulanya, pembaca tentunya beranggapan bahawa Wawa itu merujuk kepada watak wanita yang berdandan cantik. Di sanalah antara kejayaan pengarang yang mampu menampilkan unsur saspens dan kejutan kepada pembaca. Gambaran tentang kecelaruan gender ini dijelaskan oleh pengarang dalam cerpennya:
Dia berdandan secantik mungkin. Dengan barang-barang berjenama lagi mahal, dia tampil penuh percaya diri. Tidak lupa pakaian menjolok mata juga solekan tebal menutupi noda, dia berlagak persis seorang ratu.
(Perenggan ke-9, cerpen “Hantu Tahajud”)
Masalah tentang kecelaruan identiti ini dirincikan oleh pengarang melalui dialog yang dibina oleh pengarang dalam cerpen berkenaan. Dialog yang dituturkan adalah dialog yang fungsional kerana mampu menggerakkan plot cerpen dan menganjakkan konflik dalam cerpen berkenaan :
“Bukan Wawan tapi Wawa….” Tegas Wawa, lembut.
“Nama kau tu Azwan. Kau tu jantan. Tak kuasa aku nak panggil kau Wawa!” Marah salah seorang pemuda kampung.
“Nanti aku buatlah pembedahan. Masa tu nanti, jangan pula kau yang masuk meminang….” Balas Wawa bernada geram.
(Perenggan 36-39, cerpen “Hantu Tahajud”)
Pandangan serong masyarakat terhadap golongan kecelaruan gender ini dan kesukaran mereka menerima kesedaran golongan berkenaan menyebabkan golongan tersebut kian menjauhkan diri daripada masyarakat. Perkara ini ada dijelaskan oleh Datuk Dr. Zulkifli Al-Bakri dalam kertas kerjanya “Tuntutan LGBT: Di Manakah Percanggahan di bawah Perlembagaan Persekutuan”. Golongan ini perlu diberikan kesedaran dengan pendekatan yang berhemah. Antara punca utama golongan LGBT tidak mencari penyelesaian untuk mengubati dan merawat diri adalah disebabkan sikap masyarakat sendiri yang suka melabel, mengutuk, mengeji, mencemuh, melaknat dan menghina golongan songsang serta pelaku maksiat. Perkara yang sama telah dialami oleh watak Wawa yang cuba diketengahkan oleh pengarang dalam cerpen “Hantu Tahajud” ini. Dia tidak mendapat sokongan dan dukungan daripada masyarakat kampung untuk berubah.
Antara persoalan batin lain yang disisipkan oleh pengarang dalam cerpen ini ialah tentang rasa malu watak Wawa terhadap masyarakat kampung yang pernah dianggapnya sebagai musuh suatu ketika dahulu. Dia langsung tidak mahu mendengar dan menerima nasihat yang diberikan. Malahan, dia berbangga dengan kemewahannya hidup di bandar dengan rambut berwarna, pakaian terbuka, hidung bertindik dan gaya bicara yang menunjukkan kebaratan. Dalam mengetengahkan persoalan dalam cerpennya, pengarang juga bijak menyelitkan falsafah yang ingin disampaikan. Umpamanya, pengarang menyampaikan falsafah berwuduk yang mampu menghapuskan dosa-dosa kecil bersama-sama air yang menitis dari anggota tubuh seperti yang dirincikan oleh pengarang dalam cerpennya:
Tujuh anggota ini dia ratakan dengan air sebanyak tiga kali dengan penuh makna. Sapuan pertama adalah untuk berhenti dari terus melakukan perkara yang dilarang. Sapuan kedua sebagai tanda penyesalan. Sapuan ketiga merupakan azam untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama lagi.
Semoga kejernihan setiap sapuan air wuduk itu dapat memudarkan rasa malunya setiap kali berdepan dengan orang kampung.
(Perenggan 17 dan 18, cerpen “Hantu Tahajud”)
Antara persoalan utama yang cuba diketengahkan oleh pengarang hingga membawa kepada peleraian cerpen berkenaan ialah tentang permasalahan khusyuk dalam sembahyang. Pada mulanya, pembaca mungkin beranggapan bahawa tajuk “Hantu Tahajud” merujuk kepada individu atau golongan yang gigih mengerjakan solat tahajud pada waktu dini hari. Namun, pastinya persepsi itu silap kerana ‘Hantu’ yang diketengahkan dalam cerpen berkenaan adalah merujuk kepada ketakutan watak Wawa terhadap makhluk yang mengganggu ibadah atau solatnya. Tentunya ada kejanggalan atau unsur yang ironi tatkala ketakutan atau kewujudan makhluk tersebut dicitrakan hadir di surau dan mengganggu watak Wawa yang hendak mengerjakan sembahyang. Perkara tersebut mengheret kepada permasalahan khusyuk dalam solat. Bayangan itu mungkin muncul disebabkan Wawa yang tidak khusyuk, lebih-lebih lagi bayangan dosa-dosa lalunya sering mengganggu pemikiran. Khusyuk dalam solat hadir melalui hati yang berasa rendah diri serta pengharapan terhadap yang Maha Kuasa disertai dengan pergerakan yang tenang dan tamakninah serta bacaan yang tartil. Semua elemen ini tidak dapat dibina oleh watak Wawa kerana kelemahannya sehingga terbayang-bayangkan ‘makhluk halus’ yang mengganggu solatnya.
Secara keseluruhannya, cerpen ini dimulakan oleh pengarang dengan teknik deskriptif yang menarik sebelum dimasukkan dengan konflik batin Wawa yang menyerlahkan tema dan persoalan cerpen berkenaan. Perwatakan Wawa sebagai watak bulat juga mampu diwujudkan oleh pengarang dengan berkesan untuk menunjukkan potensi pengarang sebagai penulis yang menjanjikan. Walau bagaimanapun, kelemahan utama cerpen ini ialah pada bahagian peleraiannya. Karya konvensional secara umumnya merupakan karya berbentuk realisme yang memaparkan bentuk tradisi dulce et utile atau ‘yang manis dan yang berguna’ untuk membina didaktisme langsung dalam konteks hubungan karya dengan khalayak.
Cerpen “Hantu Tahajud” ini tidak memberikan unsur didaktisme pada peleraiannya. Pada pengakhiran cerpen ini, sewaktu Wawa sedang mengerjakan solat, dia terdengar suara asing di telinga kirinya seperti yang diungkapkan oleh pengarang: Suara seperti seseorang yang sedang berbisik tetapi butir-butir katanya tetap jelas terdengar.
Disebabkan perasaan takut yang menerjah, bacaan ayat suci Wawa pun berterabur. Beberapa kali dia terganggu dan tersasul sehingga Wawa yang tidak tahan dengan gangguan tersebut telah menoleh ke arah suara tersebut. Pada waktu itulah jantung Wawa berdegup kencang melihat suatu susuk lembaga berbaju putih lusuh, berambut panjang dan berkulit pucat lesi sedang menekapkan wajah serta kedua-dua belah tangannya ke cermin tingkap. Lembaga itu tersenyum lebar lalu menggoyang-goyangkan kepalanya ke kanan dan ke kiri sambil tidak berhenti-henti berkata, “Qulhu… Qulhu… Qulhu…”
Pengarang mengakhiri cerpennya dengan gambaran pesimis yang dialami oleh watak Wawa seperti berikut:
Wawa pun pantas berlari keluar dari surau. Dia berlari sekuat-kuat hati. Terlalu kuat hingga berniat untuk tidak lagi mahu kembali. Iman yang pernah runtuh, belum sempat dibina kukuh, kini bahkan mungkin akan terkubur. Cukuplah sudah diolok-olok.
(Perenggan terakhir, cerpen “Hantu Tahajud )
Dalam cerpen ini, pengarang tidak memberi ruang yang secukupnya untuk watak utama menikmati keinsafannya. Pengarang memberikan gambaran yang negatif hingga keinsafan itu dikatakan akan terkubur. Tentunya gambaran ini tidak menerapkan unsur positif bahawa rasa keinsafan dan taubat itu milik semua selagi ajal tidak memisahkannya daripada kehidupan fana dunia. Mengapa putik keinsafan itu perlu disimbah dengan racun? Mungkin pengarang ingin melontarkan tentang realiti kehidupan tatkala golongan tersebut terus disisihkan oleh masyarakat namun dalam karya kreatif, elemen didaktik perlu ditimbulkan untuk memberikan kesedaran kepada pembaca. Mungkin itu akan menjadi amal ibadah kepada penulis tatkala pembaca memperoleh pengajaran daripada karya berkenaan.
Selain itu, pembaca mungkin akan tertanya-tanya: Bagaimana hantu boleh mempersenda-senda bacaan ayat suci yang dilafazkan oleh Wawa apabila dia tergagap? Lembaga itu digambarkan dalam keadaan tersenyum lebar lalu menggoyang-goyangkan kepalanya ke kanan dan ke kiri sambil tidak berhenti-henti berkata, “Qulhu… Qulhu… Qulhu…” iaitu ayat suci yang tidak mampu diteruskan pembacaannya oleh Wawa. Tidakkah gambaran itu menjadi tidak logik tatkala hantu boleh melafazkan ayat suci al-Quran?
Sebenarnya ‘hantu’ dalam cerpen tersebut merupakan olok-olok yang dilakukan oleh budak-budak nakal yang sengaja untuk mempermainkan taubat yang dilakukan oleh Wawa. Perkara ini dijelaskan melalui ayat terakhir cerpen berkenaan: Cukuplah sudah diolok-olok.
Biarpun Wawa mengetahui bahawa dirinya dipersenda, tetapi perasaan kesal dan kecewa terus menguasai pemikiran dan jiwanya tatkala niat baiknya untuk berubah tidak diterima oleh masyarakat. Pengakhiran yang pesimis ini telah menenggelamkan pesanan positif pada pertengahan cerpen melalui dialog yang dituturkan oleh seorang ustaz sewaktu menyampaikan motivasi kepada Wawa setelah dia ditangkap di kelab malam: “Siapa pun kita, besar mana pun dosa kita, Allah tetap sayang….”
Cerpen “Hantu Tahajud” ini tentu akan memberikan makna yang lebih signifikan kepada pembaca jikalau pengakhiran cerpen itu diubah untuk menyampaikan pesanan yang lebih optimis kepada watak utama cerpen berkenaan. Mungkin pengarang boleh menampilkan watak sampingan yang muncul ke surau pada dini hari untuk mengajar Wawa mengerjakan sembahyang taubat. Cerpen itu boleh diakhiri dengan tangisan keinsafan watak Wawa kerana masih ada penduduk kampung yang menerima perubahannya.
Watak ibu dan ayah Wawa juga tidak dijelaskan oleh pengarang dalam cerpen berkenaan. Perkara ini telah meleraikan talian kekeluargaan yang mampu mengukuhkan lagi binaan plot cerpen berkenaan. Jikalau watak ibu Wawa itu masih hidup, tentu cerpen ini akan lebih mengesankan tatkala doa seorang ibu telah mengubah perilaku songsang anaknya. Jikalau pengarang menggambarkan ibu dan ayah Wawa telah meninggal dunia, elemen rasa bersalah itu akan mengukuhkan lagi keinginannya untuk taubat. Pengarang hanya mengaitkan watak Wawa dengan masyarakat tatkala dia tidak menerima nasihat yang diberikan mereka suatu ketika dahulu. Tentu cerpen ini akan lebih tebal elemen melankoliknya jika pengarang menggambarkan bahawa Wawa mengingkari nasihat ibunya yang sudah tua hingga perubahan drastiknya yang menyerupai perempuan turut menyumbang kepada kematian ahli keluarganya. Walau bagaimanapun, semua itu hanyalah cadangan kepada pengarang untuk mengukuhkan binaan plot dan konflik dalam cerpen berkenaan.
Sebagai pembaca, menelusuri konflik dan persoalan yang diketengahkan dalam cerpen “Hantu Tahajud” memberikan kesan pembacaan yang menyeronokkan. Pengarang mengolah cerpennya dengan bahasa yang lancar dan segar; perasaan watak sama ada ketakutan, kekesalan dan azam dikaitkan dengan unsur alam sehingga mempunyai keselarian yang memberi kesan emosi kepada pembaca. Pengarang juga teliti dengan diksi yang digunakan hingga pengolahan bahasanya terkawal. Hanya dua kesilapan kecil dari aspek ejaan dikesan dalam cerpen berkenaan yang tidak menjejaskan pengolahan cerpen tersebut secara keseluruhan. Di sini menampakkan keseriusan pengarang untuk menghantar karya yang telah disunting dengan baik kepada editor.
Tajuk cerpen yang diolah oleh pengarang juga mampu menjadi tarikan kepada pembaca. Perasaan ingin tahu pastinya terbit dalam jiwa pembaca untuk cuba mengaitkan antara perkataan ‘Hantu’ dengan perkataan ‘Tahajud’ – dua perkataan yang kontras dari segi makna tetapi membentuk satu frasa.
Semoga cerpen “Hantu Tahajud” ini menjadi batu loncatan untuk pengarang menghasilkan karya yang lebih baik pada masa akan datang. Bakat penulisan yang ada pada pengarang seharusnya tidak disia-siakan untuk terus digilap – mudah-mudahan menghasilkan karya yang lebih berkualiti. Semua itu mampu direalisasi oleh pengarang dengan ketekunan dan usaha yang berterusan.
Sekali lagi dipetik ulang kata-kata Sapardi Djoko Damono pada awal tulisan ini tadi bahawa karya sastera tidak jatuh dari langit tetapi diciptakan oleh penulis untuk dinikmati, dihayati, difahami dan dimanfaatkan oleh masyarakat. Oleh itu, karya yang baik itu hadir dengan usaha berterusan daripada pengarang.
Yah, semua itu mampu direalisasikan dengan usaha Intan Zubaidah!