
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang baharu susulan rombakan Kabinet Kerajaan MADANI yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Hannah, 46, yang sebelum ini memegang portfolio Menteri Belia dan Sukan, pernah mencipta sejarah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dari 2013 hingga 2018, sekali gus menjadi wanita pertama dan paling muda dilantik menyandang jawatan itu.
Portfolio Menteri Belia dan Sukan kini diterajui Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari.
Berpengalaman luas dalam pentadbiran, Hannah sebelum ini dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 2018 sebelum menggalas jawatan Menteri Belia dan Sukan pada 2022.
Ibu kepada dua cahaya mata itu juga ialah Timbalan Setiausaha Agung Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP bagi penggal 2025–2028 dan mula terbabit dalam politik selepas menyertai DAP pada 2006. Beliau juga bekas peguam.
Hannah pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya selama dua penggal bermula 2008 sebelum beralih ke peringkat Parlimen pada 2018 selepas memenangi kerusi Segambut.
Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Seri Subang Jaya, Sekolah Kebangsaan SS19 Subang Jaya dan Sekolah Menengah Kebangsaan Subang Utama sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di University of Tasmania, Australia, dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-undang pada 2001.
Sepanjang menerajui Kementerian Belia dan Sukan, Hannah menumpukan kepada isu gangguan seksual serta keselamatan atlet dengan menekankan keperluan siasatan telus, perlindungan mangsa, pelaksanaan kod tatakelakuan serta mekanisme aduan dalam persatuan sukan.
Ketika berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, beliau dikenali sebagai antara pemimpin yang lantang bersuara berhubung isu perkahwinan bawah umur selain memperjuangkan penggubalan undang-undang berkaitan gangguan seksual.
Beliau juga kerap menyuarakan pandangan mengenai hak kanak-kanak tanpa kewarganegaraan serta mencadangkan penubuhan sebuah agensi atau kementerian khas bagi memberikan fokus kepada isu kanak-kanak.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Hannah mempertahankan kerusi Parlimen Segambut bagi penggal kedua berturut-turut sejak 2018 selepas menewaskan dua pencabar daripada Perikatan Nasional dan Barisan Nasional dengan majoriti 59,684 undi.
-BERNAMA