KUCHING: Calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Hamzah Brahim yakin menang sekali gus mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan untuk GPS pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) Sarawak.
Keyakinan itu timbul kerana rakyat terutama warga DUN Stakan kini sudah matang, bijak menilai dan berpandangan jauh, tegasnya.
“Saya berkeyakinan bahawa masyarakat, warga pengundi di Stakan hari ini lebih matang melihat kepada sesuatu perkara yang lebih luas … berpandangan jauh.
“Hari ini, rakyat khususnya dalam kawasan Stakan akan melihat apa yang calon, individu dalam parti boleh lakukan dalam masa yang panjang dari pelbagai aspek. Bukan hanya dari aspek kebajikan, tetapi dari aspek ekonomi, pendidikan dan sebagainya,” katanya.
Berkata demikian dalam temu bual bersama Utusan Sarawak semalam, Hamzah juga menegaskan keyakinan untuk mempertahankan kerusi DUN Stakan disebabkan sebagai calon GPS beliau didukung dan ditunjangi oleh kepimpinan GPS ketika ini di bawah pimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Malah sebagai orang lama dalam politik katanya, perjuangan serta khidmat membantu rakyat telah dilakukan oleh GPS sejak daripada menang pada PRN-11 (2016) ketika masih bersama parti komponen Barisan Nasional (BN) sehingga hari terakhir berkempen iaitu pada tengah malam 17 Disember ini.
“Faktor ini harus dilihat, kita (GPS) tidak datang hanya (pilihan raya).. kita tidak hanya beri payung waktu hujan sahaja, tetapi kita membina atap untuk sepanjang masa, tidak kira hujan, panas, ribut tidak kira dalam apa jua situasi, ketika kita perlukan perlindungan.
“Oleh itu, kita tiada pilihan lain selain memilih GPS jika mahu melihat Sarawak terus mengecapi lebih banyak kemajuan dan kejayaan pada masa depan. Jangan pilih parti yang menjanjikan bulan terbelah dua dan sebagainya hanya untuk meraih agenda peribadi dan parti. Bagi kita (GPS) mampu melaksanakan apa yang kita janjikan (dalam manifesto),” jelas beliau.
CITA-CITA JADIKAN DUN STAKAN CONTOH KAWASAN LAIN
Mengulas berkenaan jika menang pada PRN Sarawak kali ini, Hamzah memberitahu beliau akan meneruskan kesinambungan kepada perancangan dan pembangunan yang telah dilaksanakan oleh wakil rakyat sebelum ini, Datuk Amar Mohamad Ali Mahmud.
Kemudiannya, melaksanakan pembangunan mengikut keperluan penduduk di kawasan terbabit dengan memberi peluang kepada anak-anak DUN Stakan untuk memperkasakan ekonomi dan membangunkan modal insan menerusi pendidikan.
“Paling penting bagi saya, adalah dua perkara ini iaitu aspek pendidikan. Asepk pendidikan ini akan diperkasakan memandangkan kawasan Stakan ini di kawasan pinggir bandar dan saya melihat aspek pendidikan amat penting untuk mereka bersaing dalam kehidupan pada masa depan.
“Dan oleh kerana kemudahan yang disediakan oleh kerajaan, IPT, IPTA yang ada disediakan di sekeliling kawasan Stakan ini dipergunakan dengan sebaik mungkin. Ambil peluang, tambah kesedaran, tentang pentingnya pendidikan,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berharap pengundi di DUN Stakan agar semuanya turun mengundi dan berpandangan lebih jauh ketika memangkah calon mewakili mereka untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Lihat daripada segi aspek lebih luas tidak terpengaruh dengan faktor-faktor media sosial, khabar-khabar angin, unsur-unsur kebencian, unsur-unsur hasutan.
“Berfikir secara rasional siapa yang bersama kita selama ini. Siapa yang datang bersama kita waktu hanya ada keperluan tertentu. Kta akui memang tidak ada satu kerajaan sempurna, tiada yang sempurna.
“Akan tetapi saya yakin dan berani madah di dalam Sarawak, hanya GPS yang terbaik untuk semua,” katanya.