Hampir tiga perempat England dilanda kemarau

Facebook
WhatsApp
ORANG ramai melihat dasar Hollow Pond dan Leyton Flats yang kering dan merekah akibat susutnya paras air di Wanstead, timur London, pada 10 Ogos 2026, susulan cuaca panas dan kering selama beberapa minggu yang menyebabkan lebih separuh kawasan England diisytiharkan mengalami kemarau. Foto AFP

LONDON: Hampir tiga perempat England kini dilanda kemarau apabila keadaan semakin buruk susulan permulaan Ogos yang kering, menurut Kumpulan Kemarau Kebangsaan pada Isnin, lapor Xinhua.

Kumpulan yang terdiri daripada badan kawal selia, pegawai kerajaan, syarikat air dan badan pertanian itu membuat pengumuman berkenaan selepas bermesyuarat pada Isnin.

Kumpulan itu memberi amaran bahawa semua wilayah di England berdepan tekanan sumber air, dengan kesannya semakin ketara terhadap sektor pertanian, bekalan air awam, pelayaran dan alam sekitar.

PEMANDANGAN udara menunjukkan dasar Hollow Pond dan Leyton Flats yang kering dan merekah akibat susutnya paras air di Wanstead, timur London, pada 10 Ogos 2026, susulan cuaca panas dan kering selama beberapa minggu yang menyebabkan lebih separuh kawasan England diisytiharkan mengalami kemarau. Foto AFP

East Midlands, Lincolnshire dan Northamptonshire, Kent dan East Sussex, Solent serta South Downs menjadi kawasan terbaharu yang diisytiharkan berstatus kemarau pada Isnin.

Perkembangan itu bermakna 71.3 peratus England kini mengalami “flash drought”, iaitu kemarau yang berlaku dengan pantas akibat gabungan taburan hujan yang sangat rendah dan suhu lebih tinggi.

Kira-kira 45 juta penduduk England kini tinggal di kawasan yang dilanda kemarau, manakala lebih 27 juta orang tertakluk kepada sekatan penggunaan air.

BOT dayung usang kelihatan di Hollow Pond dan Leyton Flats yang mengalami penyusutan paras air di Wanstead, timur London, pada 10 Ogos 2026, susulan cuaca panas dan kering selama beberapa minggu yang menyebabkan lebih separuh kawasan England diisytiharkan mengalami kemarau. Foto AFP

“Terdapat amaran mengenai cuaca lebih kering dan satu lagi gelombang haba yang bakal melanda,” menurut kerajaan dalam satu kenyataan.

Ketua Strategik Kemarau Agensi Alam Sekitar yang juga Pengerusi Kumpulan Kemarau Kebangsaan, Tony Grayling berkata keadaan kemarau semakin buruk dan akan berterusan sehingga berlaku “hujan lebat dan berterusan”.

“Cuaca panas dan kering benar-benar menjejaskan sektor pertanian dan akan memberi kesan berpanjangan terhadap alam sekitar,” katanya.

Kerajaan Britain telah meningkatkan langkah menangani kemarau dan sedang mempertimbangkan cara untuk memberikan lebih banyak sokongan kepada sektor pertanian.

Menteri Air Britain Emma Hardy berkata musim panas kali ini sangat mencabar, terutama bagi golongan petani yang paling terkesan oleh perubahan iklim serta peningkatan kejadian banjir dan kemarau.- Bernama-Xinhua