Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Hampir seluruh Sarawak kini nikmati bekalan elektrik 24 jam
  • TEMPATAN

Hampir seluruh Sarawak kini nikmati bekalan elektrik 24 jam

Utusan Sarawak 3 days ago
UCAPAN… Dato Sri Julaihi Narawi ketika berucap pada majlis perasmian Forum Kelestarian dan Tenaga Boleh Diperbaharui (SAREF 4.0) hari ini.

KUCHING: Sarawak kini mencatat 99.6 peratus liputan elektrik setakat Disember 2024, merangkumi hampir semua kawasan luar bandar yang kini menikmati bekalan elektrik 24 jam, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi.

Menurutnya, pencapaian tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri untuk memastikan setiap lapisan masyarakat menikmati akses kepada bekalan elektrik yang mampu milik, boleh dipercayai, cekap dan selamat.

Pada masa sama, usaha ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG 7), yang menekankan kepentingan akses sejagat kepada tenaga moden.

“Walaupun Sarawak berdepan cabaran besar seperti kedudukan geografi yang kompleks dan tahap kebolehcapaian yang rendah di kawasan pedalaman, kita tetap berjaya memastikan hampir keseluruhan rakyat negeri ini kini menerima bekalan elektrik tanpa gangguan sepanjang masa,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Forum Kelestarian dan Tenaga Boleh Diperbaharui (SAREF 4.0) di sini, hari ini.

Julaihi menjelaskan kementeriannya bukan sahaja bertanggungjawab menggubal dasar dan peraturan, malah memastikan pelaksanaan projek elektrifikasi luar bandar, penyeliaan teknikal serta pelesenan tenaga dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, perkembangan pesat infrastruktur tenaga juga didorong oleh pembaharuan perundangan termasuk Ordinan Elektrik (Pindaan), 2023 yang memperkenalkan prosedur lebih jelas, telus dan pantas bagi menarik pelaburan sektor swasta serta Penjana Kuasa Bebas (IPP).

“Pindaan ini merupakan pemangkin besar kerana ia membolehkan projek baharu termasuk tenaga boleh diperbaharui dan penyelesaian hibrid dilaksanakan dengan lebih cepat dan telus. Persekitaran pelaburan yang mesra ini turut mengukuhkan asas ekonomi negeri,” katanya.

Beliau menegaskan tenaga mampan adalah tulang belakang pembangunan industri, menarik pelaburan asing dan meningkatkan taraf hidup rakyat, selari dengan aspirasi Sarawak mencapai status negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030 di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030)

Jelasnya, selain memenuhi keperluan domestik, Sarawak turut membuktikan keupayaan teknikalnya apabila mula mengeksport tenaga hidro boleh diperbaharui ke Kalimantan Barat, Indonesia sejak 2016.

“Langkah ini bukan sahaja memperkukuh kerjasama ekonomi rentas sempadan, malah menempatkan Sarawak sebagai pembekal tenaga boleh diperbaharui yang boleh dipercayai di rantau ini,” katanya.

Katanya lagi, Sarawak kini giat memperkukuh kerangka dasar, teknikal dan komersial bagi menghubungkan grid tenaga domestik dan serantau, selaras dengan usaha Malaysia merealisasikan Rangkaian Kuasa ASEAN (ASEAN Power Grid).

“Melalui inisiatif ini, sistem tenaga rantau Asia Tenggara akan menjadi lebih bersepadu, mampan dan berdaya tahan, seiring dengan hala tuju Sarawak sebagai peneraju tenaga hijau,” jelasnya.

Julaihi menekankan bahawa kementeriannya akan terus memperkukuh infrastruktur, dasar dan pelaburan strategik, selain bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak termasuk industri, akademia dan masyarakat sivil demi memastikan transformasi tenaga bersih dapat direalisasikan untuk generasi masa depan.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: ‘Bat exodus’ mulu persembahan alam di langit senja
Next: Sarawak pacu revolusi tenaga hijau, bakal eksport hidrogen pepejal ke Singapura

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.