
HANOI: Hampir 84,000 rumah di utara Vietnam masih ditenggelami air susulan banjir yang dicetuskan oleh Taufan Matmo, setakat pagi tadi. Jumlah ini menunjukkan penurunan ketara berbanding lebih 220,000 rumah yang terjejas awal minggu ini, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Menurut Jabatan Pengurusan Benteng Penahan Banjir dan Pencegahan Bencana (Kementerian Pertanian dan Alam Sekitar), Wilayah Thai Nguyen adalah kawasan paling teruk terjejas dengan lebih 70,000 rumah masih dinaiki air, diikuti oleh Bac Ninh (lebih 11,000), Lạng Son (kira-kira 2,500) dan puluhan rumah di Cao Bang.
Air banjir turut menenggelamkan beberapa laluan lebuh raya, jalan negeri dan jalan luar bandar, menyebabkan gangguan lalu lintas, manakala perkhidmatan kereta api di laluan Hanoi-Dong Dang digantung.

Lebih 210,000 isi rumah masih terputus bekalan elektrik dengan kerja pemulihan sedang dijalankan.
Walaupun hujan reda di kebanyakan kawasan di utara, paras air sungai masih tinggi. Sehingga 5 pagi, Sungai Cau yang mengalir merentasi Thai Nguyen, Hanoi dan Bac Ninh berada pada 0.7 hingga 1.8 meter melebihi paras amaran tertinggi (Tahap 3), manakala Sungai Thong di Lạng Son dan Bac Ninh melepasi paras banjir bersejarah yang direkodkan pada 1986.
Sungai CaLo di Hanoi berada 1.28 meter di atas paras amaran Tahap 3, manakala Sungai Đay di Wilayah Ninh Bình mencatatkan sedikit di bawah paras amaran.
Dalam tempoh 24 jam akan datang, paras air di kebanyakan sungai dijangka menurun, kecuali di Sungai Cau di Ward Dap Cau, Bac Ninh, yang dijangka memuncak pada petang Khamis.
Data Khamis juga menunjukkan yang kesan berturut-turut daripada taufan Bualoi dan Matmo menyebabkan 76 insiden benteng penahan banjir rosak di pelbagai bandar dan wilayah termasuk Thai Nguyen, Phu Tho, Ha Noi, Bac Ninh, Hung Yen, Thai Binh, Ninh Binh, Thanh Hoa, Nghe An, Ha Tinh dan Quang Trị.
Pada masa ini, 28 empangan hidroelektrik di wilayah utara sedang melepaskan air melalui pintu limpahan pada kadar 100 meter padu sesaat atau lebih.
-BERNAMA-VNA