Hampir 3,000 rakyat Malaysia terkandas di Asia Barat, ada kehabisan wang

Facebook
WhatsApp
 TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat dan Pek Makanan di Surau Darul Ikhlas TM Sarawak Hub di Petra Jaya, hari ini. Foto Shahrul Qaizat

PETRA JAYA: Hampir 3,000 rakyat Malaysia yang berada di Asia Barat sebagai pelancong kini dilaporkan terkandas susulan konflik yang berlaku di rantau berkenaan, dengan sebahagian daripada mereka dilaporkan sudah kehabisan wang untuk menampung kos penginapan dan makanan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, kerajaan kini sedang mengatur usaha untuk membawa pulang rakyat Malaysia terbabit termasuk melalui penyewaan pesawat khas.

Menurut beliau, rakyat Malaysia yang berada di rantau tersebut terdiri daripada dua kategori iaitu pelancong serta mereka yang bekerja dan bermastautin di sana.

“Apa yang diputuskan di kabinet ialah untuk rakyat kita yang terkandas. Ada dua kategori iaitu yang pergi melancong dan juga yang bekerja serta menetap di sana.

“Khususnya bagi mereka yang terkandas, kita sedang mengatur program untuk membawa mereka pulang kerana ada yang sudah kehabisan wang untuk membayar hotel dan perbelanjaan makan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat dan Pek Makanan di Surau Darul Ikhlas TM Sarawak Hub di sini, hari ini.

Fadillah berkata usaha membawa pulang rakyat Malaysia itu sedang diselaraskan oleh Kementerian Luar Negeri termasuk melalui rundingan dengan beberapa syarikat penerbangan.

“Kementerian Luar Negeri sedang berunding dengan syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines Berhad (MAS), AirAsia dan juga Batik Air kerana kita mungkin perlu menyewa pesawat untuk membawa mereka balik,” katanya.

Beliau berkata bagi kawasan yang tidak mempunyai ruang udara untuk penerbangan, rakyat Malaysia terbabit akan dipindahkan melalui laluan darat ke negara yang mempunyai akses penerbangan.

“Pada masa ini hanya di Arab Saudi dan Oman ada sedikit ruang untuk membawa mereka keluar,” jelasnya.

Menurut beliau, selain pelancong, lebih 20,000 rakyat Malaysia lagi berada di Asia Barat sebagai pekerja atau menetap di negara berkenaan.

Oleh Shahrul Qaizat

Kepulangan terakhir Koperal Chiu, keluarga iringi penghormatan terakhir

SIBU: Di sebalik kepulangan jenazah Koperal Chiu Teck Siong ke kampung halamannya hari ini, balu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu hanya mampu memikirkan masa depan lima anak mereka yang masih kecil, terutama soal pendidikan selepas kehilangan tonggak keluarga dalam tragedi renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, semalam. Tan Wei Wei, 39, berkata, keutamaan beliau ketika ini ialah memastikan kelima-lima anak mereka mendapat pembiayaan pendidikan yang mencukupi memandangkan mereka masih kecil. “Yang saya fikir sekarang ialah pendidikan masa depan mereka. Mereka semua masih kecil, sedangkan gaji suami bukanlah besar,” ujarnya ketika ditemui di Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima di sini, lewat petang tadi. Beliau berkata, lima anak mereka masing-masing berusia 11, 10, sembilan, tujuh dan empat tahun. Menurutnya, empat anak yang lebih besar bersekolah di SJK(C) Tung Hua, Sibu, manakala anak bongsu mengikuti pendidikan prasekolah di Tadika Sing Antong. Tan berkata, mendiang suaminya telah lama berhasrat untuk dipindahkan semula bertugas ke Sibu supaya dapat tinggal bersama keluarga, namun hasrat itu tidak kesampaian. “Memang sudah lama dia hendak berpindah balik ke sini, tetapi belum berjaya,” katanya. Beliau berkata, kali terakhir anak-anak dapat meluangkan masa bersama bapa mereka ialah ketika sambutan Tahun Baharu Cina lalu. Koperal Chiu, 40, merupakan antara tiga anggota polis yang maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan galah logam untuk mengambil kelapa di luar Balai Polis Weston, Beaufort, Sabah, semalam. Jenazah beliau diterbangkan dari Lapangan Terbang Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu dan tiba di Lapangan Terbang Sibu pada 5.50 petang. Van yang membawa jasad mendiang kemudian diiringi kenderaan polis serta ahli keluarga ke Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima. Upacara penghormatan terakhir akan diadakan di dewan berkenaan pada 7.30 pagi esok sebelum mendiang dibawa ke Nirvana Memorial Park untuk upacara pembakaran. Abu mendiang kemudian akan disemadikan di Methodist Grace Memorial Park di Jalan Kemuyang. Dua lagi mangsa yang turut terkorban dalam kejadian itu ialah Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26. Ketiga-tiga mereka bertugas di Balai Polis Weston, Beaufort. Oleh Akun Giman