
KUALA LUMPUR: Hampir 18 tahun tidak membuat persembahan di Malaysia dan Singapura, kumpulan Peterpan bakal mengubati kerinduan peminat mereka menerusi konsert yang dijadualkan di kedua-dua negara itu bulan depan.
Konsert The Journey Continues: Peterpan, Semua Tentang Kita akan berlangsung di The Star Theatre, Singapura pada 3 Julai sebelum diteruskan di Idea Live Arena, Petaling Jaya, Selangor pada 11 Julai.

Penganjur konsert merangkap Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Aloka Budi Aloka berkata idea penganjuran konsert tercetus selepas melihat sambutan luar biasa terhadap persembahan Peterpan di Bandung, Indonesia tahun lepas, membuktikan lagu-lagu kumpulan itu masih mendapat tempat di hati peminat meskipun telah berusia hampir dua dekad.
“Kami melihat karya-karya Peterpan masih didengar, dinikmati dan dirasakan oleh jutaan orang sehingga hari ini.

“Jadi kami mahu meraikan semula lagu-lagu yang menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup ramai pendengar, selain memperkenalkannya kepada generasi baharu,” katanya pada sidang media antarabangsa menerusi telesidang di Jakarta, Kuala Lumpur dan Singapura baru-baru ini.
Budi berkata konsert itu akan menampilkan kira-kira 21 lagu daripada tiga album pertama Peterpan, termasuk beberapa karya yang pernah melonjakkan nama kumpulan tersebut di Indonesia dan rantau ini.
Konsert itu bakal membariskan anggota asal Peterpan iaitu Reza, Loekman, Andika dan Indra yang dikenali menerusi lagu hit seperti Mimpi Yang Sempurna, Semua Tentang Kita, Ada Apa Denganmu, Ku Katakan Dengan Indah, Mungkin Nanti dan Bintang di Surga.

Menurut beliau, konsert itu juga bakal menampilkan beberapa penyanyi dari Indonesia dan Malaysia yang dipilih berdasarkan keserasian mereka dengan karya-karya Peterpan, antaranya Marcello Tahitoe, Tantri Syalindri, Rony Parulian, Arda Hatna dan Charly Van Houten serta penyanyi popular Malaysia Hael Husaini.
Dalam pada itu, penganjur bersama merangkap Pengarah Black Sky Enterprise, Thata Joyce Sigar berkata ketiadaan vokalis utama Peterpan, Ariel dalam konsert berkenaan adalah kerana penyanyi berkenaan masih dalam tempoh rehat panjang daripada aktiviti berkumpulan.
“Dia baru saja menyelesaikan filem terbarunya, Dilan: ITB 1997. Dia tidak ada di Peterpan, dia tidak ada di Noah dan sedang berehat daripada band,” katanya.
Thata berkata kemunculan semula Peterpan turut membuka peluang kepada anggota kumpulan itu untuk kembali aktif dalam dunia muzik serta memperkenalkan karya mereka kepada generasi baharu.

“Ini juga bererti Ariel membuka peluang kepada generasi selepas beliau dan sahabat-sahabat Peterpan untuk kembali ke dunia muzik dan hiburan dengan keunikan muzik mereka, muzik akustik mereka dan lirik lagu yang sederhana tetapi melekat di hati,” katanya.
Sementara itu, Hael Husaini berkata beliau berbesar hati diberi peluang menyertai konsert berkenaan dan membawakan lagu-lagu Peterpan yang pernah menghiasi kehidupan ramai peminat muzik di rantau ini.
“Saya membesar dengan lagu-lagu mereka. Dapat berkongsi pentas dan menyanyikan karya yang menjadi fenomena di rantau ini merupakan satu pengalaman yang sangat bermakna,” katanya.
Tiket bagi konsert di Singapura kini boleh dibeli menerusi SISTIC, manakala tiket konsert di Malaysia pula dijual melalui Ticket2U dan Fantopia.- Bernama