KUCHING: Hampir 100 murid dari lima sekolah rendah di Sarawak terpaksa mengikuti sesi pembelajaran di rumah selepas sekolah mereka ditutup akibat banjir.
Menurut Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahlia, semua sekolah di bahagian tengah wilayah itu akan meneruskan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga kerja-kerja pembersihan sekolah selesai bagi memastikan keselamatan pelajar.
Katanya, antara sekolah tersebut ialah, SK Kampung Klid Plajau dan SK Saint Luke di Dalat, SK Kuala Kenyana di Mukah, SK Kuala Muput di Tatau dan SK Ulu Kabo di Saratok.
“Kesemua lima sekolah ini masih belum dapat beroperasi, menyebabkan murid-murid mereka tidak dapat hadir ke sekolah. Namun, guru menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan mereka tidak ketinggalan.
“Walaupun aktiviti pembelajaran secara fizikal tidak dapat dijalankan seperti biasa, murid-murid masih boleh membaca dan mengulangkaji menggunakan bahan yang disediakan.
“Diharapkan dalam tempoh seminggu ini, dengan kerja-kerja pembersihan, pembaikan, serta perolehan perabot seperti kerusi dan meja, sekolah-sekolah tersebut dapat kembali beroperasi seperti biasa pada minggu berikutnya.
“Walaupun air semakin surut, kerja-kerja pembersihan masih belum dapat dilaksanakan sepenuhnya, namun usaha tersebut akan diteruskan dalam minggu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat lawatan hari pertama sesi persekolahan 2025/2026 di SK Haji Baki di sini, hari ini.
Tambah Omar, pihaknya menyalurkan peruntukan kepada Pejabat Pendidikan Daerah bagi membantu proses baik pulih sekolah yang terjejas akibat banjir, dengan keutamaan diberikan kepada perolehan kerusi dan meja.
Selain itu, Omar menjelaskan bahawa pihak sekolah, dengan kerjasama ibu bapa, mengambil tindakan awal membina titian sementara ke sekolah sementara menunggu pembinaan semula jambatan yang terputus akibat banjir.
“Di SK Ulu Kabo, Saratok, sebuah jambatan gantung yang menjadi laluan utama murid-murid ke sekolah telah terputus akibat banjir deras.
“Akibatnya, mereka kini tidak mempunyai akses ke sekolah kerana sebelum ini bergantung kepada jambatan tersebut untuk menyeberangi sungai.
“Pihak kami sedang berusaha mendapatkan bantuan daripada tentera serta ibu bapa bagi mengadakan gotong-royong untuk membina titian sementara,” katanya.
Sementara itu, Omar mendedahkan bahawa pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melaksanakan pembinaan semula jambatan yang runtuh.
Oleh Mohd Neenatul Aizal