Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu ya Allah
  • RENCANA

Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu ya Allah

Utusan Sarawak 4 hours ago
ANTARA petugas media Malaysia yang membuat liputan bagi musim haji 1446H/2025M. Seramai 19 petugas media Lembaga Tabung Haji (TH), termasuk 14 pengamal media selesai menunaikan ibadah umrah pertama sebaik tiba di sini setelah menempuh lapan jam perjalanan dari Madinah dan miqat di Bir Ali. Foto BERNAMA

SEJAK beberapa hari yang lalu, ramai dalam kalangan masyarakat kita telah menghadiri majlis kesyukuran dan doa selamat bagi meraikan mereka yang menerima jemputan istimewa daripada Allah SWT iaitu menjadi tetamu Allah SWT (Duyufurrahman) untuk menunaikan ibadah haji di Tanah Suci Makkah Al-Mukarramah.

Fitrahnya, setiap Muslim yang berkemampuan sudah tentu mendambakan untuk menjadi tetamu Allah SWT kerana peluang untuk menunaikan fardu haji bukanlah sesuatu yang mudah diperoleh dan ia tidak semudah seperti pergi melancong.

Berdasarkan maklumat daripada Lembaga Tabung Haji, kuota haji yang diberikan kepada Malaysia oleh Kerajaan Arab Saudi hanyalah sebanyak 1 peratus daripada jumlah penduduk negara pada setiap tahun.

Oleh kerana jumlah kuota yang terhad ini, senarai jemaah yang masih menunggu giliran terus bertambah saban tahun sekali gus menjadikan peluang untuk menunaikan haji sebagai sesuatu yang sangat dihargai dan dinanti-nantikan.

Bagaimanapun, kita tidak perlu berasa kecewa kerana Allah Maha Berkuasa untuk menjemput kita menjadi tetamu-Nya di Tanah Suci pada bila-bila masa yang dikehendaki-Nya.

Sehubungan dengan itu, setiap daripada kita digalakkan untuk segera mendaftarkan diri dengan membuka akaun di mana-mana cawangan Tabung Haji yang berdekatan.

Sebagai langkah awal, anak-anak juga wajar didedahkan sejak usia muda untuk membuka akaun Tabung Haji sebagai persediaan masa hadapan.

Jangan segan untuk berkunjung ke pejabat Tabung Haji bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan urusan ini.

Usaha murni seperti ini sebenarnya bertujuan untuk menjadi galakan dan dorongan agar kita terus menabung ke dalam akaun Tabung Haji.

Menariknya, simpanan di Tabung Haji bukan sahaja membantu kita membuat persiapan menunaikan ibadah haji, malah turut memberikan pulangan dividen tahunan di samping urusan pembayaran zakat yang turut diselaraskan secara automatik.

Bagi mereka yang akan menunaikan haji pada tahun ini, terimalah jemputan daripada Allah SWT dengan setulus kesyukuran.

Hal ini demikian kerana, daripada berjuta-juta umat Islam di seluruh dunia tidak semua berpeluang menerima anugerah yang begitu agung ini.

Sesungguhnya, ada dalam kalangan kita yang telah berkemampuan dan cukup syaratnya namun masih belum diizinkan oleh Allah SWT untuk menunaikan kewajipan ini.

Bagi mereka yang sudah berkemampuan, usahlah menangguhkan niat dengan alasan ingin menunggu ‘lambaian’ terlebih dahulu.

Kita tidak tahu sampai bila kesihatan dan usia akan menjadi milik kita. Sebaliknya, tanamlah keikhlasan dalam hati dan tetapkan tekad untuk menyempurnakan kewajipan haji apabila berpeluang.

Sebagai langkah permulaan, setiap Muslim wajar menanam kefahaman tentang makna dan roh pensyariatan ibadah haji yang merupakan salah satu daripada Rukun Islam.

Dengan kesedaran itu, hati akan sentiasa terdorong untuk berusaha menjadi tetamu Allah SWT meskipun kita belum tahu bila panggilan itu akan tiba.

Roh Pensyariatan Haji

Roh pensyariatan haji ialah penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah SWT dengan penuh rasa cinta, takut dan pengharapan.

Ibadah ini mendidik kita menjadi seorang hamba yang sejati, menyucikan hati daripada kotoran duniawi serta membawa kita kembali kepada-Nya dalam keadaan yang lebih baik daripada sebelumnya.

Haji bukan sekadar ritual fizikal tetapi merupakan sebuah perjalanan spiritual yang sarat dengan simbolik dan makna yang mendalam.

Ia melambangkan ketundukan sepenuhnya seorang hamba kepada Rabb-nya. Setiap perbuatan dalam ibadah haji sama ada wukuf di Arafah, mabit di Muzdalifah, melontar di Mina, tawaf dan saie di Makkah, ihram dan amalan lain bukannya dilakukan berdasarkan logik akal semata-mata tetapi atas dasar ketaatan yang tulus kepada perintah Allah SWT.

Haji merupakan lambang pengorbanan dan ketaatan mutlak sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim A.S., Siti Hajar dan Nabi Ismail A.S. Setiap amalan dalam ibadah haji menghidupkan kembali kisah pengorbanan keluarga mulia ini yang menjadi contoh ketaatan sejati kepada perintah Allah SWT.

Ibadah haji menyucikan hati kita daripada sifat-sifat mazmumah seperti riak, takbur, dendam dan cinta dunia.

Ia menjadi medan untuk bertaubat, bermuhasabah serta membersihkan jiwa agar kembali kepada fitrah asal sebagai hamba yang tunduk dan berserah kepada Allah SWT.

Pakaian ihram yang menyerupai kain kafan mengingatkan kita akan hakikat kematian bahawa kehidupan ini hanyalah sementara.

Keseluruhan perjalanan haji mengajar kita bahawa hidup ini adalah satu perjalanan pulang kepada Allah SWT dan juga sebuah kembara yang menuntut kesabaran, keikhlasan dan persiapan diri yang berterusan.

Di Tanah Suci, tiada perbezaan bangsa, warna kulit atau status kerana kita semua adalah hamba Allah SWT yang sama.

Ibadah haji memperkukuh ukhuwah Islamiyyah dan menyedarkan kita bahawa umat Islam adalah satu keluarga besar yang bersatu.

Lafaz talbiyah Labbaikallahumma labbaik bermaksud ‘Aku penuhi panggilan-Mu, wahai Allah’ merupakan ikrar penghambaan dan tauhid yang murni tanpa sebarang unsur syirik atau penyembahan selain kepada Allah SWT semata-mata.

Ringkasnya, menunaikan kefarduan haji tidak semudah melaksanakan ibadah lain. Ibadah haji memerlukan persediaan yang rapi dari pelbagai sudut termasuk aspek fizikal, mental, rohani serta kemampuan kewangan kita.

Persediaan Menunaikan Haji

Sebagai Duyufurrahman yang terpilih untuk menunaikan kefardhuan haji, kita perlu membuat beberapa persediaan dan amalan penting agar ibadah kita diterima oleh Allah SWT dan mencapai taraf haji mabrur. Antara persediaan yang perlu dilakukan sebagai tetamu Allah SWT ialah:

Perbetulkan Niat Menunaikan Haji

Niat kita mestilah semata-mata kerana Allah SWT bukan untuk mengejar gelaran, riak atau pujian manusia.

Sentiasa lakukan muhasabah diri dengan bertanya, ‘Adakah saya benar-benar bersedia menjadi hamba yang taat?’. Jika niat itu ikhlas, Insya-Allah segala urusan akan dipermudahkan nanti di Tanah Suci.

Menuntut Ilmu Haji

Menjadi tanggungjawab setiap tetamu Allah SWT untuk menghadiri kursus haji yang dianjurkan oleh pihak Tabung Haji.

Selain itu, membaca buku panduan dan menonton video ceramah haji adalah usaha tambahan yang sangat berguna.

Sebaiknya, sebelum berangkat ke Tanah Suci, kita sudah memahami dengan jelas tentang rukun, wajib, sunat, serta pantang larang dalam ibadah haji. Kita juga perlu mengetahui perjalanan dan urutan ibadah secara praktikal agar dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna dan teratur.

Bertaubat dan Memohon Maaf

Taubat atas dosa-dosa yang lalu wajar disegerakan agar kita dapat menghadap Allah SWT sebagai tetamu-Nya dalam keadaan suci dan bersih.

Kemaafan juga hendaklah dipohon daripada ahli keluarga, jiran tetangga, rakan-rakan dan sesiapa sahaja yang mungkin pernah disakiti sama ada secara sengaja atau tidak.

Datanglah ke Tanah Suci dalam keadaan hati yang sudah dibersihkan dan telah dikosongkan daripada rasa dendam dan kebencian.

Melangsaikan Hutang dan Tanggungan

Segala hutang dan tanggungan perlu dilunaskan manakala setiap amanah yang tertangguh hendaklah diselesaikan sebelum berangkat.

Bagi mereka yang berkeluarga, penulisan wasiat juga wajar dipertimbangkan sekiranya perlu memandangkan ibadah haji merupakan satu perjalanan yang penuh dengan ujian dan pengorbanan.

Persiapkan Rohani dan Jasmani

Bagi mempersiapkan diri secara rohani dan jasmani, kita perlu membiasakan diri dengan solat berjemaah, berzikir, berdoa dengan adab serta membaca al-Quran secara istiqamah.

Dari aspek fizikal, stamina perlu dijaga melalui senaman ringan seperti berjalan kaki. Kesabaran dan kawalan emosi juga penting kerana di Tanah Suci kita akan bertemu pelbagai ragam umat Islam dari seluruh dunia.

Jaga Hati dan Adab

Sepanjang berada di Tanah Suci, kita perlu mengelakkan pertelingkahan dan percakapan yang sia-sia. Dalam usaha menjaga hati dan adab, sikap husnuzon (bersangka baik) terhadap jemaah, petugas dan segala ketentuan Allah SWT amat penting untuk dipelihara.

Perbanyakkan Doa dan Tawakal

Perbanyakkan doa dengan menyediakan senarai doa khusus untuk diri, keluarga dan ummah. Bertawakal sepenuhnya dengan keyakinan bahawa rahmat dan pertolongan Allah SWT akan mengiringi setiap langkah ibadah kita.

Tinggalkan Dunia Sementara

Menunaikan haji menuntut kita menyerahkan urusan dunia buat sementara waktu kepada Allah SWT dan orang yang dipercayai.

Fokus sepenuhnya perlu diberikan kepada ibadah serta usaha mendekatkan diri kepada-Nya. Akhir kata, kita sebagai tetamu Allah SWT dipanggil untuk menyucikan diri dan kembali kepada fitrah.

Oleh itu, tunaikanlah ibadah haji dengan penuh keikhlasan, berlandaskan ilmu, mengamalkan adab yang mulia serta dipenuhi dengan pengharapan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah SWT.

Apapun ujian dan cabaran yang dilalui, yang utama ialah menerima jemputan Ilahi ini dengan hati yang penuh kesyukuran dan tawaduk yang mendalam.

Semoga nikmat menunaikan kefarduan haji ini terus kekal dalam kehidupan kita, membawa keberkatan dan membimbing kita menjadi hamba yang sentiasa dekat dengan-Nya. Wallahu ‘alam Bissawab

Continue Reading

Previous: Kewajiban melunaskan hutang

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.