JIKA menurut kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ada tiga langkah dilakukannya sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubar Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan.
Pertama, membincangkan tarikh sesuai untuk PRU-15 bersama ‘Top Five’ dalam UMNO iaitu Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan dan tiga Naib Presiden termasuk Ismail Sabri sendiri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Ketika di New York Ahad lalu, Ismail Sabri memberitahu wartawan Malaysia, ‘Top Five’ dan biro politik UMNO itu akan bermesyuarat petang esok, disusuli pada sebelah malamnya mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu.
“Jadi kita tunggulah,” kata Perdana Menteri, sambil memberitahu bahawa beliau masih belum ada ilham bila mahu membubar Parlimen.
Langkah kedua ialah membincangkannya dalam mesyuarat Kabinet. Ini bermakna, Rabu minggu depan, disusuli pembentangan Bajet 2023 dua hari kemudian.
Antara UMNO dan Kabinet adalah pertembungan dua kumpulan. Apa yang dipersetujui pada mesyuarat ‘Top Five’, biro politik dan MT UMNO tidak semestinya dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet.
Inilah cabaran dihadapi Perdana Menteri, kerana kedudukannya bukan sebagai Presiden parti (UMNO) dan di dalam Kabinet pula, sebahagiannya didominasi oleh wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang kini sudah mula ‘berperang’ secara terbuka dengan Ismail Sabri.
Namun, sumber berkata mesyuarat Kabinet Rabu minggu lalu ada menyentuh mengenai PRU-15 sebelum Ismail Sabri berangkat ke New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-77.
Majoriti Menteri Kabinet tak setuju?
Menurut sumber itu, maklum balas diterima ialah 13 Menteri dari Perikatan Nasional (PN) iaitu sembilan dari BERSATU dan empat dari PAS tidak mahu PRU-15 diadakan dalam tahun ini. Daripada 11 Menteri mewakili UMNO, ada yang tidak ‘sehaluan’ dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, juga tidak memilih PRU-15 diadakan dalam tahun ini.
Maka, secara asasnya majoriti Menteri Kabinet tidak mahu pilihan raya itu diadakan tahun ini dengan alasan ‘demi rakyat’… sudah tentu berkisar kepada isu banjir.
Ini bermakna, ada halangan dan apa yang dipersetujui pada mesyuarat ‘top five’ dan MT UMNO esok, tidak semestinya dipersetujui Kabinet nanti.
Langkah ketiga ialah untuk Perdana Menteri membincangkan dengan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) terdiri daripada MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) selain UMN0.
Setelah semua itu dibincangkan, maka langkah seterusnya ialah Perdana Menteri pergi mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi mendapat perkenan untuk pembubaran Parlimen.
Pihak pembangkang terutama gabungan parti dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH), turut tidak bersetuju PRU-15 diadakan dalam tempoh terdekat, juga dengan alasan ‘demi rakyat’ kerana masalah banjir.
Dalam mana-mana negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, tidak ada kerajaan atau Perdana Menteri ‘mendengar’ nasihat parti-parti pembangkang bila masa sesuai untuk mengadakan pilihan raya apatah lagi untuk membincangkannya bersama. Itu adalah hak mutlak Perdana Menteri.
Malah, jarang seseorang Perdana Menteri bersikap ‘gentleman’ untuk ‘terikat’ berbincang terlebih dahulu dengan anggota parti dan Kabinet. Sebaliknya, Perdana Menteri akan hanya memberitahu parti dan Kabinet ‘saya mahu mengadakan pilihan raya pada tarikh ini… dan sebagainya’. Terima dan hadam, suka atau tidak suka, kerana itu hak mutlak Perdana Menteri.
Mungkin Ismail Sabri perlu mengubah pendekatan ‘gentleman’ kepada pendirian lebih tegas, seperti mana dilakukan Tun Dr Mahathir Mohamad sepanjang 22 tahun sebagai Perdana Menteri ke-4… iaitu boleh dengar segala saranan, cadangan dan nasihat tapi akhirnya ‘batang tubuh’ Perdana Menteri itu sendiri membuat pendirian paling tegas dan muktamad.
Ajak sama GPS berbincang
Apapun, jika Ismail Sabri mengambil beberapa langkah pertemuan dengan ‘top five’ dan MT UMNO, kemudian disusuli perbincangan dengan parti komponen BN selain Kabinet, mengapa tidak diajak sekali berbincang dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS)?
GPS pimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bukan parti pembangkang meskipun kini sudah di luar BN, malah ada wakil dalam Kabinet persekutuan atas dasar GPS selaku parti bersekutu Kerajaan Pusat.
Sebelum pilihan raya tak ajak berbincang, tapi selepas PRU-15 baru nak ajak berunding semata-mata kerana mahu cukupkan jumlah kerusi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan?
Jika Perdana Menteri menganggap GPS sebagai ‘friendly gesture’ kepada parti PN dan BN, tunjukkanlah ‘kemesraan’ itu dengan turut mengajak berbincang. Mungkin GPS ada idea tersendiri bila waktu sesuai untuk PRU-15 dan apa perlu dilakukan untuk terus mencapai kemenangan besar di negeri ini.
GPS adalah gabungan empat parti tempatan Sarawak iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Jangan jadikan GPS seperti ‘anak dara sunti’ yang jadi rebutan semua parti hanya selepas pilihan raya berakhir, bagi mencari serta mencukupkan jumlah untuk membentuk kerajaan.
Sokongan GPS amat penting dan boleh dikategorikan sebagai ‘king maker’. Ini terbukti berlaku apabila Muhyiddin akhirnya dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8 pada 2020 dengan sokongan 114 Ahli Parlimen setelah GPS membuat pendirian. Sokongan GPS jugalah akhirnya menjadikan Ismail Sabri, Perdana Menteri ke-9 pada 2021 apabila mendapat sokongan 116 Ahli Parlimen.
Politik Sarawak adalah ‘politik pembangunan’ dan ‘politik harmoni’.
Jika mahukan sokongan hebat dari Sarawak dan Sabah, Perdana Menteri ke-10 nanti perlu memberi komitmen untuk menyelesaikan semua tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebelum PRU-16. Komitmen itu bukan sahaja dalam bentuk ungkapan atau kenyataan retorik bagi menyedapkan hati tetapi buat memorandum persefahaman (MoU) dan jika gagal memenuhinya, tarik balik sokongan?
Rakyat Sarawak sudah lali dengan janji seperti mana lagu popular penyanyi Aishah iaitu ‘Janji Manis Mu’. Maka, hayatilah lagu ‘I Want Your Promise Fulfilled’ nyanyian Thompson Oranu.
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak