
BARAM: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala, telah mengadakan lawatan kerja ke Kampung Batu Bungan, hari ini bagi meninjau keadaan hakisan tebing sungai yang semakin membimbangkan.
Pada lawatan tersebut, beliau berharap cadangan pembinaan jeti baharu di Kampung Batu Bungan dapat dilaksanakan kerana ia amat penting bagi kemudahan penduduk setempat, khususnya dari segi perhubungan dan kelancaran aktiviti harian komuniti.
Selain itu, Gerawat turut memberi tumpuan terhadap keadaan parit dan longkang lama yang didapati sempit serta tidak lagi berfungsi dengan baik, sehingga sering menjadi punca kejadian banjir ketika hujan lebat.
Menurut Gerawat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, sekiranya sistem longkang dan parit berkenaan diperbesarkan serta dinaik taraf, ia diyakini mampu mengurangkan risiko banjir di samping meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan penduduk Kampung Batu Bungan.
Beliau turut memaklumkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bahawa projek naik taraf longkang serta pembinaan struktur gabion di tebing Sungai Batu Bungan perlu dilaksanakan dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Gerawat bersama rombongan turut mengadakan lawatan ke Gereja BEM Batu Bungan bagi menyerahkan cek bantuan dana daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) berjumlah RM60,000.
Tambah beliau, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan isu-isu infrastruktur asas rakyat, khususnya di kawasan luar bandar, diberi perhatian dan tindakan sewajarnya demi kesejahteraan bersama.
Oleh Jiku Juguong