

SPAOH: Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr. Richard Rapu hari ini turun padang mengadakan lawatan dan tinjauan tapak bagi menilai keadaan ban tanah yang pecah di Kampung Manggut, sekali gus meneliti tahap keselamatan penduduk setempat yang terdedah kepada risiko bencana.
Lawatan tersebut turut disertai pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Betong dengan tujuan mengenal pasti punca kejadian serta merangka langkah penyelesaian segera bagi mengelakkan risiko yang lebih besar, khususnya ketika musim hujan dan air pasang.
Menurut taklimat teknikal JPS, kegagalan struktur ban tanah berkenaan berpunca daripada beberapa faktor utama, antaranya hakisan tebing sungai yang semakin kritikal sehingga menghampiri struktur ban sedia ada.
Selain itu, zon penampan yang sempit iaitu kurang daripada lima meter antara ban dan tebing sungai turut dikenal pasti sebagai faktor penyumbang, sekali gus meningkatkan risiko kegagalan struktur terutama ketika paras air sungai meningkat.
Faktor lain yang turut dikenal pasti ialah resapan air atau seepage akibat sifat tanah ban yang berliang, ditambah dengan ketinggian ban yang rendah dan hampir sama dengan paras air pasang Sungai Batang Saribas.
Dr. Richard berkata, kerja-kerja baik pulih sementara kini sedang giat dilaksanakan bagi mengurangkan risiko segera kepada penduduk, khususnya dalam menghadapi cuaca tidak menentu ketika ini.
“Bagi penyelesaian jangka panjang, JPS mencadangkan pembinaan tembok cerucuk kepingan lengkap dengan sistem penambat sepanjang 50 meter, terutamanya di kawasan hulu dan sekitar kawasan tadika, selain menaikkan ketinggian ban tanah,” katanya.
Beliau menegaskan, penggunaan kaedah cerucuk kepingan dijangka mampu menahan hakisan tebing dengan lebih berkesan serta mengawal resapan air dari sungai, sekali gus memberikan perlindungan jangka panjang kepada Kampung Manggut.
Tinjauan tersebut memperlihatkan komitmen berterusan wakil rakyat bersama agensi kerajaan dalam mengurus risiko bencana secara proaktif, selaras dengan agenda pembangunan infrastruktur mampan demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat di kawasan Betong.
Oleh Adi Safarman