
BUENOS AIRES: Seorang daripada tiga hakim yang mengendalikan perbicaraan kes kematian membabitkan legenda bola sepak Argentina Diego Armando Maradona terpaksa menarik diri pada Selasa susulan keraguan terhadap tahap profesionalisme, lapor Xinhua.
Hakim Julieta Makintach, yang berkhidmat di Mahkamah Jenayah Ketiga San Isidro bersama dua lagi hakim, Maximiliano Savarino dan Veronica Di Tommaso, menarik diri daripada kes itu, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai bagaimana perbicaraan itu akan diteruskan.
Makintach sebelum ini bersetuju untuk ditemu bual bagi satu dokumentari berkenaan kes berkenaan, dan didakwa membenarkan rakaman dibuat di dalam mahkamah tanpa kebenaran rasmi dan tanpa memaklumkan kepada rakan-rakan sejawatnya.
Perbicaraan yang bermula pada 11 Mac lalu berlangsung 19 sesi dan mendengar keterangan daripada 44 saksi, termasuk tiga anak perempuan Maradona, bekas pemain dan jurulatih bola sepak yang meninggal dunia pada 25 November 2020 pada usia 60 tahun.
Pada Selasa, Makintach menafikan sebarang ‘penyelewengan’, ‘kesalahan jenayah’, atau ‘salah laku tugas’, dan mendakwa bahawa ia adalah ‘kempen media besar-besaran untuk memaksanya’ dan menghalangnya daripada terlibat dalam perbicaraan.
Perbicaraan itu berkemungkinan terbatal dan perlu dimulakan semula, namun keputusan terletak di tangan dua lagi hakim, Savarino dan Di Tommaso.
Kedua-dua hakim itu menegaskan mereka ‘tidak terlibat’ dengan penerbitan dokumentari itu.
Pihak plaintif dan pasukan guaman mereka, termasuk peguam Fernando Burlando yang mewakili anak-anak Maradona, Dalma dan Gianinna, memohon agar Makintach digugurkan daripada kes itu.
“Ini satu penghinaan di seluruh dunia,” kata Burlando, sambil menyatakan bahawa rakaman daripada treler dokumentari yang ditayangkan di mahkamah adalah ‘sangat mengejutkan’.
Ketika video itu ditayangkan, Gianinna dilaporkan menangis teresak-esak, begitu juga Veronica Ojeda, bekas pasangan Maradona dan ibu kepada anak bongsunya, Diego Fernando.
Perbicaraan membabitkan anggota pasukan perubatan yang merawat Maradona ketika kematiannya, termasuk pakar bedah saraf Leopoldo Luque (44), pakar psikiatri Agustina Cosachov (40), dan ahli psikologi Carlos Angel Diaz (33).
Maradona meninggal dunia akibat serangan jantung, 22 hari selepas menjalani pembedahan otak bagi merawat hematoma subdural.
Pendakwa raya Patricio Ferrari, Cosme Iribarren dan Laura Capra menuduh pasukan perubatan berkenaan cuai secara serius, menggambarkan mereka sebagai ‘lemah’, ‘cuai’, ‘tidak peduli’, dan ‘tidak melakukan apa-apa’ untuk menyelamatkan nyawa Maradona. Mereka berdepan hukuman penjara antara 8 hingga 25 tahun.– Bernama-Xinhua