
SIBU: Peranan Senator dan Ahli Parlimen dari Sarawak di peringkat persekutuan amat penting bagi memastikan hak serta kepentingan negeri ini terus dipertahankan, khususnya berkaitan isu tanah dan sumber asli.
Ahli Dewan Negara, Senator Robert Lau berkata, kehadiran wakil Sarawak yang bersuara di Dewan Rakyat dan Dewan Negara amat diperlukan ketika ini, terutama susulan tindakan Petronas yang membawa beberapa perkara ke mahkamah yang disifatkan mencabar undang-undang Sarawak.
Menurutnya, isu tersebut turut dibangkitkan dalam pertemuan antara Senator dan Ahli Parlimen Sarawak bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, baru-baru ini.
“Premier Sarawak menekankan kepentingan suara wakil Sarawak di peringkat persekutuan bagi mempertahankan hak negeri seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Jika kita tidak bersuara, hak Sarawak akan terus terhakis seperti yang berlaku sepanjang 50 tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada 106 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan yang berlangsung di Ibu Pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Sibu, Kampung Datu, hari ini.

Robert menegaskan, tanggungjawab mempertahankan kepentingan Sarawak bukan hanya terletak di peringkat negeri, malah perlu diperjuangkan di Parlimen sebagai isu persekutuan.
“Wakil rakyat negeri memperjuangkan hak di Sarawak, manakala kami di peringkat persekutuan membawa suara itu ke Parlimen. Sebab itu peranan wakil Sarawak amat penting, bukan sahaja hari ini tetapi untuk masa depan,” jelasnya.
Menyentuh mengenai agihan dana MRP, beliau berkata ia melambangkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan hasil negeri dimanfaatkan sepenuhnya untuk kesejahteraan rakyat.
Katanya, hasil negeri termasuk cukai jualan negeri kini mencecah berbilion ringgit setahun dan digunakan khususnya bagi pembangunan pendidikan, termasuk pembinaan sekolah, pendidikan asas serta peluang melanjutkan pengajian ke universiti milik Sarawak dengan pelbagai kemudahan pendidikan percuma.
Beliau yang juga Penasihat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan menambah, dana tersebut disalurkan oleh kerajaan Sarawak kepada Senator daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerusi peruntukan khas Premier Sarawak.
Sementara itu, Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau merakamkan penghargaan atas kelulusan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM5 juta bagi 2023 dan 2024 untuk pembangunan kawasan Bawang Assan.
Menurutnya, peruntukan tersebut diperoleh hasil sokongan kepimpinan parti dan kerajaan negeri, termasuk Premier Sarawak, Timbalan Premier Sarawak serta barisan kepimpinan negeri.
“Peruntukan ini merangkumi pembangunan untuk seluruh kawasan Bawang Assan, termasuk komuniti Cina dan Iban, dan membuktikan komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan seimbang,” katanya.
Kevin berharap dana yang disalurkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi menganjurkan aktiviti kemasyarakatan, memperkukuh perpaduan serta membantu golongan yang memerlukan.
Oleh Tarani Lanting