Hak Sarawak amanah untuk generasi akan datang — Dato’ Lo Khere Chiang

Facebook
WhatsApp
DATO' Lo Khere Chiang bergambar kenangan bersama Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Senator Dato' Ahmad Ibrahim pada acara PUBG Mobile dan OOhaa Sarawak 2 di Hab Inovasi Batu Kawa.

KUCHING: Golongan muda Sarawak perlu memahami dan mempertahankan hak negeri seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sebagai persediaan meneruskan perjuangan kepimpinan terdahulu untuk generasi akan datang.

Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato’ Lo Khere Chiang, berkata anak muda hari ini bakal menjadi pemimpin masa depan yang bertanggungjawab meneruskan usaha mempertahankan kepentingan serta hak Sarawak.

Katanya, MA63 bukan perkara yang harus dilupakan, sebaliknya perlu difahami oleh setiap anak Sarawak supaya mereka mengetahui kedudukan serta hak negeri dalam Persekutuan Malaysia.

DATO’ Lo Khere Chiang ketika menyampaikan ucapan pada acara PUBG Mobile dan OOhaa Sarawak 2 di Hab Inovasi Batu Kawa, sempena program pembangunan bakat dan komuniti e-sukan Sarawak.

“Jangan lupa MA63. Jangan lupa bahawa kita adalah rakyat Sarawak. Kita berbeza. Kita mempunyai MA63.

“Kita mesti tahu MA63 dan kita mesti mempertahankan hak kita serta sumber kita di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada acara PUBG Mobile dan OOhaa Sarawak 2 di Hab Inovasi Batu Kawa di sini, hari ini.

Menurut Lo, perjuangan mempertahankan hak Sarawak telah diteruskan oleh pemimpin negeri sejak dahulu termasuk Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dan sekarang Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

DATO’ Lo Khere Chiang ketika menyantuni para peserta pada acara PUBG Mobile dan OOhaa Sarawak 2 di Hab Inovasi Batu Kawa, yang dianjurkan bersama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Saberkas Batu Kitang.

Katanya, kesinambungan perjuangan itu perlu diteruskan oleh generasi muda yang bakal mengambil alih kepimpinan negeri pada masa hadapan.

“Kamu semua akan menjadi pemimpin pada masa akan datang, pemimpin yang akan meneruskan kerja pemimpin kita hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Lo berkata pembangunan dan kemajuan Sarawak yang dinikmati generasi muda hari ini turut berkait rapat dengan kepimpinan negeri yang baik serta berwibawa.

Katanya, peluang pendidikan percuma yang dinikmati anak muda Sarawak menjadi antara asas penting dalam membangunkan generasi berilmu dan berkemahiran, termasuk dalam bidang baharu seperti e-sukan.

“Kalau tiada pendidikan, bagaimana kita hendak pandai dalam e-sukan? Pendidikan sangat penting kepada kita.

“Kalau tiada pendidikan, bagaimana kita hendak menjayakan Sarawak dan bersaing dengan anak muda lain di Malaysia, malah di seluruh dunia?” katanya.

Lo berkata, pembangunan di Batu Kawah dan kawasan sekitarnya juga menunjukkan perubahan ketara hasil kepimpinan negeri, berbanding keadaan sebelum ini.

Beliau berkata, golongan muda perlu memanfaatkan peluang yang tersedia untuk membina kemahiran, keyakinan dan pengalaman sebelum tampil sebagai pemimpin masa depan.

Sementara itu, Lo berkata program e-sukan seperti PUBG Mobile bukan sekadar menyediakan ruang untuk bermain dan bertanding, malah mampu membentuk kemahiran kerja berpasukan, komunikasi, strategi, disiplin dan semangat kesukanan.

Beliau turut berharap program seumpama itu diteruskan sebagai platform mengenal pasti serta membangunkan lebih ramai bakat muda Sarawak dalam bidang e-sukan dan bidang lain.

Oleh Afiq Sallehi