
Sharifah Hasidah menyampaikan bantuan pakaian seragam Sekolah Yayasan Sarawak kepada pelajar Yayasan Kemajuan Insan Sarawak (YAKIN) di Wisma Adenan, hari ini.
PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak menegaskan bahawa hak Sabah dan Sarawak untuk memiliki 35 peratus kuota kerusi Parlimen merupakan hak yang telah termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri dan Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, hak itu tidak boleh dikompromi meskipun rundingan serta libat urus sedang dilaksanakan.
“Usaha rundingan yang diadakan pada masa ini merupakan sebahagian daripada proses memperjuangkan hak tersebut secara berterusan.
“Dalam setiap perkara yang dilaksanakan, kita sentiasa berusaha untuk mengadakan perbincangan dan libat urus. Itu adalah pendekatan kita. Hak tersebut sememangnya milik kita, dan kita akan terus mempertahankannya.
“Namun, ini tidak bermakna kita tidak boleh mengadakan perbincangan dengan pihak yang berkaitan. Libat urus adalah penting dan merupakan sebahagian daripada proses.
“Ia mungkin mengambil masa, namun saya ingin menegaskan bahawa tiada sebarang kompromi terhadap hak kita berkaitan kuota 35 peratus ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis agihan bantuan pakaian seragam Sekolah Yayasan Sarawak kepada pelajar Yayasan Kemajuan Insan Sarawak (YAKIN) di Wisma Adenan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Sharifah Hasidah menegaskan bahawa Sarawak berhasrat agar pelaksanaan kuota tersebut dapat direalisasikan dalam masa terdekat, namun komitmen untuk terus memperjuangkannya tetap diteruskan sekiranya proses itu memerlukan tempoh yang lebih panjang.
“Kita akan terus mengadakan libat urus dan perbincangan.
“Perjuangan menuntut hak tidak bermaksud kita menolak perbincangan. Apa yang kita inginkan adalah satu penyelesaian yang dapat diterima, terbaik untuk semua pihak, terbaik untuk Malaysia, dan terbaik untuk Sarawak.
“Namun, ini sama sekali tidak bererti bahawa kita akan berkompromi. Kita tidak pernah berkompromi dalam soal ini. Hak tersebut sememangnya milik kita, dan perjuangan ini akan diteruskan.
“Sekiranya boleh, kita mahu ia dilaksanakan secepat mungkin. Jika tidak, perjuangan tetap diteruskan,” katanya.
Oleh Amanda L.