
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dijangka mengadakan sidang media mengenai pelantikan anggota Kabinet baharu Negeri Sabah pada 3.30 petang ini.
Jemputan daripada Pejabat Media dan Komunikasi, Jabatan Ketua Menteri memaklumkan bahawa sidang media itu akan diadakan di Kediaman Rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya, berhampiran Istana Seri Kinabalu, kediaman rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman.
Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan mengenai senarai anggota Menteri Kabinet Sabah, namun majlis angkat sumpah akan berlangsung petang ini.
Awal pagi Ahad, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah bagi penggal kedua di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman dalam istiadat di Istana Seri Kinabalu.
Mengikut keputusan rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, GRS mendahului pesaing dengan memperoleh 29 kerusi manakala pencabar terdekatnya iaitu Parti Warisan (Warisan) memperoleh 25 kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN) (6), UPKO (3) dan STAR (2).
-Bernama