Oleh: Stefanie Kaso
KATA orang, jika membeli kek dari kedai lama itu dan mengukir hajat yang diinginkan, ia pasti dipenuhi. Tidak hairanlah, sejak pagi para pelanggan beratur panjang di luar kedai kek lama itu. Reputasi kedai kek lama itu tidak dapat dikalahkan, terutamanya pada penghujung tahun. Lebih tepat, ketika semua orang sibuk menyambut tahun baharu.
Aku tidak tahu nama kedai kek lama itu. Papan tandanya kelihatan rapuh, berdebu, hampir kosong. Hanya sedikit tulisan yang kian pudar kelihatan. Itupun sukar dibaca. Tetapi yang aku tahu, kedai ini telah wujud berpuluh tahun yang lalu. Kata ayah, aku lahir kerana kedai lama itu.
Seperti orang lain, ayah pernah berhajat dan berbaris sejak pagi hingga malam semata-mata mahu membeli sebuah kek perasa vanila, yang diukir dengan aising berwarna merah di atasnya. Keinginan memiliki seorang anak setelah 12 tahun berusaha meninggalkan jalan terakhir, iaitu berharap pada sebuah kedai lama yang hanya buka pada hujung tahun itu. Aku yakin, hajat ayah telah dipenuhi. Buktinya aku di sini. Setelah ayah, kini aku yang bersusah-payah beratur di luar kedai lama ini.
Hampir tengah malam, aku terasa begitu lelah lalu duduk bersandar di tepi pintu kedai. Pelanggan sebelum aku sudah pun keluar dari kedai sambil menjinjing kotak kek bersama anaknya yang berumur tidak kurang daripada enam tahun. Hajat apakah yang tertulis atas kek mereka? Si anak yang menggenggam tangan ayahnya itu terlompat-lompat kecil sambil menyanyikan lagu yang lucu. Sangat bahagia kedua-duanya.
Aku terhibur dengan gelagat anak-beranak itu sehingga hampir terlupa tujuan aku ke tempat itu. Bunyi loceng pada pintu kedai mengembalikan tumpuan aku. Tergesa-gesa aku menghampiri pintu kedai dan mengetuk-ngetuk pintu cermin yang berwarna gelap. Kemudian, lampu kedai dipasang. Muncul seorang wanita tua, mengenakan apron. Rambut putih seluruhnya. Meski wajahnya berkerepot, aku menduga pasti wanita itu sangat cantik semasa usia mudanya. Dia membuka pintu dan memohon maaf. Dia ingatkan anak-beranak itu tadi pelanggan yang terakhir. Aku menjawab, tidak mengapa.
“Kebetulan… ada sebuah kek yang tinggal. Aku baru sahaja mahu membuangnya,” kata wanita itu.
“Benarkah? Nasib baik aku sempat.”
“Jadi, katakan kepada aku apa yang kamu mahu aku tulis atas kek ini orang muda?”
“Apa sahaja?”
“Kamu bergurau ya? Inikan kek kamu. Apa yang kamu mahu aku tulis? Ucapan selamat tahun baharu?”
“Eh. Tidak, tidak. Bukan itu… Aku mahu mak cik tulis, lulus temu duga pekerjaan. Ya, ya. Itu yang aku mahu.”
Wanita tua itu tersenyum dan mengangguk. Dia segera pergi ke dapur dan membawa kembali paip aising yang telah diisi dengan aising krim mentega yang berwarna merah. Bagiku, ia amat sesuai untuk kek vanila yang berwarna putih itu. Pasti tulisannya kelihatan membara. Sudah tentu, semangat aku juga begitu selepas ini.
Sementara menunggu wanita tua itu membungkus kek di dalam kotak, aku bertanya kepadanya. Soalan yang sudah lama ingin aku tanya ketika berjalan melepasi kedai itu setiap kali tahun baharu. Aku bertanya, benarkah hajat yang tertulis pada kek itu akan tertunai? Wanita itu berhenti dan menoleh kepadaku. Bergantung sebanyak mana kau inginkan ia tertunai, katanya. Kemudian dia kembali membungkus kek aku.
“Pelanggan sebelum aku tadi, si ayah dan anak. Apa yang mereka hajatkan?” soalku.
Wanita tua itu tidak menjawab. Jari-jemarinya sibuk mengikat kotak kek aku dengan riben merah.
“Apa yang mereka hajatkan?” ulangku.
Wanita tua itu tidak menjawab, sebaliknya menyerahkan kotak kek itu kepadaku dan menyatakan harganya. Aku membayar. Ketika dia mengembalikan baki wang, dia berkata, “Mereka berhajat ibu anak itu kembali.”
“Lalu dia akan kembali?”
“Bukankah sudah aku katakan… bergantung sebanyak mana kamu mahu ia tertunai.”
Pulang dari kedai kek itu, jam melewati tengah malam. Aku sempat memeriksa bilik ayah dan ibu. Kedua-duanya pasti masih berada di rumah emak saudaraku. Hari ini, semua keluarga berkumpul untuk meraikan tahun baharu. Semalam ayah mengajak turut serta tetapi aku menolak. Aku memberi alasan mahu membuat persediaan sebelum hari temu duga pekerjaan yang ke… entah. Aku sudah hilang hitungan.
Lagipun, berada di rumah emak saudara pasti membuatku canggung dengan segala macam soalan tentang pekerjaan, tentang berumah tangga, tentang hala tuju hidupku yang menyedihkan. Aku tidak kisah jika dia menyoal tentang semua itu ketika aku bersendirian. Tetapi tidak. Dia menyoalku bertubi-tubi di khalayak, di hadapan saudara-mara, di hadapan sepupu sepapat yang lebih muda daripadaku, yang kebanyakannya sudah mempunyai pekerjaan tetap dan berkeluarga. Nah, terima kasih. Aku tidak mahu menghadapi mereka. Aku bukan anak kecil. Umurku sudah menginjak 27 tahun.
Setelah siap mandi dan memakai baju tidur yang sering aku pakai selang dua hari, aku duduk di meja makan. Agak lama kotak kek itu aku tenung. Silap hari bulan, riben yang mengikat kotak itu mungkin boleh terbuka dengan sendiri. Jam berdenting dua kali, memutuskan tenungan berbaur gelisahku. Perlahan-lahan, riben pada kotak kek aku buka.
Ketika membuka lilitan riben itu, aku rasakan belitan masalah yang mengongkong hidupku, yang jelas memerlukan lebih daripada sekadar mandi dengan tujuh jenis bunga – sedang terurai. Aku mengharapkan keajaiban dalam hidupku yang menyedihkan. Selalu malang dalam membuat pilihan, tidak pernah menonjol, wujud yang terasa sia-sia di muka bumi yang penuh dengan persaingan.
Sejauh mana aku mahu hajatku tertunai? Soalku sendiri. Aku mahu ia tertunai dengan kadar segera. Segera! Lalu aku buka kotak kek dengan pantas. Aku ramas kek itu sebentar lalu aku masukkan ke dalam mulut, seperti orang kebuluran. Aku jamah kek itu.
Aku jamah kek itu tanpa mengunyah atau menikmati kelembutan aising vanila pada permukaannya. Tulisan pada kek sudah hancur. Jari-jemariku penuh dengan kek yang empuk dan lembut. Bayangan wajah emak saudara aku kunyah-kunyah sehingga terdengar derakan-derakan berupa tulang patah, soalan-soalan keras yang mengongkong fikiran aku menjadi selembut kek, mudah aku telan begitu sahaja. Aku makan kek itu sehingga licin. Akhirnya aku bersandar pada kerusi, terasa mengantuk. Lalu aku masuk tidur.
Sepanjang hari cuti umum aku tidur dalam bilik. Ayah sempat mengetuk pintu bilik dan mengajak aku bersiar-siar. Tetapi aku menolak dan mengatakan aku letih. Keesokan hari aku bangun. Aku berasa segar, bertenaga, bersemangat untuk menghadapi apa jua yang menghalang aku daripada menempuh hari temu duga pekerjaan yang ditunggu-tunggu.
Pagi itu aku mengenakan kemeja biru terbaikku. Aku pasangkan dengan seluar panjang dan tali leher berwarna hitam. Kerana terlalu bersemangat, aku tidak ingin duduk lama-lama menikmati sarapan bersama ayah dan ibu.
Ayah dan ibu bertanya mengenai persiapan aku kali ini. Aku katakan, aku telah bersedia dan cukup yakin akan mendapatkan jawatan sebagai penolong pengurus di syarikat tempatku ditemu duga. Aku juga meyakinkan ayah dan ibu, bahawa hujung tahun nanti kami bertiga akan bercuti bersama dan aku yang akan menanggung segala perbelanjaan. Keluar dari rumah pagi itu, aku membawa keajaiban yang aku dapatkan melalui kek yang aku jamah malam tahun baharu. Semoga keajaiban bersama aku, kataku lalu melangkah dengan yakin.
Sebelum memasuki bangunan syarikat kilang getah itu, aku sempat mendongak dan tersenyum melihat bangunan yang tinggi. Aku membayangkan, bangunan itulah yang akan aku hadap setiap hari bermula esok, atau lusa, atau minggu depan, atau bila-bila masa mereka menginginkan aku mula berkhidmat sebagai orang penting di syarikat mereka.
Jelas, bukan aku sahaja yang mencuba nasib untuk bekerja di syarikat besar itu. Aku kira, lebih daripada 20 orang calon telah menunggu di luar termasuk aku. Ketika aku duduk sebelah-menyebelah di tepi seorang pemuda, aku merasakan seluruh kerusi yang aku duduki bergemetaran. Kaki pemuda itu tidak berhenti bergerak-gerak. Aku menoleh padanya, tersenyum cuba memberi isyarat bahawa aku faham dia sedang gelisah. Bahawa, jika lebih lama dia menggerak-gerakkan kakinya, kerusi itu mungkin akan roboh.
Aku menarik nafas dalam-dalam. Keajaiban bersamaku, kataku berbisik. Seorang perempuan muda memanggil namaku. Aku bingkas bangun dan melangkah perlahan. Aku cuba menguntum senyum kepada perempuan muda itu, tetapi aku rasa otot bibirku enggan bekerjasama. Alih-alih, aku cuma terangguk-angguk sebagai tanda ucapan terima kasih kerana membukakan pintu untuk aku.
Tiga orang pegawai mempersilakan aku duduk di sebuah kerusi yang menghadap mereka. Pasti tiga orang pegawai itu menjawat jawatan paling tinggi di syarikat ini. Aku duduk, mengucap selamat pagi, tetapi aku tidak mampu tersenyum.
Mereka mula bertanya mengenai latar belakang aku. Daripada tempat tinggal, tempat aku mendapatkan pendidikan dan sudah tentu pengalaman bekerja. Aku mengatakan aku tidak pernah bekerja sebelum ini. Inikan pula mempunyai pengalaman. Tetapi dengan gementar, aku mengatakan kepada mereka aku sanggup belajar dan bermula daripada bawah untuk mengutip pengalaman.
Ketika aku menyatakan kesanggupan, aku boleh mendengar detak jantungku sendiri. Pada mulanya ia cuma sayup-sayup kedengaran. Lama-lama, bunyi detak jantungku semakin kuat, sehingga mengatasi suara pegawai-pegawai itu yang sedang melontarkan soalan kepada aku. Aku tidak dapat mendengar suara mereka. Seperti televisyen yang tidak menerima cukup isyarat siaran, wajah ketiga-tiga pegawai itu berputar-putar. Sekejap mata mereka bertiga di atas, sekejap di bawah. Sekejap telinga mereka bertiga kelihatan, sekejap telinga mereka hilang.
Bunyi detakan jantungku pula perlahan-lahan seperti bunyi orang ketawa berdekah-dekah. Tawa yang menyerupai tawa emak saudaraku. Soalan-soalan yang sering dia ajukan selama ini terngiang-ngiang, seolah-olah bertenggek di cuping telingaku. Aku berpeluh sehingga basah kemejaku.
Ketika aku meramas-ramas muka – mata, hidung dan mulutku terasa mencair dan kulitku mengendur sehingga berjatuhan atas lantai. Aku yang tadinya duduk atas kerusi, melutut dan runtuh. Perasaanku mengalir di atas lantai konkrit yang sejuk dan keras. Tulang-temulang ingkar menyokong kulit badanku dan aku rebah sepenuhnya di atas lantai, layaknya seorang pencundang. Harga diriku menjadi lebih rendah berbanding hampas teh yang telah digunakan. Tidak berguna. Di mana keajaiban yang menemaniku pagi tadi?
Setelah bangun daripada pengsan hampir setengah jam, aku mendapati diriku dibaringkan di kerusi panjang tempatku duduk sebentar tadi. Ruangan tempat calon menunggu sudah kosong. Aku faham, aku telah gagal dalam temu duga yang ke… entah, aku masih tidak ingat yang ke berapa. Perempuan muda yang tadi memberikan segelas air kepadaku dan meminta maaf. Dia ingin menutup pejabat, jadi dia ingin aku segera beredar dari tempat itu.
Aku berjalan pulang. Terasa berat kakiku melangkah. Ketika berjalan pulang aku melepasi kedai kek lama itu. Mengingat kejadian sebentar tadi, aku berasa sangat marah lalu aku menjerit pada kedai yang jelas tidak mampu membalas jeritanku. Aku ambil seketul batu lalu aku lemparkan pada kedai itu, seraya menjerit, “Kedai penipu! Kedai penipu!” Kemudian, aku berlari pulang.
Tipulah kalau aku mengatakan air mata lelakiku tidak menitis. Sebelum sampai di rumah, aku juga terserempak dengan lelaki dan anaknya yang berhajat mahu mengembalikan ibu anak itu. Kali ini, mereka tidak berdua, tetapi bertiga. Ada seorang perempuan menemani mereka berdua dan perempuan itu memegang tangan anak kecil itu. Dan perempuan itu aku kenal. Dia sepupuku. Masih bujang, belum pernah berkahwin. Jadi, kedai kek itu juga menipu si lelaki dan anaknya. Tetapi mereka berdua nampak gembira. Tidak seperti aku.
Sampai di rumah, ayah menyambutku. Sebelum dia sempat bertanya, aku katakan aku gagal dalam temu duga hari ini. Ayah berkata tidak apa, boleh dicuba lain kali. Ayah melirik pada kotak kek yang aku letakkan di sudut dapur.
“Kamu membeli kek dari kedai lama itu ya?” soal ayah.
Aku cuma mengangguk perlahan. Malas mahu melayan. Apa sahaja yang berkaitan dengan kedai kek lama itu membuatkan aku jengkel.
Ayah menyambung, “Kamu tahu kerana kedai kek itu perkahwinan ayah dan ibumu selamat.”
“Apa maksud ayah?”
“Ingat ayah beritahu dahulu, kerana kedai kek lama itu hajat ayah dipenuhi untuk memiliki kamu?”
Aku mengangguk.
“Nah… gara-gara kek vanila yang sangat sedap itu, marah ibumu mengendur. Aku dan ibumu selalu bertengkar sebelum memiliki kamu. Suatu hari ketika ibumu marah besar, ayah belikan kek vanila dari kedai itu dan ibumu tidak marah lagi. Tahun-tahun berikutnya kami bercinta lagi dan wujudlah kamu. Setiap kali ibumu marah, ayah belikan kek vanila itu meski terpaksa menunggu berbulan-bulan untuk kedai itu buka.”
“Jadi… bukan serta-merta hajat ayah segera tertunai?”
“Eh! Tidak ada benda yang segera di dunia ini anakku. Kamu harus berusaha untuk menunaikannya.”
Aku menarik nafas. Entah lega, entah kecewa. Tetapi sebelum beredar, ayah memberikanku sebuah akhbar yang telah dibulat-bulatnya semua tawaran pekerjaan.