

Oleh: Siti Hajar Binti Ahmad
TERDAPAT satu ruang bilik dalam rumah agam ini menjadi tempat kesukaan Tuan Ali. Ruang bilik khas yang dijadikan tempat untuk membuat acara parti privacy Tuan Ali bersama dengan teman-teman rapatnya. Ruang bilik ini cukup besar dan dekorasinya digubah mengikut ala-ala tempat bar disko eksklusif dengan susun atur yang elegan dan perabot mewah. Sebuah sofa kulit Chesterfield yang luas dan selesa, dikelilingi oleh meja kopi kaca dari koleksi Noguchi. Sudut tepinya ada bar mini dari kayu maogany dengan kerusi bar tinggi Eamas. Lampu-lampu neon yang berwarna warni menghiasi dinding dengan sistem audio Bang and Olufsen.
Hari ini, Tuan Ali membawa lima orang rakan perniagaannya sambil ditemani wanita-wanita cantik. Langkah mereka saya soroti dengan ekor mata. Mereka menyanyi sambil meneguk air khayal tanpa berganti. Ketawa gembira seperti tiada apa yang perlu dikhuatirkan pada dunia ini. Seolah, inilah kehidupan yang abadi. Tiada kematian dan kesusahan akan menghampiri. Acapkali saya menjeruk rasa apabila berhadapan dengan sikap jalang Tuan Ali.
“Ahmad! Ayuh, sekali bersama kami,” Laung Tuan Ethan.
Saya hanya tersenyum manis sambil mengeleng. Cuba menolak pelawaan Tuan Ethan dengan baik.
“Jangan diajak si ustaz tu, Ethan. Dia sudi masuk dalam bilik ini pun sudah cukup baik.” kata Tuan Ali lalu ketawa besar. Gelak ketawa Tuan Ali disahut beramai-ramai oleh temannya yang lain.
Saya hanya mampu tersenyum lebar. Duduk di hadapan pintu bilik sambil memerhati gelagat manusia-manusia yang sedang dihiasi dengan takhta dan kuasa itu. Dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, seolah mereka diselaputi oleh emas dan permata sahaja.
Tidak tahan mencium aroma manis tajam yang mencucuk hidung, saya keluar dari bilik menuju ke balkoni dari tingkat 3. Rumah agam yang besar seumpama istana ini terkadang merimaskan. Namun, apabila saya membuang pandangan saya dari balkoni dan dijamu dengan permandangan yang indah kotaraya metropolitan membuatkan hati saya kembali damai.
Di dada langit bulan penuh kelihatan besar. Sedikit sahaja bintang hadir menemani cahayanya yang terang. Saya menarik nafas sendat lalu melepaskannya, payah. Sesuatu yang sentiasa bersarang dalam hati dan fikiran saya mula menghantui kembali.
“Kalau kau hendak berhenti, kau pergilah. Aku tidak pernah memaksamu untuk kekal di sini. Namun, aku juga tidak akan mengusirmu keluar,” kata Tuan Ali pada suatu masa dahulu.
Ketika itu, saya baru sahaja melawan perintah Tuan Ali daripada mengusir sebuah keluarga yang culas membayar hutang rumah. Bukan apa, saya cuma kasihan. Saya tidak mampu melihat air mata seorang balu yang mempunyai empat orang anak yang masih kecil itu merayu kepada saya agar jangan mengusir mereka dari rumah tersebut.
“Sepatutnya, kau sudah belajar dan faham bagaimana hendak menjadi pembantuku yang tegas dan kuat,” Tuan Ali melepaskan dengusan kecil seraya memandang saya – berkaca dengan nyala yang sukar untuk saya terjemahkan.
Pandangan saya melutut merenung karpet sutera Persia yang lembut di bilik Tuan Ali. “Maafkan saya, Tuan. Saya hanya meminta supaya Tuan memberikan tempoh selama tiga bulan ini sahaja. Andai dia culas lagi, tanpa arahan Tuan pun, saya sendiri yang akan mengusir mereka,” nada suara saya sedikit bergetar.
Tuan Ali hilang bicara. Hanya isyarat tangan menghalau saya agar keluar dari bilik itu. Betapa terkadang, saya tertekan menjadi seorang pembantu kepada seorang lelaki hartawan ini. Ingin sekali saya melangkah untuk meninggalkan dia, namun seringkali saya gagal untuk berbuat sedemikian. Saya tidak sampai hati untuk meninggalkan dia.
Ya. Saya seorang pembantu peribadi kepada Tuan Ali. Asalnya, saya ini anak pembantu kepada arwah ibubapa Tuan Ali. Saya juga membesar dengan Tuan Ali; sebagai seorang anak orang gaji. Apabila malapetaka menimpa kedua orang tua kami, Tuan Ali sahaja keluarga saya yang masih tinggal. Dan hanya saya, keluarga yang Tuan Ali ada meski hubungan kami adalah sebagai majikan dan pekerja sahaja. Semakin meningkat dewasa, Tuan Ali semakin hanyut dalam kehidupannya sebagai pemimpin utama sebuah syarikat hartanah milik keluarganya. Tuan Ali menjadi seorang yang panas baran, kaki botol, kaki perempuan dan sombong pada kedudukannya. Dia sangat benci melihat gelandangan yang datang meminta sedekah. Katanya, mereka semua adalah pemalas. Hidup hanya tahu meminta sedangkan masih ada kudrat untuk mencari pekerjaan. Namun, saya selalu meminta Tuan Ali untuk bersabar dan berbaik sangka. Kerana itulah, kadangkala kami bertengkar seperti anjing dengan kucing. Kesudahnnya, kami tetap berbaik semula.
Pagi itu, Tuan Ali menyerahkan satu fail nipis. Dia memerintahkan saya untuk mengutip hutang secara langsung daripada penghuni di suatu tempat yang berada di luar kota ini.
“Aku serahkan tugas ini kepada kau. Aku tidak serahkan tugas ini kepada team pejabat kita kerana aku ada tugasan khusus untuk kau. Aku nak lihat, sejauh mana kau jujur dan setia kepada aku.”
Berdebar juga jantung saya dibuatnya. Tidak pernah sekali dalam seumur hidup saya selama bekerja dengan Tuan Ali, dia mengarahkan tugasan sebegini kepada saya.
“Selepas kau berjaya mengutip hutang di sana, kau pergilah mengelilingi kota itu dan tolong cari dan belikan aku sesuatu yang belum aku miliki dalam kehidupan ini dengan hasil kutipan hutang itu,” Tuan Ali ketawa kecil melihat wajah saya yang serius dan terkejut.
“Memang perlukah saya membelinya, Tuan?” saya bertanya inginkan kepastian.
Sekali lagi, Tuan Ali ketawa. “Betul. Kau wajib membeli dan membawanya pulang. Kalau tidak, aku akan meragukan kejujuran kau selama ini,” gertak Tuan Ali dengan pandangan mata yang bersinar.
Saya mengangguk perlahan sambil menggenggam erat fail nipis itu. Saya, seakan mampu mencium helah Tuan Ali. Dia fikir, saya baru mengenalinya subuh tadi. Ah, sudah hampir 30 tahun saya mengenalnya. Mana mungkin saya terperangkap dengan helahnya yang licik.
Sebelum saya melangkah keluar dari bilik Tuan Ali, terdengar laungan nakal Tuan Ali, “Kau harus membeli dan membawa sesuatu yang belum pernah aku miliki pulang ya, Ahmad!”
Seusai menjamah sedikit makanan pagi, saya memandu seorang diri menuju keluar Kota. Memakan masa hampir tiga jam perjalanan, akhirnya saya tiba di sebuah Taman perumahan yang mewah dan tersergam indah. Ada 50 unit semuanya. Saya mengetuk pintu satu persatu rumah tersebut menemui para pemiutang. Bermacam alasan yang dikemukakan. Namun, saya mengerti. Dalam kegawatan ekonomi sekarang, dengan urusan bank yang tidak stabil kebanyakan pemiutang membayar secara tunai kepada saya. Beg galas hitam yang saya bawa hampir dipenuhi dengan wang. Mujurlah, urusan saya pada hari itu telah dipermudahkan walaupun penghuni perumahan itu berkeluh kesah dan mengadu kepada saya agar diturunkan lagi bayaran bulanan rumah.
“Saya akan bawa aduan encik dan puan kepada Tuan Ali. Jangan risau,” hanya ayat itu yang mampu saya ucapkan untuk meredakan keresahan mereka.
Tidak kurang juga, saya terkena maki hamun kerana dianggap tidak berperi kemanusaian. Saya hanya mampu tersenyum sinis. Begitulah ulah si pemiutang. Semasa meminta bantuan kewangan, bulan bintang jadi cagaran. Sesudah diminta untuk membayarnya, seolah saya pula yang jahat kerana tidak memahami situasi mereka. Sedangkan, terlihat elok sahaja mereka dengan makan minum dan pakaian yang mencukupi.
Setelah usai tugasan, saya bersiar-siar di pekan kecil tidak jauh daripada kota tersebut. Melihat dan mencari, apakah yang saya patut bawa pulang untuk Tuan Ali. Dalam ralit melihat beraneka cenderahati yang menarik di pekan tersebut, seorang kanak-kanak perempuan menarik kaki baju saya. Rambutnya kusut masai dengan wajah yang comot. Ada sedikit sisa air mata ditubir matanya.
“Encik yang budiman, saya kelaparan. Sudah dua hari saya tidak makan. Tolong berikan saya sedikit makanan,” katanya dengan pandangan mata yang redup.
Saya terdiam. Dalam dunia yang mengalami kegawatan ekonomi yang membimbangkan ini, saya tidak hairan apabila disapa oleh peminta sedekah seperti kanak-kanak ini. Semua orang tengah berjuang untuk meneruskan kelansungan hidup. Tanpa berfikir panjang, saya menarik tangan kanak-kanak itu untuk menuju ke kedai roti. Saya membelikan dia sebungkus roti dengan air susu. Dia menangis dan memeluk kaki saya dengan hiba dan penuh kesyukuran.
“Encik, sudilah singgah di rumah saya. Lagipun, hari makin gelap. Pekan kami ini akan bergelap kalau menjelang malam. Pencuri dan penyamun banyak keluar mencari mangsa,” katanya sambil menghabiskan sisa makanan dalam mulut. Separuh lagi roti yang belum dimakan disimpan rapi dalam plastik.
Seperti tadi, saya hanya mengangguk. Saya dalam pencarian, justeru itu saya harus terus mencari. Mana tahu, saya berjumpa dengan hadiah yang saya perlu bawakan untuk Tuan Ali. Apabila sampai di sebuah danau, saya melihat berberapa buah rumah kayu yang usang dengan atap zink yang berkarat sudah terang dipasangkan pelita.
“Inilah kampung saya. Dan itu, rumah keluarga saya,” kata Kanak-kanak itu dengan girang. Dia mengucap salam sebelum melangkah kaki masuk ke dalam rumah. Keadaan rumah yang sempit dan kecil itu menyebabkan saya tertunduk-tunduk.
“Siapa yang kamu bawa balik Zainab?” sapa seorang lelaki tua dengan mata yang tertutup rapat, sepertinya buta. Dia mengheret kakinya untuknya menghampiri saya. Saya melihat, kanak-kanak perempuan yang bernama Zainab itu membantunya untuk menghampiri saya.
“Ini Encik yang budiman, ayah. Malam ini kita makan roti ya.” katanya sambil menyerahkan separuh bungkusan roti kepada ayah yang buta dan uzur itu.
“Kamu meminta-minta lagi, ya Zainab?” kedengaran lirih penuh kesal nada suaranya sambil memukul tangan Zainab.
Zainab tertunduk. “Sudah dua hari kita tidak makan. Saya perlu keluar untuk mencari makanan. Kalau tidak kita akan mati kelaparan,” luah Zainab dengan sayu.
“Bukan dengan cara meminta, Zainab. Ayah tengah menunggu Tauke Lim memberi gaji ayah. Bersabarlah,” kendur nasa suara ayahnya.
“Seminggu kita menunggu. Sehingga habis semua bekalan makanan. Gaji ayah masih tak dapat-dapat,” omel Zainab.
Ayah mengeluh berat sambil mengusap belakang Zainab. Mereka seakan lupa bahawa saya sedang duduk disitu memerhatikan mereka. Saya melihat si ayah makan setengah roti itu dengan lahapnya. Entah kenapa, ketika itu saya seolah diberikan satu perasaan yang aneh. Perasaan sayu yang menjentik hati bertubi-tubi. Saya mengeluarkan berberapa bungkus roti kering dalam beg gelas beserta air kotak. Saya hidangkan di hadapan si ayah. Kelihatan si ayah menangis teresak-esak kerana dapat merasai roti yang menjadi kegilaan ramai pelanggan jika berkunjung di pekan itu.
Malam itu juga hujan tiba-tiba turun dengan lebatnya. Saya membantu Zainab menadah air dengan bekas kosong dalam rumah. Si ayah hanya mampu menangis kerana dia tidak ada upaya untuk membantu kami. Kami tidur dalam keadaan lantai yang basah. Setelah hujan berhenti pada tengah malamnya pula, saya terjaga dari tidur apabila terdengar suara orang tengah mengaji al-quran. Saya melihat di sudut dinding, kelihatan si ayah sedang mengaji al-quran dalam keadaan tersedu sedan menahan sebak di dada. Suaranya sayup-sayup sahaja kedengaran. Saya pasti, dia risau andai tetamunya ini terjaga dari tidur.
“Tuan tidak buta, sebaliknya kamilah yang buta. Dibutakan dengan kemewahan dunia yang sementara,” saya berbisik sambil menekan hati yang terasa ngilu. Pada saat itulah, saya menemui jawapan kepada pencarian saya. Saya yakin. Inilah hadiah sebenar yang belum Tuan Ali miliki dalam kehidupannya. Saya mula bertekad sambil memeluk beg galas hitam yang dipenuhi dengan wang ringgit.
Berberapa hari kemudian, saya kembali kepada Tuan Ali. Ketika Tuan Ali meminta hadiah daripada hasil kutipan hutang, saya menyerahkan beg galas yang kosong kepadanya. Berbakul-bakul saya dimaki hamun, disumpah seranah dan dibelasah oleh Tuan Ali kerana dianggap sengaja menghabiskan wang tersebut dengan sesuatu yang sia-sia.
“Saya telah membeli apa yang Tuan inginkan,” saya mengerekot dilantai. Bibir pecah dan perut senak.
“Di mana barang tu? Bagi aku!” tengking Tuan Ali.
Saya terdiam sebentar kemudian perlahan bangkit. Saya ambil beg galas itu, lalu saya serahkan kepada Tuan Ali semula. “Inilah hadiah saya.”
Sekali lagi, satu penampar mengena pipi. “Kau menghina aku ya? Kau berambus sekarang dan aku tak mahu melihat kau dihadapan aku lagi!” Tuan Ali mengangkat tangan menunjuk kearah pintu utama.
Saya tunduk. Terhencut-hencut keluar dari rumah itu. Namun, sebaliknya. Saya justeru terduduk di tangga sambil melihat permandangan luar rumah dengan cahaya jingga mula berbalam di kaki langit. Saya tersenyum. Dalam hati betekad lagi. Walau apapun, saya tidak akan tinggalkan Tuan Ali.
Waktu berlalu, Kotaraya kebanggaan warga serakah gempar apabila tiba-tiba sahaja berlakunya gempa bumi. Hancur seluruh bangunan tinggi yang berteracakan di awan biru. Ranap segala kereta mewah yang meluncur gah di jalan raya selama ini. Saya dan Tuan Ali adalah antara yang terselamat daripada musibah itu.
“Keadaan semakin meruncing. Sosioekonomi Kotaraya kita mengalami kelumpuhan. 40 peratus kediaman telah hancur. Saya menyeru, semua rakyat jelata pergi ke pusat perlindungan sementara untuk mendapatkan bantuan.” kata Ketua Menteri di billboard digital yang retak namun masih berfungis itu.
Kehancuran ini juga mengorbankan harta benda Tuan Ali. Dia telah hilang segala hartanya hanya dengan sekelip mata sahaja.
“Aku akan berangkat meninggalkan Kotaraya ini. Aku ingin mulai kehidupan yang baru,” kata Tuan Ali sambil memandang bilik bar disko yang sangat dia sukai suatu masa dahulu telah hancur dan punah. Sofa mewahnya ranap dihempap konkrit dan meja bar berderai seribu tinggal serpihan kasar.
Saya mengangguk dan menurut perintah. Walaupun Tuan Ali kata, jangan panggil dia tuan lagi kerana dia tidak mampu untuk memberikan gaji kepada saya. Namun, saya masih dengan kedegilan saya. Sepertimana saya pernah diusir berkali-kali, saya tetap terus setia bersama Tuan Ali. Kerana, Tuan Ali adalah keluarga saya satu-satunya. Setelah berjalan berhari-hari, kami tiba disebuah pekan. Saya melihat seorang remaja prempuan datang mempelawa kami ke sebuah tempat yang sangat indah. Saya menguntum senyum. Tuan Ali pula kelihatan keliru. Seorang lelaki menjemput dan menyambutnya dengan penuh ramah dan mesra.
“Terima kasih, Tuan Ali kerana sudi singgah di kediaman kami. Tinggallah di rumah saya. Rumah saya sekarang sudah kukuh, besar dan selesa.” kata seorang lelaki tua yang buta sambil tersenyum mesra.
“Tuan, nanti saya hidangkan makanan yang lazat kepada Tuan. Kami juga sudah menternak berberapa ekor lembu dan ayam. Malahan, berjaya menjualnya keluar dari kawasan pekan ini,” ujar seorang lagi lelaki.
“Tuan, saya ada sayur yang segar dan sedang elok dikaut hasilnya. Malam ini, kami akan menjamu Tuan dengan penuh berbesar hati,” kata seorang wanita pula.
Tuan Ali masih kehairanan. Bagaimanakah mereka mengenalinya dengan begitu ramah sedangkan mereka tidak pernah bersua muka sebelum ini? Tuan Ali memandang saya seolah meminta satu penjelasan.
“Tuan, saya pernah ke sini berberapa waktu yang lalu. Tuan pasti ingat, sewaktu tuan berikan saya tugas untuk membelikan tuan barang yang belum tuan miliki dengan semua wang hasil taguhan hutang. Atas nama, tuan yang bersedekah, wang itu saya telah gunakan untuk menolong orang-orang yang memerlukan bantuan di kampung ini. Sekarang, lihatlah. Giliran mereka pula yang menolong kita.”
Tidak berkedip mata Tuan Ali memandang saya.
“Waktu itu, tuan telah mempunyai semua barang. Hanya satu barang sahaja yang tuan belum miliki, iaitu cinta. Maka, waktu itu saya berusaha mendapatkannya untuk tuan. Dan cinta itulah yang saat ini memberi kehidupan baru kepada kita. Tuan, inilah benih yang kita tabur, sekarang benih inilah yang kita akan tuai. Saya berharap agar tuan tidak lagi marah atas tindakan saya pada waktu itu,”
Mata Tuan Ali akhirnya berkaca. Seraya laju membawa saya dalam dakapannya. “Sekarang, aku sedar. Aku adalah seorang kaya yang miskin. Miskin dengan cinta. Miskin perhatian dengan orang lain. Terima kasih, Ahmad. Engkaulah sahabatku yang paling setia. Maafkan aku kerana telah memperlakukanmu dengan buruk. Walhal, engkau telah membelikan aku cinta yang tidak aku miliki dalam hidupku.”
Ketika berada dalam dakapan Tuan Ali, saya mendongak ke langit biru. Mengucapkan seribu kesyukuran yang tidak terhingga kepada Yang Empunnya segala harta dan kekayaan manusia di dunia ini. Betapa, akibat daripada perbuatan baik yang kita lakukan Dia melipat-gandakan dalam pelbagai bentuk. Walhal, pada setiap kejadian yang berlaku ini tidak pernah terdetik sedikit pun hati saya untuk menerima balasan. Yang saya tahu pada waktu, saya hanya membeli cinta daripada kehidupan rakyat miskin seperti mereka.