
LINGGA: Pertandingan lumba perahu bagi acara ‘Battle of Titans’ Regata Lingga 2025 menjanjikan pertarungan sengit apabila hadiah lumayan berjumlah RM30,000 menanti pasukan yang bakal dinobatkan sebagai juara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor menggesa semua peminat dan penggiat sukan regata di seluruh Sarawak agar bersiap sedia menyaksikan kejohanan paling berimpak tinggi itu yang bakal berlangsung di Tebingan Sungai Lingga.
“Regata Lingga 2025 bakal kembali dengan kejohanan paling sengit, jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada acara berprestij ini,” katanya semasa menghadiri perjumpaan bersama jawatankuasa Regata Lingga 2025 di Pejabat Daerah Lingga, hari ini.
Selain kategori utama ‘Battle of Titans’ dengan hadiah RM30,000, kategori ‘Raja Sungai’ Regata Lingga 2025 turut menawarkan ganjaran lumayan sebanyak RM15,000 kepada pemenang.
Acara tahunan yang dinanti-nantikan itu dijadualkan berlangsung pada 12 hingga 14 Disember 2025 di Pekan Lingga, selepas tarikh asal 28 hingga 30 November dipinda bagi memastikan kelancaran penganjuran.
Perubahan tarikh berkenaan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Regata Lingga Bil. 2/2025 yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Regatta, Frank Lani, di Pejabat Daerah Lingga baru-baru ini.
Regata Lingga 2025 dijangka menampilkan 20 acara sukan dan hiburan yang meriah, selain tiga acara utama melibatkan majlis perasmian, acara kemuncak serta penangguhan temasya.
“Adalah diharapkan penganjuran kali ini dapat berjalan lancar serta mendapat sambutan hangat daripada masyarakat dan pengunjung. Sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” ujar Dayang Noorazah.
Dengan mempertaruhkan hadiah lumayan ini, kejohanan kali ini dijangka menarik penyertaan ramai pelumba elit dari seluruh negeri, sekali gus menjadikan Regata Lingga 2025 antara acara sukan air paling dinanti tahun ini.
Oleh Adi Safarman