SUBANG: Hadiah hari jadi paling istimewa buat seorang ibu apabila anaknya, Kaira Ramadhani Azman menghadiahkan pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 tepat pada hari kelahirannya, sekali gus membayar kepercayaan insan yang terlebih dahulu ‘memaksa’ dirinya menceburi sukan menembak.
Kaira, 19, bersama Melisa Mike Snyut George Mike dan Affiennia Norolyn Howard Fadd muncul juara acara 50 meter (m) rifle prone berpasukan wanita selepas mengumpul 1,815.4 mata di Lapang Sasar Negara, Subang, hari ini.
Lebih manis, Kaira turut meraih perak dalam acara individu 50m rifle prone, sekali gus memperbaiki pencapaiannya pada SUKMA 2024 apabila membawa pulang dua pingat gangsa menerusi acara 10m air rifle individu dan 50m rifle prone individu.
Bagi Kaira, peningkatan daripada gangsa kepada perak dan emas pada penampilan keduanya di pentas Sukma cukup bermakna, lebih-lebih lagi apabila emas berkenaan hadir pada hari istimewa buat ibunya.


“Memang saya sasarkan emas untuk acara berpasukan. Untuk individu pun memang sasaran saya emas juga, tetapi tidak mengapa, bukan rezeki. Syukur dapat satu perak dan satu emas,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak di Lapang Sasar Negara, hari ini.
Menurut Kaira, penglibatannya dalam sukan menembak pada awalnya bukan atas kehendak sendiri, sebaliknya ibunya yang mendorongnya untuk mencuba selepas melihat minat anaknya terhadap permainan video bertemakan menembak.
“Pada mulanya memang kena paksa juga untuk sukan menembak ini. Tetapi lama-lama saya mula minat dengan sukan ini.
“Sekarang setiap hari saya menjalani latihan termasuk latihan menembak tanpa peluru,” katanya.
Kaira mula menceburi sukan menembak pada 2023 dan mengakui pada awalnya tidak menyangka mempunyai bakat dalam acara berkenaan.
Katanya, minat terhadap sukan tersebut berkembang selepas dia mula mengenali teknik dan merasai keseronokan ketika melakukan tembakan.
“Pada mulanya memang saya tidak menjangka ada bakat dalam sukan menembak ini. Semuanya bermula dengan minat, terutama minat terhadap tarikan picu dan menembak,” katanya.
Menariknya, wanita muda yang kini menuntut dalam bidang Pengurusan Maklumat di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Samarahan itu tidak melupakan insan yang menjadi pencetus kepada perjalanan kariernya.
“Emas ini untuk ibu saya, jurulatih dan Sarawak, terutama sekali,” katanya.
Kaira berkata, dia dan rakan sepasukan menjalani latihan antara tiga hingga empat kali seminggu, bergantung kepada jadual masing-masing yang turut perlu membahagikan masa antara latihan dan pengajian.
Bagi acara berpasukan kali ini, Kaira dan Affiennia yang membuat penampilan kedua di Sukma bergandingan dengan Melisa yang merupakan pendatang baharu dalam temasya berkenaan.
Kaira turut menghargai sumbangan Melisa yang membantu pasukan Sarawak mencipta kejayaan di Subang.
“Terima kasih kepada Melisa kerana banyak menyokong kami. Terima kasih atas segala usaha yang diberikan,” katanya.
Kejayaan itu menyaksikan Kaira kini masih mempunyai satu lagi peluang untuk beraksi di pentas Sukma, sekali gus membuka ruang untuknya memburu lebih banyak kejayaan pada edisi akan datang.
Ketika ditanya mengenai peluang mewakili Malaysia di Sukan SEA, Kaira hanya menjawab penuh harapan, “Insya-Allah kalau ada rezeki.”
Buat masa ini, emas yang diraih bersama rakan sepasukan menjadi hadiah paling bermakna buat Kaira untuk insan yang memperkenalkan dirinya kepada dunia menembak, ibunya sendiri, yang kebetulan menyambut ulang tahun kelahiran pada hari kejayaan itu.
Oleh Shahrul Qaizat





