
DALAM era dunia digital tanpa sempadan hari ini, media sosial seperti TikTok, X, YouTube dan WhatsApp bukanlah sesuatu yang asing bagi golongan kanak-kanak dan remaja.
Platform berkenaan menjadi pilihan untuk mereka bermain dan berhibur, belajar, memperoleh sesuatu maklumat dan berinteraksi sesama sendiri. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan mereka “membesar” lebih pantas di alam maya berbanding realiti.
Sebagai contoh, kanak-kanak seawal usia empat tahun sudah mendapat pendedahan dan mampu menzahirkan perasaan mereka dengan menyebut “poor” Palestin dan Israel “bad, dan kenal siapa itu Donald Trump. Semuanya daripada media sosial.
Sungguhpun begitu, di sebalik pelbagai manfaat yang boleh dinikmati, terdapat juga lambakan risiko yang pastinya tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Peningkatan kes jenayah siber melibatkan kanak-kanak termasuk gangguan seksual dalam talian, pedofilia, eksploitasi digital, buli siber, penyebaran bahan lucah serta ketagihan media sosial antara yang menjadi kegusaran ramai pihak, akibat penggunaan media sosial tanpa kawalan, panduan dan perlindungan yang mencukupi.
Lebih membimbangkan, perkara ini turut dikaitkan dengan perbuatan jenayah dalam kalangan pelajar sekolah seperti rogol dan kes bunuh, sekali gus tidak lagi boleh dilihat sebagai tanggungjawab ibu bapa semata-mata, sebaliknya memerlukan kerangka perlindungan yang lebih menyeluruh di peringkat nasional dengan menuntut campur tangan oleh kerajaan.
KEPERLUAN MENDESAK?
Cadangan kerajaan baru-baru ini untuk menetapkan had umur minimum 16 tahun bagi penggunaan media sosial menarik perhatian masyarakat yang melihat isu ini daripada pelbagai perspektif, terutama tanggungjawab, keselamatan, keperluan semasa dan masa depan generasi muda.
Pada 6 Dis lepas, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil sekali lagi menekankan keperluan pelaksanaan had umur 16 tahun untuk penggunaan media sosial bagi melindungi golongan kanak-kanak dan remaja daripada risiko dieksploitasi atau didedahkan kepada perkara yang tidak patut dalam talian.
Dalam hal ini, Australia dijadikan contoh apabila mula menguatkuasakan larangan penggunaan media sosial untuk kanak-kanak bawah 16 tahun, yang disifatkan sebagai yang pertama seumpamanya di dunia, dengan undang-undang itu berkuat kuasa sepenuhnya pada Rabu lalu (10 Disember).
Langkah itu menandakan perubahan besar dalam tadbir urus digital global, sekali gus menetapkan penanda aras baharu akan bagaimana kerajaan di seluruh dunia boleh bertindak bagi melindungi pengguna muda dalam talian.
Menerusi laporan sebelum ini juga kerajaan menyasarkan setiap platform media sosial melaksanakan pengesahan identiti pengguna secara digital (eKYC) menjelang akhir suku kedua 2026, bagi menguatkuasakan had umur minimum 16 tahun untuk pembukaan akaun.
Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diminta mengadakan sesi libat urus dengan semua platform media sosial dan memberikan tempoh munasabah untuk melaksanakan langkah itu.
Di sebalik usaha bagi melindungi golongan rentan, perkara ini antara lain mengundang persoalan akan keperluan serta hak kanak-kanak untuk berkomunikasi, mendapatkan maklumat serta bersuara dalam dunia digital yang kini menjadi sebahagian besar daripada kehidupan mereka.
PENDIDIKAN LITERASI DIGITAL
Mengulas perkara itu, Timbalan Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Ts Azrul Zafri Azmi berkata dalam landskap digital tanpa sempadan, media sosial bukan lagi sekadar medium hiburan sebaliknya merupakan ruang utama interaksi sosial, pembelajaran dan pembentukan identiti, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Bagaimanapun katanya kemudahan ini turut membuka pintu kepada risiko yang semakin kompleks dan sukar dikawal.
“MCCA menerima pelbagai aduan berterusan daripada ibu bapa berhubung kes penipuan, buli siber serta eksploitasi seksual yang melibatkan pengguna bawah umur.
“Kanak-kanak hari ini berdepan algoritma yang mereka sendiri tidak faham. Mereka boleh dihubungi oleh orang dewasa yang tidak dikenali, dimanipulasi secara emosi, dipengaruhi dengan kandungan ekstrem atau dijadikan sasaran pemangsa siber tanpa disedari,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Menurut Azrul Zafri, walaupun kebanyakan platform media sosial menetapkan had umur minimum 13 tahun selaras dengan amalan antarabangsa, tahap penguatkuasaannya amat longgar.
“Kanak-kanak boleh mendaftar akaun hanya dengan mengubah tarikh lahir. Tanpa pengesahan umur yang lebih kukuh, had sedia ada hanyalah bersifat simbolik dan gagal memberi perlindungan sebenar,” jelasnya.
Berpandangan cadangan had umur 16 tahun adalah langkah progresif yang mencerminkan keseriusan kerajaan menangani isu keselamatan digital kanak-kanak, Azrul Zafri pada masa sama berpendapat pelaksanaannya perlu realistik dan tidak bersifat kosmetik.
Walaupun menyokong usaha kawal selia, sekatan umur semata-mata katanya tidak akan menyelesaikan akar masalah sekiranya tidak disertai pendidikan literasi digital yang menyeluruh.
“Kita tidak boleh hanya melarang tanpa mendidik. Kanak-kanak perlu dilengkapi kefahaman tentang risiko dalam talian, cara melindungi diri, mengenal pasti manipulasi digital serta menggunakan media sosial secara beretika dan bertanggungjawab.
“Ibu bapa memainkan peranan penting sebagai benteng pertama keselamatan digital anak-anak. Undang-undang tidak boleh menggantikan pengawasan ibu bapa, sekiranya ibu bapa sendiri tidak celik digital, sekatan apa-apa pun akan mudah ditembusi,” katanya.
Beliau berkata, selain menekankan kepentingan kempen kesedaran awam dan pendidikan berterusan sekiranya had umur 16 tahun dilaksanakan, tanpa pemahaman masyarakat, dasar ini hanya akan menjadi peraturan di atas kertas dan sukar dikuatkuasakan.
ALTERNATIF SETARA
Sementara itu, Penolong Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau yang juga pensyarah Fakulti Sains Maklumat, Prof Madya Dr Masitah Ahmad berkata cadangan had umur itu sebagai isu yang perlu ditangani secara seimbang antara perlindungan dan keperluan perkembangan sosial remaja.
Menurut beliau terdapat bukti kukuh melalui pelbagai kajian yang dijalankan bahawa penggunaan media sosial tanpa kawalan boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan mental remaja, termasuk kebimbangan melampau, tekanan emosi, gangguan tidur serta masalah personaliti atau imej diri akibat budaya perbandingan sosial yang berterusan.
“Remaja bawah 16 tahun berada dalam fasa pembentukan identiti dan harga diri. Pendedahan berlebihan kepada penilaian awam, komen negatif dan tekanan populariti boleh meninggalkan kesan psikologi jangka panjang.
“Namun begitu, pendekatan terlalu ketat juga berisiko meminggirkan remaja daripada ruang komunikasi yang kini menjadi medium utama pembelajaran dan interaksi sosial.
“Media sosial digunakan untuk pembelajaran tidak formal, perbincangan isu semasa, aktivis golongan muda dan ekspresi diri. Jika akses disekat sepenuhnya, kerajaan perlu memikirkan alternatif yang setara,” katanya.
Beliau berkata pendekatan kawalan berperingkat, termasuk had masa penggunaan, penapisan kandungan mengikut umur serta ciri kawalan ibu bapa yang lebih berkesan sebagai antara yang boleh dipertimbangkan, berbanding larangan secara menyeluruh.
“Kita bercakap tentang generasi yang membesar sepenuhnya dalam dunia digital. Fokusnya bukan hanya menyekat akses, tetapi membina keupayaan mereka untuk berdepan risiko secara matang dan berdaya tahan,” katanya.
CABARAN UNDANG-UNDANG, HAK
Berkongsi pandangan, pengamal undang-undang Muhammad Hafiz Hood berkata pelaksanaan had umur 16 tahun penggunaan media sosial memerlukan penelitian agar tiada polemik undang-undang, termasuk akta kanak-kanak dan berkaitan privasi serta perlindungan data.
“Persoalan utama ialah bagaimana pengesahan umur akan dilaksanakan. Jika melibatkan pengumpulan data sensitif seperti nombor kad pengenalan atau biometrik, ia dibimbangi boleh mencetuskan risiko kebocoran data dan penyalahgunaan maklumat peribadi memandangkan proses pendaftaran akan diguna pakai,” katanya.
Menurut Muhammad Hafiz, sebarang mekanisme pengesahan umur perlu selari dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 yang menetapkan prinsip ketelusan, had penggunaan dan keselamatan data.
“Kita sambut baik niat untuk melindungi golongan ini (kanak-kanak dan remaja) tetapi pada masa sama kita perlu pastikan tujuan ini akhirnya tidak membuka ruang kepada eksploitasi data mereka oleh pihak ketiga.
“Selain itu, isu liabiliti undang-undang sekiranya berlaku pelanggaran. Jika seorang kanak-kanak bawah 16 tahun menggunakan media sosial secara tidak sah, siapakah yang bertanggungjawab? Ibu bapa, platform atau mereka sebagai pengguna itu sendiri? Kerangka ini perlu diperincikan dengan jelas,” katanya.
Beliau berkata Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan bersuara termasuk untuk golongan muda, walaupun kebebasan tersebut boleh dihadkan atas alasan keselamatan, moral dan kepentingan awam.
Tambahnya, pendekatan itu perlu mengambil pertimbangan sewajarnya agar tidak ada pencabulan hak asasi yang berlaku walaupun atas alasan pengawalan moral, di samping mengadakan konsultasi awam dan libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan sebelum sebarang dasar dimuktamadkan.
“Pendekatan yang berkesan memerlukan keseimbangan antara perlindungan, pendidikan, penguatkuasaan berhemah serta penghormatan terhadap hak dan kebebasan asas.
“Dalam dunia digital yang sentiasa berubah, cabaran sebenar bukan sekadar menjauhkan kanak-kanak daripada media sosial, tetapi mempersiapkan mereka untuk menghadapinya secara selamat, beretika dan bertanggungjawab,” katanya.- Bernama