
PELAKSANAAN had umur minimum 16 tahun untuk penggunaan media sosial memang sedang dibincang di banyak negara, tapi belum banyak yang benar-benar menguatkuasakannya secara menyeluruh.
Malaysia pula akan meneruskan usaha mengehadkan pembukaan akaun media sosial baharu bagi kanak-kanak bawah 16 tahun dengan pelaksanaannya dijangka seawal pertengahan tahun ini.
Namun, persoalan yang timbul ialah sejauh mana pihak berwajib termasuk Meta iaitu syarikat teknologi besar yang memiliki beberapa platform media sosial utama seperti Facebook (FB), Instagram, What’sApp dan Messenger (chat dalam FB) mengawal selia akaun di platform ini?
Contohnya, jika anda membuka akaun FB dan meletakkan tarikh lahir, pernahkah pihak FB (meta) bertanya kesahihan tarikh lahir anda?
Kalau anak anda meletakkan tarikh lahir (anak berusia 16 tahun ke bawah), tetapi menipu konon umurnya lebih 16 tahun atau 18 tahun dengan meletakkan tarikh lahir beberapa tahun lebih awal, apakah pihak Meta pergi menyiasat tanya itu dan ini? Apakah Meta akan meminta nombor telefon ibubapa untuk pengesahan? Tiada.
Meta akan luluskan sahaja akaun itu. Platform seperti TikTok, FB dan Istagram hanya minta tarikh lahir. Budak 14 tahun boleh daftar sebagai 18 tahun tanpa halangan.

Jika ada cerita atau video untuk 18X ke atas, Meta akan ada notis di situ – Apakah anda berusia 18 tahun ke atas (untuk menontonnya), anda (atau anak anda) boleh sahaja klik ‘ya’ kerana Meta tidak akan menyiasat/selidiki lanjut.
Platform Meta ialah nama baharu bagi syarikat Facebook yang ditukar pada 2021. Ini kerana pengasasnya, Mark Zuckerberg mahu fokus kepada konsep ‘metaverse’ – dunia digital di mana orang boleh berinteraksi dalam bentuk maya (virtual reality).
Usaha akan terbantut
Apapun, jika isu kawal selia ini tidak ditangani, tindakan mahu mengehadkan pembukaan akaun media sosial baharu bagi kanak-kanak bawah 16 tahun, akan terbantut.
Kita akui had umur 16 tahun ini baik dari sudut perlindungan tetapi pelaksanaannya sangat mencabar, mudah dimanipulasi. Tanpa sistem pengesahan identiti yang kukuh, dasar ini boleh jadi sekadar di atas kertas sahaja.
Ini kerana platform bergantung pada ‘self-declaration’ (isytihar diri), tiada pengesahan identiti sebenar dan remaja Generasi Alpha (lahir selepas 2013) adalah kelompok yang terdedah awal kepada dunia internet dan tahu ‘jalan pintas’.
Jangan terkejut ramai ibubapa sekarang meletakkan telefon bimbit dan buka Youtube untuk anak-anak supaya mereka ‘senyap sendirian’ di meja makan atau ketika dibawa ke mana-mana.
Mungkin kaedah pengesahan had umur ini boleh membantu seperti pengesahan umur guna AI (face estimation), muat naik kad pengenalan atau dokumen rasmi, kawalan ibubapa dan had kandungan ikut umur (bukan sekadar blok akaun).

Sekatan akses media sosial terhadap kanak-kanak kini semakin meluas ke seluruh dunia selepas Australia mengambil langkah melarang pengguna di bawah usia 16 tahun pada Disember lalu kerana kesan negatif platform itu terhadap golongan muda.
Menurut Anadolu Ajansi, Australia meluluskan undang-undang yang melarang akses kepada platform media sosial bagi pengguna di bawah umur 16 tahun, yang berkuat kuasa pada 10 Disember lepas.
550,000 akaun dinyahaktifkan
Syarikat induk Facebook iaitu Meta menyatakan bahawa sebanyak 550,000 akaun telah dinyahaktifkan selepas perubahan itu, termasuk 330,000 di Instagram, 173,000 di Facebook dan 39,000 lagi di Threads.
Kira-kira 10 platform tertakluk kepada sekatan itu, termasuk X, Instagram, Facebook, TikTok, YouTube, Snapchat, Reddit, Twitch, Threads dan Kick.
Beberapa negara Eropah sejak itu mula mengambil langkah untuk melaksanakan tindakan serupa seperti Australia.
Bagaimanapun, belum banyak negara yang menetapkan 16 tahun sebagai had rasmi penuh.
Kebanyakan negara guna had 13 tahun (standard global ikut Children’s Online Privacy Protection Act di Amerika Syarikat).
Di Kesatuan Eropah, had umur persetujuan data ialah 13-16 tahun bergantung kepada negara. Contohnya, Jerman (16 tahun), Belanda (16 tahun) dan Perancis (15 tahun).
Setakat ini Malaysia belum ada undang-undang khusus yang menetapkan umur minimum untuk pengguna media sosial 16 tahun.
Namun, kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia aktif memantau kandungan dalam talian serta tangani isu buli siber, scam dan kandungan berbahaya.
Malaysia lebih fokus kepada kawalan kandungan dan keselamatan pengguna, bukan larangan umur secara total setakat ini.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak