
OSLO: Erling Haaland meledak lima gol manakala pemain gantian, Thelo Aasgaard menambah empat lagi ketika Norway membelasah Moldova 11-1 untuk mengorak langkah besar ke arah layak ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 1998.
Selepas lima perlawanan, Norway mendahului Kumpulan I dengan 15 mata, enam mata di depan Itali di tempat kedua yang masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan.
Kekalahan terbesar Moldova itu meletakkan mereka di tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang mata.

Juara kumpulan akan layak secara automatik ke Piala Dunia tahun depan, manakala naib juara perlu melalui aksi playoff.
Haaland menjadi pencetus awal apabila melakukan hantaran cantik yang disudahkan Felix Horn Myhre pada minit keenam.
Tidak lama kemudian, Haaland sendiri menjaringkan gol pada minit ke-11 selepas menyambar bola liar dalam kotak penalti.
Penyerang Manchester City itu menambah gol kedua pada minit ke-36 hasil serangan balas sebelum melengkapkan hatrik sebelum rehat.
Martin Odegaard menambah gol kelima dalam masa kecederaan babak pertama, sebelum Haaland menjaringkan gol keempat peribadinya melalui tandukan pada minit ke-52.
Babak kedua menyaksikan Aasgaard mencuri tumpuan apabila menjaringkan dua gol, disusuli jaringan sendiri Leo Ostigard.
Pemain berusia 23 tahun itu melengkapkan hatrik menerusi sepakan penalti minit ke-79.
Haaland kembali mencatat nama untuk gol ke-10 pasukan, menjadikan koleksi peribadinya sembilan gol dalam lima perlawanan kelayakan Piala Dunia.
Aasgaard kemudian menutup pesta jaringan dengan gol keempat peribadi dalam masa kecederaan.