
MIAMI: Kapten England, Harry Kane, menyifatkan penyerang Norway, Erling Haaland, sebagai ‘mesin gol’ dan pemain yang memiliki fizikal luar biasa, namun menegaskan mereka memiliki dua penyerang dengan gaya permainan yang berbeza menjelang aksi suku akhir Piala Dunia 2026, pada perlawanan 3.00 pagi esok (waktu Malaysia).
Haaland berjaya menjaringkan tujuh gol dalam empat penampilan pertamanya di kejohanan utama, termasuk dua jaringan ketika membantu Norway menyingkirkan Brazil, sekali gus membawa pasukan itu mara ke suku akhir buat kali pertama dalam sejarah.
Kane pula hanya ketinggalan satu gol di belakang penyerang Manchester City itu apabila mengumpul enam jaringan pada kejohanan kali ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan golnya di pentas Piala Dunia meningkat kepada 14.
“Saya fikir kami merupakan pemain yang sangat berbeza. Memang kami sama-sama penyerang, tetapi kami memainkan peranan yang hampir berbeza di atas padang,” kata Kane pada sidang media pra-perlawanan.
“Erling ialah pemain yang luar biasa. Rekod jaringannya amat mengagumkan dan dari segi fizikal, dia ibarat sebuah mesin. Dia memiliki kekuatan fizikal yang luar biasa. Ketajaman penyudahnya berada pada tahap tertinggi dan rekod jaringannya membuktikan segala-galanya.
“Saya pula melihat diri saya sebagai pemain yang berbeza walaupun turut menjaringkan gol. Saya lebih gemar menyentuh bola dengan lebih kerap dan terlibat dalam pembinaan serangan, namun saya juga mampu beraksi sebagai penyerang tengah tulen.
“Saya tidak fikir kami perlu dibandingkan. Saya amat menghormatinya sebagai pemain dan seorang profesional. Sudah tentu saya berharap dia tidak mempamerkan prestasi terbaik dalam perlawanan esok, tetapi secara keseluruhannya dia ialah pemain yang hebat,” katanya.
Walaupun kedua-duanya cemerlang di hadapan gawang, Kane dan Haaland masih berada di belakang Lionel Messi serta Kylian Mbappe yang masing-masing telah menjaringkan lapan gol dalam saingan Piala Dunia 2026 bagi perebutan Kasut Emas.
Kane pernah memenangi anugerah penjaring terbanyak Piala Dunia pada edisi 2018, namun England gagal menjulang trofi selepas tewas kepada Croatia pada separuh akhir.
Katanya, keutamaan utama adalah menamatkan penantian selama 60 tahun England untuk memenangi kejohanan utama, manakala anugerah Kasut Emas hanyalah sasaran sampingan.
“Piala Dunia kali ini amat menarik kerana semua penyerang terbaik berjaya menjaringkan gol dan memberikan impak kepada perlawanan. Keadaan seperti ini tidak selalu berlaku dalam kejohanan utama.
“Ia merupakan persaingan yang sengit dan mendorong saya untuk sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Matlamat utama saya ialah memenangi Piala Dunia, bukannya memenangi Kasut Emas sekali lagi. Namun, saya ialah penjaring gol dan penyerang utama. Jika saya menjaringkan gol, sudah tentu ia akan membantu pasukan,” katanya.
Kane menjadi tonggak utama generasi pemain England yang paling hampir menamatkan kemarau kejuaraan sejak menjulang Piala Dunia 1966.
Di bawah kendalian Gareth Southgate, England tewas dalam dua perlawanan akhir Kejohanan Eropah berturut-turut serta tersingkir pada peringkat suku akhir dan separuh akhir dalam dua edisi Piala Dunia sebelum ini.
Menurut Kane, England kini hanya memerlukan satu lagi usaha besar untuk mencipta sejarah.
“Selagi kami belum memenangi trofi itu, perbincangan mengenai England akan terus berlanjutan. Namun, kami kini berada pada kedudukan yang kami impikan sejak enam minggu lalu ketika memulakan kem latihan.
“Kami telah melalui banyak detik sukar dan mengharungi perlawanan yang mencabar.
“Kini kami memasuki fasa terakhir perjuangan. Semua pemain perlu berada pada tahap terbaik untuk merealisasikan impian kami,” katanya. – AFP