Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Gyokeres bawa Arsenal kembali ungguli carta
  • SUKAN

Gyokeres bawa Arsenal kembali ungguli carta

Utusan Sarawak 7 hours ago
Viktor Gyokeres meledak gol pembukaan Arsenal menerusi sepakan penalti. Foto AFP

LIVERPOOL: Viktor Gyokeres menamatkan kemarau jaringan melalui sepakan penalti untuk membawa Arsenal kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris selepas menang tipis 1-0 ke atas Everton dalam perlawanan sengit di Goodison Park.

The Gunners sebelum itu dipintas di tangga teratas oleh Manchester City awal Sabtu, namun berjaya merampas semula kelebihan dua mata meskipun mempamerkan prestasi yang kurang meyakinkan.

Skuad kendalian Mikel Arteta sebelum ini memerlukan gol masa kecederaan untuk menewaskan Wolves yang berada di dasar liga minggu lalu, dan sekali lagi bergelut untuk menguasai permainan menentang Everton yang tampil tanpa beberapa pemain utama.

Namun, satu gol sudah memadai untuk memastikan Arsenal mendahului liga ketika Krismas buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun.

Dalam dua kesempatan terdahulu, mereka gagal meneruskan momentum untuk menjulang kejuaraan apabila dipintas City.

City sekali lagi menerima inspirasi daripada Erling Haaland dalam kemenangan 3-0 ke atas West Ham, apabila penyerang Norway itu mengumpul 38 gol musim ini bagi kelab dan negara.

Perbezaan kualiti antara penyerang utama kedua-dua pasukan berpotensi menjadi faktor yang menafikan Arsenal gelaran liga pertama mereka dalam tempoh 22 tahun.

Bagaimanapun, penyerang Scandinavia milik Arsenal sekurang-kurangnya menamatkan penantian gol sejak 1 November.

Gyokeres sebelum itu dinafikan penalti akibat kekasaran Jake O’Brien, namun daripada sepakan sudut berikutnya, O’Brien mengangkat tangan untuk menyentuh hantaran Declan Rice, memaksa pengadil menghadiahkan sepakan penalti.

Pengambil penalti tetap Arsenal, Bukayo Saka, memberi laluan kepada Gyokeres yang tenang menyepak masuk melepasi Jordan Pickford.

Pendahulu liga itu sebelum ini gagal menang dalam tiga aksi liga di tempat lawan, membuka ruang kepada City untuk merapatkan jurang, namun bertemu Everton pada waktu yang sesuai.

Tugas The Toffees semakin sukar dengan ketiadaan tiga tonggak – Kiernan Dewsbury-Hall cedera, manakala duo Senegal Iliman Ndiaye dan Idrissa Gana Gueye menyertai Piala Negara-Negara Afrika.

Kekurangan kualiti di sepertiga akhir jelas kelihatan buat Everton, namun Arsenal masih terpaksa bertahan hingga wisel penamat selepas gagal membunuh perlawanan.

Gyokeres sendiri mempamerkan kekurangan kelajuan yang menjejaskan penyesuaiannya di liga utama Inggeris berbanding prestasi prolifiknya bersama Sporting Lisbon, apabila percubaannya hasil hantaran William Saliba tersasar di bawah tekanan James Tarkowski.

Saka hampir menggandakan kelebihan, namun rembatannya dikeluarkan di atas garisan oleh Tarkowski awal babak kedua.

Arsenal turut bernasib baik apabila dua rayuan penalti Everton melibatkan Thierno Barry dinafikan susulan dakwaan kekasaran oleh Jurrien Timber dan Saliba.

Dua kali Arsenal hampir menjaringkan gol kedua apabila percubaan Leandro Trossard dan Martin Zubimendi masing-masing menggegar tiang gol.

Namun, rekod sembilan perlawanan tanpa bolos daripada 17 aksi liga memastikan Arteta menerima hadiah yang diimpikannya sempena ulang tahun keenam beliau mengemudi Arsenal. – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Kebangkitan Chelsea reda tekanan ke atas Maresca
Next: Kecederaan Isak bimbangkan Slot

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.