Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Gyokeres akhiri kemarau, Arsenal belasah Atletico 4-0
  • SUKAN

Gyokeres akhiri kemarau, Arsenal belasah Atletico 4-0

Utusan Sarawak 12 hours ago

Viktor Gyökeres menjaringkan dua gol ketika Arsenal membelasah Atletico Madrid 4-0. Foto AFP

LONDON: Viktor Gyokeres menjaringkan dua gol untuk menamatkan kemarau jaringan sembilan perlawanan apabila Arsenal membelasah Atletico Madrid 4-0 dalam saingan Liga Juara-Juara, sekali gus meneruskan rekod sempurna mereka pada Selasa.

Gabriel Magalhaes dan Gabriel Martinelli membuka tirai jaringan sebelum dua gol Gyokeres — semua empat gol hadir dalam tempoh 13 minit sekitar sejam permainan.

Pendahulu Liga Perdana Inggeris itu kini gah sebaris dengan Paris Saint-Germain dan Inter Milan di tangga teratas saingan Liga Juara-Juara sebagai tiga pasukan yang mengumpul sembilan mata maksimum daripada tiga perlawanan pertama.

Kekurangan jaringan daripada Gyokeres merupakan antara sedikit kebimbangan buat Mikel Arteta di sebalik permulaan musim yang menakjubkan.

Penyerang Sweden itu, yang dibeli daripada Sporting Lisbon bagi menyelesaikan masalah kekurangan penyerang berbisa di Arsenal, sebelum ini hanya menjaringkan tiga gol dalam 11 penampilan — semuanya di laman sendiri menentang Leeds dan Nottingham Forest.

“Diharap ini permulaan kepada satu rentetan yang indah,” kata Arteta.

“Itulah sebabnya kami membawanya ke sini. Tuntutannya terhadap diri sendiri sangat tinggi, tetapi kami amat menghargai sumbangan lain yang diberikannya kepada pasukan.”

Atletico masih belum mencatat kemenangan di tempat lawan musim ini, dan cara mereka tumbang selepas satu jam permainan yang seimbang pasti merisaukan jurulatih Diego Simeone.

Satu lagi rekod bersih tanpa bolos bermakna Arsenal kini hanya dibolosi tiga kali dalam 12 perlawanan di semua kejohanan musim ini.

Julian Alvarez berpeluang meletakkan pelawat di depan apabila gagal memanfaatkan kesilapan hantaran David Raya pada babak pertama dan kemudian terkena palang dari luar kotak penalti di awal separuh masa kedua.

Eberechi Eze turut hampir membuka jaringan buat Arsenal apabila rembatan terkena tiang dalam percubaan terbaik separuh masa pertama.

Namun seperti kebiasaan kebelakangan ini, Arsenal kembali bergantung pada kekuatan mereka menerusi situasi bola mati.

Sepakan percuma lencong Declan Rice tepat menuju kepala Gabriel yang menunduk untuk menanduk masuk ke penjuru bawah gawang.

Myles Lewis-Skelly, yang kembali di posisi bek kiri, menjadi salah satu daripada dua perubahan dibuat Arteta berbanding kemenangan 1-0 ke atas Fulham Sabtu lalu.

Pemain muda England itu — yang kebanyakan masa menjadi pengganti kepada Riccardo Calafiori — mempamerkan keupayaan hebat apabila membuat larian solo sebelum menghantar bola kepada Martinelli untuk jaringan kedua.

Lewis-Skelly menghantar bola kepada Martinelli yang melengkung masuk ke penjuru jauh, menjadikan itu gol ketiganya dalam tiga perlawanan Liga Juara-Juara.

Gyokeres kemudian mendapat tuah apabila rembatan jarak dekatnya terkena David Hancko sebelum menewaskan Jan Oblak.

Tiga minit kemudian, Gyokeres menambah satu lagi jaringan dari jarak lebih dekat selepas Gabriel sekali lagi menang tandukan pertama hasil sepakan sudut Rice.

“Sudah agak lama (tidak menjaringkan gol), tapi kami tetap menang dalam tempoh itu, jadi ia tetap masa yang baik,” kata Gyokeres.

“Sebagai penyerang, anda tentu mahu menjaringkan gol. Gembira dapat dua gol dan kemenangan besar ini — ia menunjukkan tahap sebenar pasukan kami.”

Arsenal mara ke separuh akhir musim lalu buat kali pertama sejak 2009 sebelum tewas kepada juara akhirnya, PSG.

Musim ini, The Gunners tampak lebih kuat hasil pelaburan besar pada jendela perpindahan musim panas ketika mereka memburu kejuaraan Eropah pertama dalam sejarah kelab. – AFP

Continue Reading

Previous: Analisis: Slot cari jalan keluar ketika krisis Liverpool semakin meruncing
Next: Toppmoeller anggap Liverpool masih kekal pasukan terbaik

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.