Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Guru sambut baik pemberian baucar buku
  • SEMASA

Guru sambut baik pemberian baucar buku

Utusan Sarawak 2 days ago
SUASANA orang ramai yang memeriahkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada tinjauan semalam. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pemberian Baucar Buku MADANI kepada lebih 400,000 guru yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap golongan pendidik sekali gus membantu mereka dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alang Iskandar, Perak, Muhammad Ashraf Ahmad, 36, berkata inisiatif itu yang diperluas kepada pendidik tahun ini memberi kelegaan kerana sebelum ini, beliau menggunakan duit sendiri untuk menampung kos bahan pembelajaran.

“Saya bercadang menggunakan baucar itu untuk membeli buku rujukan dan latihan tambahan supaya boleh dipinjamkan kepada murid… semangat mendidik dan membantu pelajar menjadi lebih kuat dengan pemberian inisiatif seperti ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Tengku Flora Tengku Kamarul Zaman, 48, pula terharu dan menyifatkan inisiatif itu sebagai penghargaan kerajaan terhadap peranan pendidik dalam mencorakkan masa depan generasi muda negara.

Guru Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) dari Pusat Tingkatan Enam (PTE) SMK Taman Selayang itu berharap kerajaan boleh mempelbagaikan inisiatif bantuan kepada pendidik kerana dapat meningkatkan sokongan psikososial guru kepada pelajar.

“Saya berharap kerajaan dapat terus menyalurkan bantuan secara konsisten, bukan sahaja dalam bentuk baucar tetapi juga dari segi peningkatan kemudahan lain serta latihan berterusan untuk kemajuan dan pembangunan generasi masa depan berkualiti,” katanya.

Rabiatul Nur Athirah Ramli, 28, yang bertugas di SMK Rahmat, Melaka pula menyifatkan pemberian baucar itu bukan hanya memanfaatkan dirinya tetapi juga untuk kebaikan murid dan beliau berhasrat menggunakannya bagi membantu mereka terutama golongan kurang berkemampuan.

“Pemberian baucar buku kepada guru merupakan penghormatan dan penghargaan yang sangat bermakna kerana bukan sahaja menunjukkan pengiktirafan kepada jasa guru malah mendorong kami terus komited meningkatkan kualiti pengajaran,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri semasa merasmikan penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di sini mengumumkan pemberian baucar buku itu diperluas kepada lebih 400,000 guru tahun ini selain masih diteruskan kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Bagaimanapun, Anwar berkata terdapat keperluan untuk melakukan pengubahsuaian bagi mengelakkan tuntutan atau pembelian naskhah tidak berkualiti.

Pengumuman itu disambut baik oleh pelajar IPT termasuk penuntut Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA iaitu Wan Alani Nizam, 22, kerana inisiatif tersebut membantunya membeli bahan bacaan akademik.

“Saya sangat bersyukur kerana kerajaan masih meneruskan pemberian baucar kepada pelajar. Bagi memastikan baucar digunakan secara berhemah, saya mencadangkan kategori buku boleh ditebus (ditetapkan) seperti akademik, ilmiah, pembangunan diri, motivasi dan berkaitan kursus sahaja,” katanya.

Sementara itu, penuntut Fakulti Seni Kelestarian dan Industri Kreatif Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Abu Hanifah Mohamad Hanapi, 23, berharap lebih banyak buku pelajaran ditawarkan menerusi program baucar buku agar mudah diakses oleh pelajar.

“Saya harap kerajaan mempelbagaikan jenis buku pelajaran untuk membantu kami membuat rujukan dengan mudah,” katanya.

Pada tahun lepas, pelajar IPT menerima Baucar Buku MADANI bernilai RM100. – Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Kempen Kebersihan Masya’ir diteruskan, Malaysia raih pujian Arab Saudi
Next: MALBATT 850-12 sambut Gawai, Kaamatan di Lubnan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.