
SETIAP insan yang berjaya dalam kehidupan pasti pernah melalui detik-detik penting dalam dunia pendidikan, dan di balik setiap kejayaan itu, wujud seorang guru yang ikhlas mencurahkan ilmu.
Justeru, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa guru ialah pembina generasi dan penerang bangsa, sebagaimana yang ditegaskan dalam ajaran Islam menerusi al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW.
Islam sangat mengangkat kedudukan ilmu dan mereka yang menyebarkannya. Peranan guru dalam membina generasi berilmu ditegaskan dalam al-Quran. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud: “Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.”
Jelas bahawa orang yang berilmu, termasuklah guru yang menyampaikan ilmu mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT. Guru bukan sekadar menyampaikan fakta, tetapi membentuk akhlak dan jiwa murid supaya menjadi insan yang berguna kepada masyarakat dan negara.
Di dalam surah al-Alaq, wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW ialah seruan untuk membaca: “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, yang mengajar (manusia) dengan pena. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”
RASULULLAH SAW SEBAGAI PENDIDIK TERUNGGUL
Rasulullah SAW adalah contoh terbaik yang wajib diikuti akhlaknya untuk menjadi seorang pendidik. Dalam satu hadis, Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya Aku diutuskan sebagai pendidik (guru) untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”
Baginda SAW membentuk sahabat dengan nilai-nilai murni, menanamkan keimanan yang teguh dan mengajar ilmu dunia serta akhirat. Melalui pendidikan Rasulullah SAW, para sahabat menjadi tokoh yang membawa perubahan besar kepada dunia Islam dan luarannya.
Guru hari ini mewarisi tugas suci ini. Mereka bukan sahaja mengajar matematik, sains atau bahasa, tetapi juga membentuk keperibadian, membimbing akhlak, dan menyemai nilai moral yang luhur.
Tanpa ilmu, masyarakat akan mudah terpengaruh dengan anasir negatif. Di sinilah peranan guru menjadi begitu penting. Mereka menerangi jalan kehidupan bangsa dengan ilmu yang benar, membanteras kejahilan dan membina peradaban.
Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik kamu adalah yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.” (Riwayat Bukhari)
Hadis ini menegaskan kemuliaan orang yang mengajar dan guru termasuk dalam golongan ini. Mereka mendidik bukan sahaja untuk dunia, tetapi untuk akhirat. Dalam Islam, seseorang guru dianggap sebagai pewaris para nabi. Sepertimana para nabi membimbing umat dengan wahyu dan hikmah, begitu jugalah guru membimbing pelajar dengan ilmu dan akhlak.
PENGHARGAAN KEPADA GURU
Islam juga mengajar umatnya supaya menghormati guru. Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Bukanlah daripada golongan kami orang yang tidak menghormati orang tua, tidak menyayangi yang muda dan tidak mengetahui hak orang alim.” (hadis riwayat Ahmad)
Malah, menghormati guru adalah tanda penghormatan terhadap ilmu. Dalam Islam, pelajar akan duduk merendah di hadapan guru, mendengar dengan penuh adab, dan tidak membantah dengan kasar.
Jelas menunjukkan bahawa guru bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi simbol keberkatan dan sumber kemuliaan. Maka, marilah kita sama-sama menghormati, menyokong dan mendoakan para guru agar terus tabah dan ikhlas dalam menjalankan tanggungjawab suci ini. Sesungguhnya, tanpa guru, tiadalah ilmuwan, pemimpin, mahupun bangsa yang berjaya.

Kemuliaan akhlak Saidina Ali
SAIDINA Ali memiliki akhlak yang cukup indah. Manakan tidak, beliau membesar di rumah Rasulullah. Selain itu, beliau merupakan menantu Rasulullah SAW yang selalu diberi tarbiyah, bimbingan dan panduan oleh baginda.
Sifat dan peribadi beliau dibentuk sendiri oleh Rasulullah SAW sebagaimana seorang ayah membentuk sifat anaknya. Oleh itu, tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa akhlak Saidina Ali merupakan pantulan dari cahaya akhlak Rasulullah SAW.
Saidina Ali merupakan seorang yang pemalu. Namun begitu sifat malunya disulami dengan sifat kepahlawanan. Saidina Ali juga terkenal sebagai seorang sahabat yang amat bersederhana dalam kehidupan sehariannya.
Beliau makan dari hasil titik peluhnya sendiri dan melakukan kerja rumah bersama isterinya sendiri seperti mengambil air dari telaga tanpa ada pembantu. Bahkan isterinya, Saidatina Fatimah menggiling gandum dengan batu giling sehingga kedua tangannya melecet. Mereka tidak menggunakan kedudukan mereka sebagai anak dan menantu Rasulullah SAW untuk mendapatkan kesenangan dunia.
Saidina Ali merupakan seorang insan yang dermawan. Beliau sangat ringan tangan untuk membantu orang-orang yang memerlukan. Sedangkan kehidupan beliau tidaklah semewah mana. Namun itu bukanlah penghalang untuk beliau bersedekah. Saidina Ali berkata, “Aku lebih suka mengumpulkan beberapa orang sahabatku untuk makan bersama dengan satu atau dua sha’ makanan daripada pergi ke pasar untuk memerdekakan seorang budak.”
Dikatakan bahawa Saidina Ali memiliki banyak harta wakaf yang dijadikan sebagai sedekah jariyah. Harta wakaf daripada beliau bernilai 40,000 dirham. Suatu hari ketika Saidina Ali menjadi khalifah, datang seorang lelaki kepada Saidina Ali.
Lelaki itu berkata, “Wahai Amirul Mukminin, aku memerlukan bantuanmu Aku telah memintanya kepada Allah sebelum memintanya kepadamu. Jika engkau memenuhi permintaanku ini aku akan memuji Allah dan berterima kasih kepadamu. Jika tidak, aku memuji Allah dan memaafkanmu.”
Saidina Ali membalas, “Tulislah di tanah, aku tidak mahu melihat pada wajahmu adanya kehinaan sifat meminta-minta”. Maka orang itu menulis “Aku orang yang memerlukan bantuan.”
Saidina Ali lantas berkata kepada pembantunya, “Bawakan padaku sehelai pakaian.” Lalu dibawakan sehelai pakaian dan diberikannya pada orang itu. Orang itu segera mengambil dan memakainya, lalu memuji Ali dengan gubahan syair.
Kemudian Saidina Ali berkata, “Bawakan padaku wang dinar.” Maka dibawakan wang seratus dinar dan diberikannya kepada orang itu. Seseorang yang melihat kejadian itu bertanya kepada Saidina All, “Wahai Amirul Mukminin, engkau memberinya pakaian dan wang seratus dinar?”
Saidina Ali menjawab, “Ya, aku mendengar Rasulullah bersabda, “Tempatkanlah seseorang itu sesuai dengan kedudukannya,” Ini adalah kedudukan orang itu di sisiku.
Oleh Hanzalah Azman