Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Guru kini boleh mohon pertukaran selepas dua tahun berkhidmat
  • PENDIDIKAN

Guru kini boleh mohon pertukaran selepas dua tahun berkhidmat

Utusan Sarawak 19 hours ago

·        KPM umum lima prakarsa baharu sempena Hari Guru 2025

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakam kenangan selepas menyampaikan Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2025 kepada Datuk Dr Mistirine Radin dan Anugerah Tokoh Guru Peringkat Kebangsaan 2025 kepada Sukimin Juki. Turut bersama, Fadhlina Sidek dan Dato Sri Roland Sagah Wee Inn. Foto UKAS

PETRA JAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan lima prakarsa baharu sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2025, yang berlangsung meriah di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), dengan tumpuan utama kepada usaha memperkasa profesion perguruan serta meningkatkan kesejahteraan warga pendidik.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata antara inisiatif yang paling dinanti-nantikan ialah kebenaran untuk memohon pertukaran guru selepas dua tahun (24 bulan) berkhidmat, tanpa sebarang syarat tambahan.

“Prakarsa ini memberi kelegaan besar kepada ribuan guru yang sebelum ini terikat dengan syarat ketat untuk memohon pertukaran,” katanya.

Tambah beliau, seramai 1,470 Personel MyPg (pembantu guru) akan dilantik pada tahun 2025. Setiap sekolah yang terpilih berdasarkan kriteria tertentu akan menerima dua orang pembantu guru bagi membantu tugas harian, sekaligus membolehkan guru memberi tumpuan penuh kepada proses pengajaran dan pembelajaran.

Dalam ucapannya, Fadhlina turut mengumumkan seramai 32 guru cemerlang termasuk penerima Anugerah IKON, Anugerah Guru Inovatif, Anugerah Khas Pendidikan dan Anugerah Guru Berwibawa akan diberi peluang mengikuti program Global Immersion For Future-Ready Teachers (GIFT) secara percuma, bagi menimba pengalaman pendidikan di sekolah-sekolah terpilih di United Kingdom.

Selain itu, KPM juga akan menawarkan kursus jangka pendek di luar negara kepada guru dan pegawai terpilih dalam bidang strategik dan berimpak tinggi, sebagai usaha memperkukuh kemahiran profesional warga pendidik negara.

Sebagai satu lagi insentif tambahan, Fadhlina turut mengumumkan pemberian diskaun 20 peratus bagi pembelian tiket kapal terbang domestik melalui portal MH GoM, khusus kepada guru yang perlu melakukan perjalanan jauh, terutamanya yang bertugas di luar kawasan atau berjauhan dari kampung halaman.

“Kelima-lima prakarsa ini adalah langkah progresif KPM dalam membina ekosistem pendidikan yang lebih mampan, responsif dan berorientasikan masa depan,” ujar beliau.

Majlis sambutan tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang turut menyampaikan Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2025 kepada Datuk Dr Mistirine Radin dan Anugerah Tokoh Guru Peringkat Kebangsaan 2025 kepada Sukimin Juki.

Turut hadir, Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Datuk Azman Adnan, serta barisan Timbalan Menteri Persekutuan dan Sarawak serta tetamu kehormat lain.

Oleh Amanda L.

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Lima hala tuju utama bina semula ekosistem pendidikan negara
Next: Guru tunjang harapan corak masa depan anak bangsa

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.