BINTULU: Sejak sekolah seluruh negara ditutup pada 8 November lalu, proses pengajaran dan pembelajaran terpaksa dilaksanakan Home-based Learning (PdPR) bagi memastikan kelangsungan pendidikan dalam tempoh Covid-19 ini.
Bagi sekolah yang mempunyai liputan internet memuaskan, pastinya tidak menjadi satu masalah untuk mengadakan kelas dalam talian seperti aplikasi kahoot, google classroom, schoology dan sebagainya.
Namun, tidak semua sekolah mempunyai capaian internet lebih-lebih lagi sekolah di luar bandar ataupun kawasan pedalaman.
Kalau dahulu kita sebagai pelajar yang perlu pergi ke sekolah untuk menuntut ilmu, namun kini kita melihat kesunggupan para pendidik sehingga ada yang sanggup datang ke tempat tinggal pelajar demi menyampaikan ilmu pengetahuan.
Marcellyn Audrey Gosen, seorang guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bagian Tatau telah nekad untuk pergi ke sebuah rumah panjang bagi memastikan pelajarnya dapat memahami topik pelajaran mereka.
“Pada mulanya, saya dan semua guru menggunakan alternatif menyediakan lembaran kerja untuk setiap subjek yang mana lembaran kerja tersebut akan diambil oleh wakil ibu bapa atau penjaga mengikut ketetapan hari yang dibuat pihak sekolah dan tugasan itu dihantar dan tugasan baharu akan diberi pada minggu seterusnya
“Setelah melalui tiga minggu PdPR, saya mendapati murid kurang berjaya menjawab soalan dengan baik kerana mereka memerlukan bimbingan semasa membuat tugasan apatah lagi mereka yang agak lemah dalam pelajaran,” katanya kepada Utusan Sarawak semalam.
Marcellyn menambah, keadaan menjadi lebih mencabar apabila beliau terpaksa mengajar subjek baharu untuk mata pelajaran Sains.
“Oleh itu, saya telah meminta kebenaran dan berbincang dengan Guru Besar Junit Jimbau tentang tata cara untuk memberi kelas bimbingan di rumah panjang yang mana beliau meminta saya berjumpa dengan Tuai Rumah untuk memaklumkan perkara tersebut.
“Walaupun kehadiran murid agak kurang memberangsangkan sepanjang PdPRuai diadakan, ia tidak sedikit pun mematahkan semangat saya untuk meneruskan kelas kerana saya faham bahawa kebanyakan murid tidak hadir kerana telah mengikuti ibu bapa ke tempat lain,” ujarnya.
Sementara itu, Guru Besar Junit menzahirkan perasaan bangga atas usaha guru terbabit yang tidak mengenal penat lelah.
“Sebagai guru besar di sekolah ini, saya amat berpuas hati dan teruja kerana ada dalam kalangan guru kita yang sanggup melakukan usaha sedemikian tanpa mengharapkan balasan.
“Oleh sebab itu, saya berasa bangga kerana memiliki guru yang berdedikasi dan komited terhadap tugas untuk memajukan anak murid yang berada di pedalaman.
“Semoga usaha yang baik ini dapat menjadi contoh kepada murid-murid bahawa tugas seorang guru melangkaui segala aspek demi mendidik anak-anak,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mewakili pihak sekolah turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Pegawai Pendidikan Daerah Tatau Sebauh, Samri Suhaili atas sokongan dan nasihat beliau terutamanya dalam pelaksanaan pdpr secara ‘off sites’.
Oleh CAROLYNE UTIH