KREATIF… Daniel Subuh George sedang menghasilkan meja baharu dengan menggunakan kayu-kayu terbiar.
“SAYA sanggup berbelanja sehingga RM1,000 jika mahu melakukan satu projek pertukangan atau menghasilkan lukisan di rumah,” demikian seorang guru, Daniel Subuh George.
Segala-galanya bermula apabila guru Sekolah Kebangsaan (SK) Paku di Undop, Sri Aman berkenaan telah menjadikan bertukang dan melukis sebagai salah satu hobinya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa pada Mac 2020.
Kekangan pergerakan sosial di luar rumah sepanjang tempoh arahan itu menyebabkan beliau sentiasa berangan-angan ketika bersantai di dalam rumah sehingga terlintas bayangan beberapa perabot dan lukisan di dalam fikirannya.
“Bertukang dan melukis bukan hobi saya sebelum itu. Namun disebabkan PKP, saya mula mendapati pelbagai idea dan terus berjinak-jinak untuk menjadikan pertukangan dan melukis sebagai satu hobi di rumah.
“Antara barangan yang saya hasilkan sepanjang tempoh PKP itu adalah meja kayu, rak pakaian, ‘sangkuh’ (tombak), lukisan kanvas, lukisan mural dinding dan beberapa perabot lain,” kata Daniel ketika ditemui Utusan Sarawak.
Ketika mula berjinak-jinak dalam hobi pertukangan, guru itu mengakui telah menghadapi cabaran awal untuk membeli peralatan penting seperti alat ‘bosch’, gergaji elektrik dan beberapa alatan tukang yang lain untuk menghasilkan perabot.
Cabaran tersebut katanya juga turut melibatkan pencarian palet kayu klasik serta bahagian kayu dari perabot terpakai atau membeli kayu baharu untuk digunakan sebagai bahan asas.
“Sebab itulah hobi menghasilkan satu perabot boleh mencecah sehingga RM1,000. Begitu juga dengan hobi lukisan kanvas yang turut menelan kos agak mahal dari segi penggunaan bahan warna, kanvas dan berus tertentu,” kata beliau.
Meski pun perbelanjaanya agak mahal namun ia bagi Daniel tidaklah begitu penting selagi dua hobi berkenaan boleh mendatangkan kepuasaan terhadap dirinya untuk mengisi waktu lapang ketika berlangsung PKP.
Perabot dan lukisan yang siap dihasilkan sepanjang penguatkuasaan PKP kata beliau telah pun di simpan di kediamannya sendiri dalam Taman Gamang Height dekat Bandar Simanggang untuk kegunaan keluarga.
“Ada rakan-rakan bertanya kepada saya mengapa tidak menjual sahaja lukisan kanvas yang dihasilkan sepanjang PKP lepas berkenaan kepada pihak dan jawapan yang diberikan adalah tidak.
“Ini kerana saya masih sedang menajamkan kemahiran serta kreativiti dalam menghasilkan lukisan kanvas begitu juga dengan perabot…lagi pun hasil terkininya hanyalah sekadar hobi dan bukan untuk dijual kepada orang lain,” kata Daniel.
Bagaimanapun guru berusia 55 tahun itu memberitahu mempunyai hasrat untuk menjadikan hobi penghasilan perabot dan lukisan ini kepada satu perniagaan sepenuh masa apabila sudah bersara kelak.
“Mungkin saya akan menukar hobi ini kepada perniagaan penuh ketika sudah bersara. Kini saya sudah pun berpindah tugas ke SK Ulu Paku di kawasan luar bandar dan jarang dapat meluangkan masa untuk melakukan hobi itu di rumah,” kata beliau.
Daniel turut menyeru golongan belia agar menjadikan pertukangan dan melukis sebagai satu hobi di waktu lapang kerana ia secara tidak langsung dapat menambah tahap kreativiti diri sepanjang melakukan aktiviti itu.
“Apabila bersara daripada perkhidmatan kerajaan nanti saya akan cuba menambah nilai kreativiti dan kualiti yang lebih baik terhadap hasil pertukangan perabot serta lukisan sebelum ia dapat dijadikan sebagai satu perniagaan,” kata beliau.
Oleh VALENTINE NGUMBANG