Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Guru disiplin akui lima siasatan dalam kes Zara Qairina tidak dikongsi kepada polis
  • MAHKAMAH

Guru disiplin akui lima siasatan dalam kes Zara Qairina tidak dikongsi kepada polis

Utusan Sarawak 12 hours ago
GURU Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha mengakui bahawa pihak sekolah menjalankan sebanyak lima siasatan dalaman berhubung insiden menimpa Zara Qairina Mahathir, namun hasil siasatan itu tidak diserahkan kepada polis.

KOTA KINABALU: Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha mengakui bahawa pihak sekolah menjalankan sebanyak lima siasatan dalaman berhubung insiden menimpa Zara Qairina Mahathir, namun hasil siasatan itu tidak diserahkan kepada polis.

Penolong Ketua Guru Disiplin Nurul Syahadah Ibrahim, 38, berkata pihak sekolah tidak menyerahkan laporan berkenaan kepada polis kerana ia hanya rekod dalaman sekolah, dan pihak sekolah percaya kepada kredibiliti, kemahiran dan kepakaran polis dalam menjalankan siasatan berhubung kes itu.

Beliau berkata siasatan dalaman itu dijalankan pada 16 dan 17 Julai serta 4,5 dan 13 Ogos, membabitkan beberapa pelajar termasuk lima pelajar yang dikatakan individu terakhir melihat Zara Qairina. Siasatan dikendalikan melalui sesi soal jawab dan pernyataan bertulis saksi-saksi.

Saksi ke-54 itu berkata demikian ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya yang juga pegawai pengendali, Mohd Fairuz Johari, pada prosiding inkues kematian Zara Qairina di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Nurul Syahadah turut mengakui bahawa kelima-lima hasil siasatan itu tidak pernah dilaporkan kepada pengetua sekolah, sebaliknya hanya dimaklumkan kepada Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM). 

“Kami menyerahkan perkara itu kepada PK HEM untuk dimaklumkan kepada pengetua. Ketika itu, pengetua sibuk menyantuni pelbagai pihak termasuk Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri berhubung kes Zara Qairina,” katanya.

Ketika disoal pegum Rizwandean M Borhan, yang mewakili ibu Zara Qairina, saksi berkata rekod hasil siasatan itu tidak didedahkan kepada ibu Zara Qairina, bagi mengelakkan sebarang spekulasi mengenai kes itu.

“Kami tidak mahu menimbulkan sebarang spekulasi, saya tidak ada apa-apa niat, saya juga seorang ibu. Saya tidak setuju dengan pendapat bahawa kami sengaja tidak mendedahkan perkara itu kepada ibu Zara Qairina,” katanya.

Mengimbau kenangannya bersama Zara Qairina, Nurul Syahadah berkata beliau tidak mengajar sebarang subjek kepada pelajar itu, namun pernah menerima sebuah bekas pensel sebagai hadiah sempena sambutan Hari Guru pada 20 Mei lepas.

“Saya jarang berinteraksi dengan arwah, jadi saya tidak menyangka arwah akan memberikan hadiah itu. Unit disiplin sekolah juga tidak pernah mengambil apa-apa tindakan terhadap arwah. Zara Qairina juga mempunyai hasrat untuk menjadi ahli Badan Dakwah dan Rohani (Badar). 

“Perkara itu dimaklumkan seorang pelajar kepada saya pada 17 Julai, iaitu selepas arwah sudah ‘tiada’.

“Seingat saya, seminggu sebelum insiden itu, Zara Qairina ada merancang untuk berjumpa saya untuk menyertai Badar. Itu satu kenangan manis, kerana belum pernah ada pelajar yang menyatakan hasrat untuk menjadi ahli Badar,” katanya.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di sini pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4.00 pagi 16 Julai.

Prosiding inkues bersambung esok.

-Bernama

Tags: mahkamah

Continue Reading

Previous: Keputusan berkaitan titah adendum dalam kes Najib diawalkan kepada 22 Disember ini

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.