KEPUTUSAN membenarkan semua guru sekolah dibenarkan berpolitik diumumkan oleh Perdana Menteri tersebut telah dibincangkan dalam kabinet dan dipersetujui atas prinsip menghormati demokrasi kerana sebelum ini golongan guru dilarang untuk aktif berpolitik. • Gambar Hiasan.
SEMUA guru sekolah di seluruh negara dan petugas KEMAS telah dibenarkan untuk berpolitik berkuat kuasa serta-merta. Keputusan ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Ini merupakan keputusan bersejarah kerana sebelum ini guru tidak dibenarkan terlibat dalam politik secara aktif.
Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bil 9 tahun 2010, dihadkan kepada guru gred DG41 hingga DG48 dibenarkan aktif berpolitik. Namun begitu, penyertaan tersebut perlu mendapatkan kebenaran rasmi daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan dan ini melibatkan pula beberapa syarat ditetapkan sesuai dengan kedudukan sebagai penjawat awam.
Keputusan membenarkan semua guru sekolah dibenarkan berpolitik diumumkan oleh Perdana Menteri tersebut telah dibincangkan dalam kabinet dan dipersetujui atas prinsip menghormati demokrasi kerana sebelum ini golongan guru dilarang untuk aktif berpolitik. Sebenarnya dalam sejarah politik negara, guru dan politik tidak dapat dipisahkan kerana rata-rata pejuang nasionalisme merupakan guru-guru di sekolah selain golongan wartawan dan penulis. Namun selepas kemerdekaan sedikit demi sedikit kebebasan golongan tersebut dalam berpolitik dihadkan dengan alasan bagi memastikan sistem pendidikan bebas daripada pengaruh politik.
Pada masa yang sama, peranan guru dalam mendidik anak bangsa sangat penting dan dibimbangi profesion guru dicampuri dengan sentimen politik kepartian dan ini boleh menjejaskan keharmonian di sekolah, jabatan pendidikan daerah, negeri dan negara. Tambahan pula tugas hakiki guru sangat besar dalam kehidupan harian pelajar, guru dan sekolah.
Sudah pasti terdapat perbezaan di antara guru yang mempunyai hubungan politik yang kuat dengan parti yang memerintah negara dengan guru yang tidak terlibat dalam politik, atau pun guru terlibat dengan politik pembangkang. Hal inilah dibimbangi mempengaruhi mutu, amalan dan keadilan sistem pendidikan negara. Dalam konteks pemisahan, jelas dalam sistem pendidikan dan politik bagi memastikan tidak ada unsur-unsur yang menjejaskan mutu sistem pendidikan negara maka sudah lama masyarakat di negara ini diyakinkan bahawa guru perlu lebih fokus di sekolah dalam menjalankan tugas mereka sebagai pendidik dalam mendidik anak bangsa adalah satu keutamaan negara.
Rasional
Terdapat beberapa rasional keputusan kerajaan pimpinan Ismail Sabri dari kerajaan Perikatan Nasional membenarkan penyertaan golongan dalam politik. Sudah tentu langkah ini dikaitkan dengan situasi politik kepartian yang membentuk blok Perikatan Nasional yang diketahui tidak mempunyai majoriti yang besar dalam menjamin kestabilan politik dan mengekalkan kedudukan dalam konteks landskap politik masa depan mereka. Parti politik ini terdiri daripada parti politik yang sudah lama dalam sejarah negara yang terkenal dengan penyertaan golongan guru dalam politik puluhan tahun dahulu, khususnya parti UMNO dan parti PAS.
Peranan guru dan parti parti UMNO sangat sinonim suatu masa dahulu dan golongan guru memainkan peranan dalam menstabilkan politik, mengukuhkan kedudukan parti di peringkat akar umbi dan menjadi tulang belakang kepada kekuatan parti. Namun selepas era Dasar Ekonomi Baharu, sedikit demi sedikit peranan guru semakin kurang akibat kemasukan atau penyertaan golongan peniaga dalam politik yang mulai mengambil alih kepimpinan di peringkat cawangan dan bahagian. Apabila golongan peniaga mulai terlibat dalam politik kepartian lama-kelamaan budaya politik wang mulai muncul dan menghakis budaya politik lama.
Dengan kata lain, langkah ini dipercayai dapat mengimbangkan kembali pengaruh golongan guru dalam memastikan tadbir urus parti mempunyai ciri-ciri luhur, beretika dan kembali kepada asas perjuangan lama. Golongan guru juga dapat menyatukan para guru, persatuan ibu-bapa untuk memastikan roh perjuangan parti tidak terlalu ditentukan faktor politik wang dan kekuasaan golongan peniaga dalam menentukan hala tuju kepimpinan dan masa depan politik.
Langkah ini juga dapat mampu menggerakkan kekuatan politik konservatif UMNO dan PAS manakala parti seperti Bersatu yang merupakan serpihan parti UMNO juga dapat menampung kekuatan dengan adanya penyertaan golongan guru yang lebih ramai. Berdasarkan statistik guru pada tahun 2020 terdapat 236,993 guru di sekolah rendah dan 179,750 guru di sekolah menengah. Hal ini bermakna terdapat 416, 743 guru di seluruh negara dan ini dijangka akan dimanfaatkan oleh parti-parti berteraskan etnik utama negara kerana populasi majoriti yang mereka ada. Dijangka dalam tempoh terdekat angka ini mencecah setengah juta dan angka ini merupakan jumlah yang besar yang mampu memperkuatkan parti-parti utama negara dan mampu mengukuhkan kedudukan mereka dalam landskap politik negara.
Pengimbang Undi 18
Tindakan kerajaan membenarkan penyertaan guru terlibat aktif dalam politik dapat dikaitkan usaha untuk mengimbangkan undi 18 tahun yang sudah dikuatkuasakan. Terdapat 1.2 juta pengundi pengundi berumur 18-20 tahun di negara berdasarkan statistik penghujung tahun 2021. Hal ini bermakna dengan jumlah sedemikian adalah diyakini apabila penglibatan guru dalam politik dibenarkan untuk berpolitik aktif bermakna, golongan guru tersebut dipercayai dapat membimbing dan memberikan panduan kepada bakal pengundi muda negara. Unsur-unsur teori politik dan politik praktis sudah mulai didekati kepada pelajar peringkat awal.
Dari segi manfaatnya, peranan guru boleh meningkatkan literasi politik dan dapat membantu pelajar melengkapkan pengetahuan mengenai demokrasi, pentingnya undi dan hak sebagai warga, pengetahuan mengenai dasar dan sistem dalam politik dan kesemua ini mampu menyumbang kepada proses menyuburkan demokrasi dalam masyarakat.
Namun kebimbangan utama ialah pengaruh ideologi politik dalam kalangan guru tersebar kepada bakal pengundi 18 tahun dan dibimbangi suasana tidak menjadi tidak seimbang dari segi pengaruh politik kepartian. Sudah pasti semua ibu bapa mahukan anak mereka bebas daripada pengaruh daripada mana-mana parti politik dan mahu anak mereka mendapat pendidikan politik yang lebih luas dan bukan sekadar fokus kepada parti politik kepartian yang sempit yang membawa kepada usaha menyerap ideologi kepartian tertentu dan ini tidak memberikan ruang kepada pelajar mengenai politik yang lebih luas agar dapat dinilai secara kritis kesemua aspek.
Pertembungan Ideologi
Yang dibimbangi ialah apabila tidak terkawal, ia boleh mencetuskan konflik apabila pertembungan ideologi politik di sekolah dan menyebabkan isu dipindah keluar ke sekolah lain akibat perbezaan politik. Sudah pasti, kita tidak mahu berlakunya isu guru ada ‘kabel politik yang besar’ sehingga mampu memindahkan pengetua ke sekolah lain akibat perbezaan politik. Atau, tidak mahu berlakunya situasi, pengetua pindahkan guru akibat perbezaan ideologi politik. Kesemua ini bukanlah amalan baik untuk sistem pendidikan negara.
Justeru, perlu ada panduan jelas agar semua pihak guru, sekolah, pentadbir, pelajar mendapat manfaat yang lebih dan mengelak daripada menimbulkan isu dan kontroversi pada masa akan datang. Walaupun langkah ini baik untuk demokrasi dan mampu mengubah landskap politik negeri dan negara namun perlu diperhalusi segala prosedur bagi memastikan ketelusan peraturan dan institusi tidak terlalu terlibat dalam politik kepartian kerana jika kurang terkawal akan mengakibatkan sistem pendirikan negara akan terjejas.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)