
KEDENGARAN seperti anak Melayu jati Terengganu sebaik pemuda berusia 21 tahun ini mula bertutur dengan begitu fasih tanpa sebarang cacat cela dalam loghat negeri pantai timur ini, walhal dia sebenarnya berketurunan Punjabi.
Membesar dalam kumpulan kaum minoriti yang membentuk peratusan terkecil di negeri yang terkenal dengan keindahan panorama pantainya, kepetahan Gurdeep Singh Gill berdialek Terengganu, membuatkan ramai yang kagum dengan kebolehannya hingga menarik banyak mata memandangnya.
Mengakui sudah terbiasa dengan situasi yang dialaminya sejak zaman kanak-kanak lagi, anak kedua daripada tiga beradik ini tidak menganggap keadaan itu sesuatu yang mengganggu privasinya, namun sebagai satu ‘keistimewaan’ apabila mampu berbahasa loghat pekat negeri pantai timur ini.
Dengan keupayaannya itu, penuntut tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di sebuah universiti swasta itu sama sekali tidak pernah berasa terpinggir meskipun menyedari hanya terdapat dua buah sahaja keluarga Sikh di negeri itu termasuk keluarganya, setakat yang diketahuinya.

“Sudah tentu dengan kebolehan ini, saya rasa saya ‘rare’. Sebab saya macam minoriti dalam minoriti. Maksudnya, minoriti sebagai orang Sikh dan minoriti orang Sikh yang boleh berdialek Terengganu. Ini (keupayaan) juga membuatkan saya berasa sama sahaja dengan kumpulan majoriti Melayu di negeri ini.
“Apabila kita boleh bercakap pekat dalam loghat Terengganu, ia akan memudahkan lagi kehidupan harian di negeri ini terutamanya apabila berurusan dengan warga emas yang kebiasaannya sudah sebati dengan dialek negeri ini,” katanya kepada Bernama.
Bercerita lebih lanjut, Gurdeep yang juga fasih berbahasa Mandarin berkata persekitarannya dibesarkan dalam petempatan Melayu dan bersahabat baik dengan pelbagai bangsa khususnya orang Melayu dan Cina, membolehkannya begitu mudah menguasai dialek Terengganu.
Sementara dalam keluarganya pula, pemuda ini berkata mereka biasanya akan bertutur dalam bahasa Punjabi, bagaimanapun tetap akan mencampurkannya dengan bahasa Melayu dialek Terengganu pada situasi tertentu yang kebanyakannya terjadi secara spontan.
“Saya sebenarnya lebih selesa bercakap dialek Terengganu. Tapi, dengan kawan-kawan Cina adakalanya saya bercakap dalam bahasa Mandarin sebab takut lupa, saya dahulu belajar di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hwa Wei Sin,” katanya.
Dengan kebolehannya itu, pemuda ini sekalipun tidak pernah menyangka dia akhirnya dapat mencipta nama di medium media sosial, TikTok apabila berjaya mengumpul lebih daripada 46,000 pengikut dan lebih sejuta tanda suka (likes) sejak Ogos tahun lepas menerusi akaun @gudikganu.
Semuanya bermula daripada idea rakan-rakannya supaya memanfaatkan keunikan ‘Orang Sikh cakap Ganu’, Gurdeep tidak menjadikan kelainannya itu sekadar modal untuk ‘content’ semata-mata, sebaliknya sebagai medium berkongsi pengetahuan berkaitan agama, budaya selain mempromosikan keindahan Terengganu.
“Pada awalnya, saya dapat soalan kelakar daripada viewer’. Dia tanya saya mandi pakai turban ke? Dan saya jawab dalam dialek Terengganu seperti kebiasaannya… kakak mandi pakai tudung ke?,” katanya berseloroh tanpa menyedari itulah titik mula mencipta nama sebagai pempengaruh.

Bagaimanapun dalam meraikan ‘keistimewaan’ itu, Gurdeep turut menyuarakan kebimbangannya apatah lagi, hanya keluarganya sahaja yang masih menetap di sini selepas moyangnya, Chigara Singh berhijrah dari Punjab, India ke Terengganu pada 1954 sementara yang lain telah berhijrah ke negara lain.
“Kenapa sedih? Sebab macam di Kelantan, sebelum ini ada juga orang Sikh di sana tetapi sekarang difahamkan tiada lagi kerana sudah berhijrah ke negeri lain biarpun gurdwara (rumah ibadat) masih lagi ada di sana.
“Di Terengganu, tiada gurdwara dan kami biasanya akan ke Kuantan, Pahang sebab di sana ada rumah ibadah dan lebih ramai komuniti Sikh. Jadi masa depan orang Sikh di negeri ini tidak tahu, kerana setakat saya tahu hanya ada dua keluarga Sikh sahaja di Terengganu,” katanya.
Dalam pada itu, pemuda ini juga turut menggalakkan rakan bukan Melayunya untuk belajar bertutur dalam dialek lokaliti masing-masing selain orang Melayu mempelajari bahasa kaum lain sebagai simbol perpaduan yang sebenar.
“Berkawanlah dengan semua, tidak kira kaum. Memang selesa berkawan dalam ‘circle’ sama tetapi kita tidak berkembang sebenarnya. Mesej saya, kita semua kena bersatu untuk pastikan dialek mana-mana negeri tidak hilang dan tidak perlu lagi dengar, hanya ‘mu’ seorang sahaja boleh cakap Ganu, Perak ke,” katanya. — Bernama