JAKARTA: Gunung Sinabung di wilayah Sumatera Utara, Indonesia meletus pagi ini, menghamburkan abu gunung berapi sekitar 3.5 kilometer di atas puncak.
Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) berkata letusan bermula pada 10.17 pagi waktu tempatan dengan kepulan abu hitam tebal dilihat bergerak ke arah timur dan tenggara.
“Penduduk dan pengunjung dinasihatkan menjauhi perkampungan yang telah dipindahkan serta tidak menjalankan aktiviti dalam lingkungan tiga kilometer dari puncak Gunung Sinabung dan 4.5 kilometer ke arah selatan serta tenggara,” menurut laporan yang disiarkan di laman sesawang rasminya.
Gunung Sinabung yang terletak di Kabupaten Karo kekal pada Tahap II (Waspada), manakala penduduk yang tinggal berhampiran sungai dinasihatkan supaya terus berwaspada terhadap kemungkinan berlakunya aliran lumpur gunung berapi. – Bernama




