
JAKARTA: Gunung Semeru di Jawa Timur meletus sembilan kali hari ini, dengan letusan terbaharu menghasilkan tiang abu setinggi 800 meter di atas puncaknya dan mencetuskan aliran piroklastik sehingga 3.5 kilometer (km) ke bawah cerun tenggaranya.
Pegawai Pos Pemerhatian Gunung Semeru Mukdas Sofian berkata gunung berapi itu, yang tertinggi di Pulau Jawa, telah meletus sejak 12.21 tengah malam, dengan letusan kesembilan dicatatkan pada 8.49 pagi.
“Tiang abu pada 8.49 pagi diperhatikan berwarna putih hingga kelabu dengan intensiti tebal melayang ke arah barat daya, manakala rakaman seismik menunjukkan amplitud maksimum 22 milimeter dan tempoh kira-kira empat minit enam saat,” katanya, menurut Agensi Berita ANTARA, pada Ahad.
Mukdas berkata letusan paling kuat berlaku pada 1.01 pagi, menghasilkan tiang abu mencecah kira-kira 1,000 meter di atas puncak, dengan intensiti sederhana hanyut ke barat daya.
Pihak berkuasa berkata Gunung Semeru kekal pada status Tahap III (Awas).
Penduduk dinasihatkan tidak melakukan sebarang aktiviti dalam jarak 13 km di sektor tenggara sepanjang Besuk Kobokan.
Mereka juga dilarang berada dalam lingkungan 500 meter dari tebing sungai di sepanjang kawasan yang sama kerana risiko pengembangan aliran piroklastik dan aliran lahar mencecah sehingga 17 km dari puncak.
Selain itu, orang ramai dilarang melakukan aktiviti dalam radius 5 km dari kawah kerana bahaya lonjakan batu pijar.
-Bernama