
JAKARTA: Gunung Semeru, gunung berapi tertinggi di Indonesia dan antara yang paling aktif, meletus pada petang tadi dengan memuntahkan kepulan abu tebal tinggi di ruang udara Jawa Timur serta mencetuskan aliran piroklas yang bergerak pantas sejauh beberapa kilometer menuruni lerengnya, menurut pihak berkuasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Letusan itu bermula sekitar 4.00 petang (0900 GMT), menurut laporan bertulis Mukdas Sofian, seorang pegawai di pos pemantauan gunung berapi Indonesia.
Kepulan awan mengandungi abu itu menjulang kira-kira 2,000 meter ke udara, mencapai ketinggian sekitar 5,676 meter dari paras laut.
“Aliran piroklastik masih berlaku, dengan jarak aliran mencapai tujuh kilometer dari puncak, dan letusan masih berterusan ketika laporan ini disediakan,” kata Sofian.
Gunung Semeru, terletak di kawasan padat penduduk di Jawa, merupakan puncak tertinggi di Indonesia pada ketinggian 3,676 meter dan berada dalam Lingkaran Api Pasifik, zon seismik aktif yang sering mengalami letusan gunung berapi dan gempa bumi.
-BERNAMA-dpa