
JAKARTA: Gunung Lewotobi Laki-Laki yang terletak di Wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia meletus pada petang tadi, mencetuskan amaran penerbangan, menurut Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) negara itu, lapor Xinhua.
Letusan berlaku pada pukul 2.10 petang waktu tempatan, memuntahkan kepulan abu setinggi empat kilometer (km) ke udara. Awan tebal berwarna kelabu kelihatan berarak ke arah barat dan barat laut daripada kawah gunung berapi itu.
Bagi mengurangkan risiko kepada penerbangan, pihak berkuasa mengeluarkan Notis Pemerhatian Gunung Berapi untuk Penerbangan (VONA) pada tahap jingga, iaitu tahap amaran kedua tertinggi, menasihatkan pesawat untuk mengelak terbang di bawah paras 5,000 meter di kawasan sekitar gunung itu.
Juruterbang turut digesa berwaspada terhadap abu gunung berapi yang terapung di udara kerana ia boleh mengancam keselamatan penerbangan.
Penduduk tempatan, pelancong dan pengunjung dilarang melakukan sebarang aktiviti dalam lingkungan radius enam km daripada kawah, serta dalam radius tujuh km di sektor barat daya dan timur laut.
Pihak berkuasa turut memberi amaran kemungkinan berlaku banjir lahar di sepanjang sungai yang berpunca daripada puncak gunung berapi itu semasa hujan.
–Bernama