
JAKARTA: Gunung Lewotobi Laki-Laki di Indonesia memuntahkan abu panas setinggi 10 kilometer (km) disertai kilat ke langit malam sejak Jumaat.
Letusan terbaharu gunung berapi itu menyusuli letusan besar beberapa minggu lalu yang mengakibatkan puluhan penerbangan dibatalkan di Bali.
Agensi Vulkanologi Indonesia dalam kenyataan berkata, gunung berapi setinggi 1,584 meter yang terletak di pulau pelancongan Flores itu meletus pada jam 8.48 malam waktu tempatan.
“Ketinggian letusan dianggarkan kira-kira 10km dari puncak gunung berkenaan,” katanya.
Setakat ini, tiada laporan kerosakan atau kematian direkodkan tetapi penduduk setempat dinasihatkan terus berjaga-jaga.
Ketua agensi geologi, Muhammad Wafid berkata, letusan itu berpunca daripada pengumpulan gas yang berlaku sejak beberapa minggu lalu.

Beliau turut memberi amaran mengenai risiko aliran lahar iaitu aliran lumpur atau serpihan gunung berapi jika berlaku hujan lebat, terutama bagi penduduk yang tinggal berhampiran sungai.
Penduduk dan pelancong dinasihatkan supaya tidak menghampiri kawasan dalam lingkungan enam kilometer dari kawah gunung.
Gambar yang dikongsikan agensi geologi menunjukkan kilat berapi berhampiran puncak pusat abu tebal berkenaan.
Bulan lalu, gunung berapi berkenaan memuntahkan asap tebal setinggi 18km menyebabkan 24 penerbangan dibatalkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bali.
Tiada laporan segera mengenai pembatalan penerbangan susulan letusan terbaharu semalam.
Gunung Lewotobi Laki-Laki membawa maksud ‘lelaki’ dalam bahasa Indonesia, berkembar dengan gunung berapi lebih tinggi namun lebih tenang, iaitu Gunung Perempuan setinggi 1,703 meter (m) dinamakan sempena perkataan ‘wanita’ dalam bahasa Indonesia.
Indonesia, sebuah negara kepulauan yang luas, sering mengalami aktiviti seismik dan gunung berapi kerana kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik. – AFP