
JAKARTA: Gunung Dukono yang terletak di Pulau Halmahera, timur Indonesia, meletus sekali lagi pada petang Jumaat dengan memuntahkan awan mengandungi abu setinggi 4,000 meter di atas puncaknya.
Pegawai Pos Pemerhatian Gunung Berapi Dukono (PGA), Bambang Sugiono berkata, letusan itu bermula sekitar 5.28 petang waktu tempatan, susulan satu lagi kejadian pada sebelah pagi.
“Awan mengandungi abu diperhatikan berwarna kelabu dengan intensiti tebal dan bergerak ke arah barat laut mengikut arah serta kelajuan angin di sekitar gunung itu,” katanya seperti dipetik Agensi Berita ANTARA pada Jumaat.
Bambang berkata letusan itu direkodkan pada seismograf dengan amplitud 34 milimeter dan tempoh 95.41 saat, menunjukkan aktiviti gunung berapi itu kekal signifikan dan boleh berlaku berulang kali.
Terdahulu pada hari sama, satu letusan sekitar 11.06 pagi menghasilkan awan mengandungi abu setinggi 1,500 meter di atas puncak, dengan abu turut diperhatikan bergerak ke arah barat laut.
Letusan awal itu mempunyai amplitud seismograf 25 milimeter dan berlangsung selama 82.26 saat.
Bambang berkata Gunung Dukono kekal pada Tahap II (Waspada), dengan aktiviti gunung berapi disifatkan sebagai tidak menenti dan berupaya menghasilkan letusan abu secara berkala.
Beliau berkata, pihak berkuasa menggesa penduduk, pengunjung dan pelancong supaya mengelakkan sebarang aktiviti dalam radius empat kilometer dari Kawah Malupang Warirang, iaitu pusat aktiviti letusan.
Penduduk yang tinggal di sekitar gunung itu dinasihatkan supaya menyediakan pelitup muka atau penutup muka bagi melindungi diri daripada abu gunung berapi yang boleh menjejaskan sistem pernafasan. – Bernama